Tuesday, June 23, 2009

PEPERIKSAAN PTK



PTK, isu yang tidak pernah selesai. Saya baru sahaja habis menghadapi peperiksaan tersebut pagi tadi. Pengalaman pertama..bak kata seorang kawan, 'test power' ajer.

Sepanjang di dewan, saya perhatikan ramai calon yang lebih senior. Ada di antara mereka yang sudah beruban, sedangkan saya juga mengenali beberapa calon yang senior. Mereka ini boleh dikategorikan sebagai rajin, komited pada tugas dan pernah mendapat anugerah pekerja cemerlang pada setiap bulan, namun apabila berada di dewan peperiksaan saya mendengar rungutan-rungutan mereka.

Sudah pastilah dalam usia mereka separuh abad mereka sudah tidak mampu untuk menghafal pelbagai tajuk yang perlu. Kadangkala pelik saya dibuatnya. Teori dan amalan kadang kala menyimpang apabila kita bekerja. Saya mendengar rungutan-rungutan mereka sebelum masuk ke dewan. Ada yang sudah mengambil sebanyak 4 kali.

Adakah jika gagal menjawab maka mereka gagal dalam menjalankan tugas? adakah mereka tidak cemerlang? Saya yakin, yang berada dekat dengan saya semalam dan hari ini adalah pekerja yang rajin dan amanah. Kesungguhan mereka untuk mengambil PTK patut dipuji biarpun apa juga keputusan yang akan keluar kelak. Sewajarnya kerajaan mengkaji PTK ini agar ianya tidak menganiayai beberapa golongan yang sebenarnya telah mencurah bakti dan keringat pada organisasi.

Wednesday, June 17, 2009

USRAH




Semasa belajar di Kolej dahulu, saya antara yang sering mendapat tempat dalam jemputan oleh para pensyarah bagi mengikuti program usrah, daurah, mukhayam dan Rehlah. Mungkin rezeki yang Allah berikan iaitu saya memperolehi keputusan yang cemerlang setiap semester menjadikan saya antara yang 'glamour' semasa di kolej dahulu (bukan saya kata, tapi kawan-kawan kata..hehe).

Mengikuti program ketika itu sangat manis...penat belajar belum hilang sudah diusung oleh ustazah ke merata tempat sekitar Kelantan untuk pelbagai program. Rasa masa yang berlalu tidak sia-sia dengan nikmat dunia yang tidak pernah habis.

Dalam cuti 3 hari ini, saya menyelongkar almari buku, terjumpa beberapa ringkasan buku semasa di gunakan dalam usrah antaranya Wahai Pemuda, Usul 20 oleh Imam Al Syaheed Hassan Al Banna.

Buku-buku ini menjadi satu kemestian selain buku-buku akademik yang penuh di meja belajar ketika itu. Kini apabila semakin jauh dari masa, saya perlu membaca kembali buku-buku ini. Lumrah manusia untuk sering diingatkan.

Dulu semasa zaman belajar ada seorang ustaz selalu mengusik saya katanya 'cari akhi yang sekapal, senang'.. saya sengih2 kerang masa tuee. Maklumlah dengan tok guru masakan saya nak melawan. Maklumlah ketika itu ada beberapa akhi dalam grop yang mula merisik-risik untuk taaruf. Ada benarnya. Dalam islam ditekankan beberapa perkara sebelum memilih jodoh.

Saya ingat lagi kata-kata ustaz dalam kuliah suatu hari, untuk membina Watan Islam (tanahair) iainya perlu dimulakan dengan individu Muslim>Rumah tangga Muslim> Ummat Muslim>Kerajaan Islam> Watan Islam> Menawan kembali kerajaan ISlam yang dirampas> Menjadi pemerintah dunia.

Betapa bergeliganya minda Hassan Al Banna dalam membuat kupusan ini. Ini anugerah yang Allah berikan kepadaNya.

Saya kini dalam fasa Membina Rumah tangga Muslim, mendapat Mr A sebagai suami seolah-olah melengkapkan apa yang pernah ustaz katakan dahulu. Namun kami perlu sentiasa meningkatkan kualiti diri dan orang yang paling hampir dengan kami iaitu keluarga sendiri. Meskipun belum dikurniakan zuriat, saya berdoa dan berharap agar wasilah dari perkahwinan ini dapat menyumbang kepada zuriat yang akan meneruskan perjuangan menegakkan 'daulah islamiyyah' di tanah air yang tercinta ini. Insya Allah.

SEHARI BERMUSAFIR




Sabtu yang lalu, saya, suami, abang dan isteri serta anaknya menemani mak ke Utara tanah air. Kami ke Kulim untuk menziarahi Allayarham Tuk Aki yang merupakan ayah tiri mak. Mak sebenarnya mahu pergi sejak minggu lalu, namun disebabkan beliau masih dalam 'iddah' dan kami sendiri tidak mendapat cuti, maka hasrat itu ditangguhkan. Mak kata walaupun mak sudah tua, hukum tetap hukum, wanita yang kematian suami mesti menjaga dirinya dengan baik dalam tempoh ini. Saya sangat memahami mak dan tahu sesetengah perkara pasti mengundang fitnah. Seboleh mungkin kami adik beradik tidak mahu mak dilukai.

Kami bertolak dari KL jam 6.30 pagi. Dalam gelap kami membelah dini pagi. Udara terasa nyaman. Dengan keletah anak saudara, ianya dirasakan cukup menghiburkan. Allah menguji kami dengan sedikit masalah dengan kenderaan yang dinaiki. Namun segalanya dapat di atasi dengan baik.

Rasa sayu apabila kami mula melalui jalan-jalan yang pernah kami lalui dengan Abah semasa kecil-kecil dulu apabila mahu pulang ke Kampung di Gunung Semanggol. Melalui sawah padi yang menghijau, pipi terasa panas..rupanya air mata gugur di sini. Kali ini kami datang, namun hanyalah kami...abah sudah tiada lagi.

Selepas menziarahi pusara tuk aki di Kulim, kami meneruskan perjalanan ke Bayan Baru untuk menziarahi Mak Lang yang merupakan kakak mak. Sudah lama benar tidak bertemu. Mak berbual dengan mak lang, manakala saya memasang telinga mendengar ke dua beradik itu berbual.

Dalam perjalanan pulang dari Bayan Baru, mak menyatakan hasrat untuk menziarahi sahabat baik abah iaitu Pakcik Latif di Gunung Semanggol. Kami menunaikan hasrat mak, kawasan rumah pakcik Latif sngat cantik,dikelilingi sawah padi dan terusan, dahulu ketika kami datang semasa kecil depan rumahnya ada tali air yang kecil...kami boleh melujurkan kaki dan merasakan kesejukkan air dari Gunung. Sejuk...kali ini kami datang, rupanya pakcik Latif baru lepas mengadakan kenduri perkahwinan anak lelakinya. Kami dijamu nasi minyak dan pakcik Latif berbual dengan mak dan abang. Inilah satu-satunya kawan baik abah yang selalu abah ingat sekiranya dia pulang ke kampung. Pulang dari rumah pakcik Latif, kami menziarahi Tok Ndak di Gunung Semanggol yang merupakan mak saudara abah.

Gunung Semanggol sudah tentu memberi pelbagai nostalgia pada arwah abah dan abang. Abang dulu di hantar belajar oleh Abah di sana untuk merealisasikan impiannya.Maahad Al Ehya Assharif merupakan warisan keluarga abah.Arghh..masih banyak yang hendak di taip, tapi apabila saya berpeluang tentu saya akan berkongsi lagi nostalgia ini.


Tuesday, June 9, 2009

10 Wasiat Hassan Al Banna

10 Wasiat Hassan Al-Banna:

1. Apabila mendengar azan, segeralah mendirikan solat walau dalam keadaan apa sekalipun.

2. Bacalah Al-Quran, tatapilah buku-buku, pergilah mendengar perkara yang baik, amalkanlah zikrullah, dan janganlah sama sekali membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah.

3. Berusahalah sedaya upaya untuk bertutur dalam bahasa Arab yang betul kerana bahasa Arab yang betul itu, adalah satu-satunya syiar Islam.

4. Janganlah banyak bertengkar kerana pertengkaran kosong tidak mendatangkan kebaikan.

5. Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6. Janganlah bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.

7. Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang diperlukan oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring adalah resmi yang sia-sia dan boleh menyakiti hati orang.

8. Jauhilah daripada mengumpat peribadi orang dan janganlah bercakap melainkan apa-apa yang boleh memberi kebajikan.

9. Berkenal-kenalanlah dengan setiap umat Islam yang ditemui..asas gerakan dakwah kita ialah kasih sayang dan berkenal-kenalan.

10. Kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada; oleh itu, tolonglah saudaramu agar mereka dapat menggunakan masa dengan berfaedah; dan jika anda mempunyai tugas sendiri; ringkaskanlah pelaksanaannya.

BUAH ADAM




Semasa pulang ke rumah mak baru-baru ini, mak menghulurkan sampul surat bewarna kuning cair kepada saya. Rupanya mak mengirim buah Adam (sesetengah orang panggil buah Zuriat) dari rakannya yang pergi umrah baru-baru ini. Terdapat 2 biji buah ini dalam sampul itu beserta kaedah memakannya yang ditulis oleh orang yangmembelinya itu (saya rasa, semoga Allah membalas niat baiknnya ini).

Manurut kisahnya, buah ini dapat menolong dalam usaha mendapatkan zuriat. Sejauh mana kebenarannya saya sendiri tidak tahu. Ada penjual di Mekah memberitahu isteri Nabi Adam iaitu Hawa selepas memakan buah ini barulah hamil. Walahualam. Saya takut jika saya menokok tambah cerita ini dan saya lagi takut mengada-adakan sesuatu yang tiadak ada dalam al-Qur'an .

Mak berkata pada saya, 'usahalah' tapi jangan percaya buah ini yang akan buat saya memperolehi zuriat. Saya akur. Saya berikan sebiji kepada seorang sahabat yang senasib dengan saya. Pada waktu ini, Allah mengji saya jika saya mahu menjadi orang yang tamak dan tidak mahu berkongsi dengan orang lain. Namun bagi saya, jika tiada rezeki saya, apa salahnya saya berikan rezeki ini yang mungkin adalah hak rakan saya juga. Jika beliau hamil, alhamdulillah, saya tumpang gembira dan mendapat pahala atas pengorbanan ini. Betapa peritnya menunggu zuriat yang belum kunjung tiba...saya sangat memahami situasi ini. Penat lagi melayan perosalan, sindirian orang sekeliling yang asyik bertanyakan tentang anak kepada kami.

Saya tidak berputus asa kerana saya tahu bahawa rezeki Allah masih belum tiba untuk saya dan suami. Maka berdoalah...semoga doa kami dimakbulkan suatu hari nanti. Amin!

Monday, June 8, 2009

BAKAT

Semasa di sekolah dahulu, saya selalu menulis puisi. Menghantar ke majalah sekolah dengan menggunakan nama pena "Semilir". Ntah macam mana saya mendapat nama itu, cuma saya ingat saya suka membaca sehingga bertemu perkataan tersebut. Malah saya pernah ditanya di dalam kelas oleh Cikgu Yusny mengenai beberapa perkataan yang saya guna setiap kali ujian penggal dijalankan.

Malah semasa pertandingan di sekolah dahulu, saya sudi membuatkan puisi untuk seorang kawan, dia berjanji kalau menang hadiah dibahagikan. Namun apabila menang saya tidak diendahkan. Saya geram sungguh waktu itu. Saya mengadu pada mak. Mak kata pada saya " lain kali jangan letak nama orang lain". Sedihnya.

Namun semua itu tinggal kenangan, bakat yang ada saya biarkan sepi, saya cukup yakin dengan kemampuan saya menulis. Ini terbukti semasa saya meningkat dewasa, ada saja rakan merujuk kepada saya untuk menulis. Malah pencapaian ini terbukti dalam peperiksaan SPM apabila saya mendapat Anugerah Pelajar Cemerlang bagi matapelajaran Bahasa Melayu.

Kini apabila sudah mempunyai blog sendiri, saya cuba mengembalikan saat-saat itu...menulis dan terus menulis... Malah saya pernah menulis cerpen pendek namun 'tersepuk' dibawah kain-kain baju di dalam almari.

Apabila saya membaca blog Puan Ainon dari PTS saya memberitahu suami suatu hari kelak jika diizinkan Allah, saya ingin sangat mengikuti bengkel penulisan yang dikendalikan oleh Puan Ainon. Suami menyokong hasrat saya malah menggalakkan saya untuk menulis. Semoga hasrat ini menjadi kenyataan.

Saturday, June 6, 2009

RINDU





Hari ini saya sendirian di rumah. Suami, Mr A sudah keluar untuk mengikuti perkemahan selama 5 hari bersama rakan-rakannya. Rasa sunyi teramat. Rindu pun iyer juga.

Saya memanfaatkan masa dengan menyiapkan rutin sebagai isteri, mengosok baju kerja Mr. A, mengemas rumah dan semua kerja-kerja yang terbantut semasa hari biasa. Walaupun saya akan menduduki PTK, namun semangat untuk membaca buku langsung tiada. Yang dicapai oleh saya adalah buku "Jangan Bersedih" yang dikarang oleh Dr. Aidh b. Abdullah Al Qarni.

Menitis air mata tatkala membacanya..Apabila membaca bab "Ambillah Hikmah dalam Setiap Kejadian" saya sebak. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui segalanya.

Kerinduan pada Arwah Abah memuncak..jika abah masih ada saya sendiri tidak tahu bagaimanakah cara untuk menunjukkanya. Malah saya sangat kekok meskipun saya sangat sayang kepadanya. Tapi saya tahu, abah tahu saya sayangkannya.

Bukankah kalau kita sayangkan sesuatu kita mesti tunjukkan dengan perbuatan yang disukai orang itu? Abah suka kami patuh pada syariat, maka saya akan sentiasa cuba mematuhinya.

Pulang ke rumah ibu baru-baru ini, ketika bersamanya di dalam bilik, mak becerita tentang kak yang yang mimpikan abah. Mak nangis..saya tahu mak rindukan abah. Saya diam..saya katakan pada mak " insya Allah abah dapat tempat yang baik di sana". Sebenarnya saya memujuk hati sendiri. Saya masih sedih...kadang-kala ada yang tanya lagi "sedih kenapa? bukankah dah lama abah pergi?" saya jadi terkesima. Benarlah, kita tidak akan merasai selagi kita tak mengalaminya sendiri. Saya istiqfar.... Saya memohon keampunanMu ya Allah. Kerinduan pada abah memuncak. Saya doakan abah yang terbaik di sana. Al Fatihah.