Thursday, June 25, 2009

Tafsir Mimpi Menurut Tradisi Islam



Buku karangan Muhammad Ibnu Sirin ini saya beli ketika di MPH Jusco petang tadi. Sebelum ini saya pernah mencarinya, namun tidak menepati seperti yang saya inginkan. Kebetulan semasa membeli buku ini,ia hanya tinggal sebuah sahaja, meskipun kulit belakangnya sudah 'kemek' saya membelinya juga memandangkan isinya tidak terjejas.

Mr A nampak macam tak berapa setuju apabila saya mahu membeli buku ini. Mungkin dia fikir saya akan terpengaruh setiap kali bermimpi di malam hari.

Agak sinis juga pendapat beliau,namun lekas-lekas saya menyatakan itu sekadar rujukan dalam berhadapan pelbagai kerenah klien dan individu yang bertemu saya dengan 1001 masalah mereka setiap hari.

Lagipun dalam buku ini sudah diterangkan "Mimpi yang benar merupakan satu bahagian dari empat puluh enam cabang kenabian". ada mimpi yang berasal dari syaitan dengan demikian menyesatkan.

Semoga buku ini meningkatkan ilmu saya dan tidak menjadikan saya lalai dan alpa. Semoga Allah mengampunkan saya.

BERBANGGAKAH ANDA MERAIKAN HARI BAPA?


**Artikel ini di ambil dari Harakah online, Khamis 25 Jun 2009




Apabila menatap akhbar, sedarlah penulis, Ahad, 21 Jun ini adalah Hari Bapa. Penulis pun membaca beberapa kisah anak dan bapa. Ada sebuah rencana, disertakan gambar seorang bapa dipeluk dua anak gadisnya sekali gus. Kedua-duanya tidak bertudung, berpakaian santai.


Ada rencana pula memberitahu apa hadiah yang boleh diberi kepada si bapa, umpamanya meraikannya dengan majlis makan tengah hari dan menghadiahkannya gajet seperti telefon bimbit, komputer riba dan kamera. Malah ada pihak kreatif mengkomersialkan Hari Bapa menawarkan sandwic dan pelbagai juadah lain di restoran mereka.

Sebuah rencana bermula dengan ayat, 'Kasih ibu bawa ke syurga, kasih bapa tiada penghujungnya'. Membaca ungkapan ini, melayanglah ingatan penulis akan tazkirah sebelum Jumaat dan khutbah di masjid ketika solat Jumaat hari ini (19 Jun). Kedua-dua majlis ini memperkatakan perkara yang sama - Hari Bapa - dengan penceramah menekankan akan tanggungjawab bapa kepada anak manakala khatib membawa persoalan solat.

Kata penceramah, anak adalah harta (aset) paling bernilai bagi seorang bapa. Ada sebuah hadis menyebut apabila mati seseorang anak Adam (manusia) maka ada tiga perkara yang masih boleh memberi manfaat kepadanya.

Pertama adalah sedekah jariah; kedua ilmu yang bermanfaat dan ketiga anak soleh yang mendoakan orang tuanya. Penceramah berhujah, adakah anak yang kita kasihi sekarang ini, akan mendatangkan manfaat kepada kita apabila kita berada di alam kubur (barzakh) dan alam seterusnya?

Muhasabah (koreksi)lah diri, apakah benar kita sudah menyediakan anak-anak untuk memikul amanah yang berat itu? Sebagai permulaan, eloklah ditanya soalan ini.

Apakah nanti apabila aku mati, anak-anak itu dapat menguruskan jenazahku iaitu memandi, mengkafan, menyembahyang dan menguburkan diriku? Atau adakah mereka akan duduk jauh-jauh, bersembang-sembang di bawah rimbunan pokok di halaman rumah dan menyerahkan semua urusan menyempurnakan aku kepada tok bilal, pak imam dan sebagainya?

Anak yang dapat menolong kita adalah anak-anak yang soleh. Namun semasa hidup ini adakah kita sudah menyediakan anak-anak kita untuk menjadi orang soleh dan solehah?

Tataplah muka surat akhbar yang mengkisahkan si anak dan bapa; jarang benar ditemui si bapa yang meluahkan kebimbangannya akan perangai si anak; hampir semuanya nampak ceria saja, antara lain menunjukkan si bapa bangga bergambar di sisi si anak yang tidak menutup aurat dengan sempurna, atau si anak menjadi seorang artis berjaya.

Adalah biasa untuk kita temui sebuah keluarga, si bapa berkopiah haji, si ibu bertudung litup tetapi si anak daranya selama saja berjeans ketat dan berbaju pendek. Terlalu biasa melihat remaja bertudung, tetapi mendedahkan lengan dan bentuk badannya dengan pakaian terlalu ketat. Adakah pak haji dan mak aji ini fikir dia saja nak masuk syurga; anak-anak lantak kau oranglah.

Ini antara penampilan luaran, yang dapat disaksikan umum, tetapi bagaimana bab lain seperti penyempurnaan Rukun Islam seperti bab sembahyang? Perkara inilah ditekankan oleh khatib dalam khutbah Jumaatnya.

Sebagai bapa yang diraikan sempena Hari Bapa, apakah sudah dibereskan tugas bapa yang wajib memastikan seluruh ahli keluarganya menunaikan solat? Usahlah ketawa tersengih-sengih bergambar dengan si anak, berbangga sudah membesarkan mereka menjadi penyanyi, pelakon, pramugari, guru, jurutera dan profesion hebat-hebat lain, tetapi persoalan menyempurnakan Rukun Islam seperti solat tidak beres?

Perlu disedari betapa banyak orang sekarang sudah meninggalkan solat lima waktu. Secara automatik anak yang tidak solat terkeluar daripada senarai anak soleh. Jadi apakah yang kita boleh harapkan daripada mereka? Adakah kita bangga jika mereka menitipkan wang RM100 atau RM200 sebulan kepada kita sebagai mengenang jasa kita sebagai seorang ayah sedangkan mereka tidak sembahyang?

Inilah kerunsingan yang perlu kita fikirkan sempena Hari Bapa ini. Runsing akan masa depan anak-anak aku ini, bolehkah mereka menjadi anak soleh yang akan mendoakan aku apabila aku masuk dalam kubur nanti. Bukanlah pada Hari Bapa ini kita kita disibukkan oleh runsing aku nak dapat hadiah apa, aku nak dibawa ke restoran mana atau aku akan dikelilingi anak-anak dara aku sedangkan mereka gemar mendedahkan aurat mereka dan tak sembahyang pun!

Bertanyalah secara jujur, berjayakah atau sudah berusaha keraskah kita mendidik anak-anak kita menjadi insan soleh? Tentunya, kita akan berasa malu, kita gagal menjadi seorang bapa yang baik, yang mengikuti perintah Allah SWT sepenuhnya. Kepada-Nya kita mohon keampunan, bertaubat bersungguh-sungguh kerana gagal menjadi bapa yang baik sebagai dikehendaki-Nya.

Selain seorang bapa, kita sebenarnya adalah juga seorang anak. Adakah kita seorang anak yang termasuk dalam golongan soleh yang dapat menolong orang tua kita di alam ini atau di alam sana?

Akuilah kita gagal menjadi seorang anak yang baik dan juga seorang bapa yang baik. Kepada-Nya kita mengadu, Ya Allah, Kau ampunilah dosa-dosaku, kedua ibu bapaku, datuk moyang dan zuriat-zuriat kami dan sekalian Muslimin dan Musliman kerana kegagalan kami menjadi anak dan bapa yang baik sebagaimana kehendak-Mu.

Kerana gagal menjadi bapa dan anak yang baik, apakah kita rela tersengih-sengih menyambut Hari Bapa ciptaan Barat itu, apatah lagi dengan menghadiri majlis yang menambahkan koleksi maksiat dan dosa kita kepada-Nya?

Fikir-fikirkan.

Wednesday, June 24, 2009

ZAINAB AL GHAZALI

Permata Dakwah Yang Berkilau Di Era Jatuhnya Islam

Zainab al-Ghazali bukanlah seperti wanita biasa. Seperti Aisha Abdul Rahman, beliau merupakan rakyat Mesir dan mempertahankan hak-hak wanita Islam berdasarkan apa yang diyakini beliau sebagai fahaman Islam yang betul. Beliau dilahirkan di Al-Bihira pada tahun 1917 di dalam keluarga yang terhormat, keturunan Umar al-Khattab dan al-Hasan bin Ali bin Abi Talib. Ayah beliau juga merupakan lulusan al-Azhar. Beliau lebih terkedepan sebagai pejuang dan aktivis Islam daripada seorang yang ulama’. Sewaktu mudanya, beliau aktif dalam pergerakan feminis, dan menyertai Kesatuan Wanita Mesir (Egyptian Feminist Union) yang diasaskan oleh Huda as-Syarawi pada tahun 1923. Beliau telah keluar daripada persatuan itu disebabkan tidak bersetuju dengan idea dan landasan perjuangan gerakan pembebasan wanita. Pada umur 18 tahun
(1936), beliau mengasaskan Persatuan Wanita Islam untuk menguruskan hal-ehwal dan akitiviti-aktiviti wanita berlandaskan ajaran Islam dan tujuan ke arah Islam.

Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Hasan al-Banna pada 1928 mempunyai perancangan untuk mengasaskan sayap wanita di dalam pertubuhannya. Hasan al-Banna telah meminta beliau untuk mengetuai bahagian wanita dalam Ikhwan Muslimin. Beliau dan persatuannya menolak tawaran ini tetapi menyatakan persetujuan untuk memberikan kerjasama. Setelah Ikhwan Muslimin dibubarkan pada tahun 1948, Zaynab al-Ghazali telah berbaiah kepada Hasan al-Banna pada tahun 1949 untuk menyokongnya dan bersama memperjuangkan sebuah daulah Islam. Malangnya Hasan al-Banna telah gugur syahid tidak lama setelah itu. Kesedihan hati Zaynab telah tercoret dalam bukunya yang masyhur, Hari-hari Dalam Hidupku. Beliau menyambung perjuangan dan mengotakan baiahnya kepada pemimpin Ikhwan Muslimin yang menggantikan Hasan al-Banna iaitu Hasan al-Hudhaibi. Beliau menyertai dan bersama dengan ahli Ikhwan Muslimin terutama apabila Ikhwan Muslimin diharamkan dan mereka terpaksa bergerak secara rahsia di bawah pemerintahan Jamal Abdul Naser sekitar tahun 1950-1960an.Dalam satu temuramah dirumahnya di Heliopolis, Mesir pada tahun 1981, Zainab al-Ghazali berkata:


“Islam telah menyediakan segala-galanya untuk lelaki dan perempuan. Islam memberikan wanita semuanya-kebebasan,hak ekonomi,hak politik,hak social, hak awam dan juga hak persendirian. Islam telah memberikan hak-hak wanita di dalam keluarga lebih daripada persatuan dan agama lain. Wanita boleh berkata tentang kebebasan wanita dalam masyarakat Kristian,Yahudi dan juga masyarakat pagan, tetapi dalam masyarakat Islam adalah satu kesilapan besar untuk berkata tentang kebebasan wanita. Wanita Muslim perlu mempelajari Islam supaya mereka tahu Islam telah memberikan mereka semua hak-hak mereka.”


Inilah intipati pemikiran Zainab al-Ghazali berkenaan dengan status wanita seperti yang selalu diluahkan dan disampaikan beliau dalam ceramah-ceramah beliau dan juga karya-karya beliau di dalam majalah al-Da’wa, dimana beliau merupakan editor sebuah ruangan untuk pembangunan rumah tangga Muslim yang sebenar. Perkara utama dalam perjuangan beliau adalah pentarbiyahan, iaitu untuk memberi kefahaman Islam di dalam pemikiran wanita, mendidik mereka tentang hak-hak dan tanggungjawab mereka dan mengubah masyarakat untuk membina sebuah daulah Islamiah yang berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw.


Zainab al-Ghazali meyakini bahawa Islam membenarkan wanita untuk bergiat aktif dalam hal social, memegang jawatan, memasuki politik dan juga memberi pendapat. Beliau percaya Islam membenarkan wanita memiliki harta, menguruskan perniagaan dan apa sahaja yang mereka mahu dalam perkhidmatan masyarakat Islam. Beliau berpendapat tugas utama wanita Muslimah ialah menjadi ibu dan isteri. Oleh itu, tiada tanggungjawab lain yang boleh mengatasi tanggungjawab ini. Jika wanita itu mempunyai masa luang untuk menyertai aktiviti kemasyarakatan setelah tugasnya sebagai ibu dan isteri telah dipenuhi, maka dia boleh berbuat demikian kerana Islam tidak melarang perbuatan tersebut.


Zainab al-Ghazali sangat meyakini tanggungjawab agama dan social apabila berkahwin. Pada perkahwinan beliau yang pertama, suami beliau tidak bersetuju untuk membenarkan beliau bergiat aktif dalam perjuangan Islam. Dengan sebab itu, beliau telah meminta cerai daripada suaminya kerana pra-syarat yang diletakkan oleh beliau sebelum berkahwin adalah membenarkan beliau memperjuangkan Islam. Suami beliau yang kedua memahami semangat dan gagasan perjuangan beliau dan melibatkan diri dalam penulisan untuk menyokong beliau dan sama sekali tidak menghalang beliau dari perjuangan. Didalam buku ‘Hari-hari dalam Hidupku’ (Ayyam min Hayati) beliau mengisahkan bagaimana suami beliau walaupun sangat bimbang akan diri beliau tetapi terus menerus menyokong perjuangan suci beliau. Zainab al-Ghazali juga menekankan beliau tidak akan mengabaikan tanggungjawab kepada suami dan keluarga beliau walaupun beliau Amirah sayap wanita Ikhwan Muslimin. Tanggungjawab beliau yang berat itu menyebabkan beliau perlu bekerja pada waktu yang panjang di pejabat beliau dan aktiviti bersama Ikhwan Muslimin. Setelah kematian suaminya yang kedua, beliau masih di dalam penjara. Beliau merasakan tanggungjawabnya terhadap perkahwinan telah selesai dan beliau bebas untuk mengorbankan seluruh masanya untuk perjuangan Islam.


Sebagaimana pejuang-pejuang Islam yang lain, beliau juga kecewa dengan revolusi Mesir 1952 yang didokong mereka pada mulanya dan akhirnya pejuang Islam telah dikhianati oleh Jamal Abdul Naser. Zainab al-Ghazali menyatakan bahawa rejim Jamal Abdul Naser adalah musuh kepada Islam. Setelah beberapa tokoh Ikhwanul Muslimin ditangkap dan dihukum mati dan ramai dipenjara, beliau mendahului pergerakan untuk menolong isteri, janda dan keluarga pejuang yang telah dibunuh dan dipenjarakan. Walaupun dipenjara, beliau meningkatkan usaha tarbiyyah secara rahsia diketuai oleh pimpinan Ikhwan Muslimin. Dalam tahun 1962, beliau dapat berhubung dengan Sayyid Qutb melalui dua orang adik Sayyid Qutb dan menerima tulisan beliau berkenaan perjuangan Islam dan tafsir al-Quran dan hadith serta syariah Islam. Beliau juga menerima sebahagian dari buku yang dikarang oleh Sayyid Qutb dalam penjara yang kemudian diterbitkan dengan judul Ma’alim Fit-Tariq (Petunjuk Sepanjang Jalan).


Tulisan dan petunjuk daripada Sayyid Qutb di dalam penjara dan juga ayat-ayat al-Quran akan dipelajari dalam satu kumpulan terdiri daripada lima hingga sepuluh pemuda yang berjumpa pada waktu malam di rumah Zainab ataupun tempat lain. Perbincangan, pandangan dan pendapat diutarakan di dalam pertemuan tersebut. Dengan persetujuan Sayyid Qutb dan pimpinan Ikhwan Muslimin, keputusan untuk menjalankan program tarbiyyah selama 13 tahun sepertimana zaman Rasulullah saw di era Mekah. Apabila tempoh ini berakhir, maka studi dan kajian akan dibuat adakah sekurangnya 75% daripada rakyat Mesir sudah yakin dengan keperluan adanya daulah Islam dan membangunkannya. Jika ianya terjadi maka gerak kerja menubuhkan daulah Islam akan dilakukan dan jika belum lagi mencapai tahap tersebut, program pentarbiyahan akan dilakukan semula selama 13 tahun lagi sehingga sehingga rakyat bersedia untuk membina daulah Islam, menerima pakai undang-undang syariah Islam dan menegakkan hukum Islam berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw.


Apabila kerajaan Mesir berasa curiga dengan perkumpulan rahsia dan matlamat mereka ini, Ikhwan Muslimin diserbu pada tahun 1965. Ikhwah dan akhawat pergerakan Ikhwan Muslimin semuanya ditangkap dan dipenjarakan. Zainab al-Ghazali adalah salah seorang daripada mereka. Jemaah wanita Ikhwan Muslimin dibubarkan. Beliau dibicarakan bersama sahabiah yang lainnya pada tahun 1966 dan dihukum penjara seumur hidup dengan kerja berat. Satu hukuman yang tidak masuk akal bagi seorang wanita. Namun pada tahun 1971 beliau telah dibebaskan apabila kematian Jamal Abdul Nasir dan Anwar Sadat mengambil alih tampuk pemerintahan. Setelah itu, beliau terus sahaja meneruskan perjuangan beliau tanpa mengenal penat lelah dalam mendaulatkan Islam dibumi Mesir.


Beliau merupakan wanita yang terkemuka setelah jatuhnya khilafah Islamiah di Mesir. Beliau tidak mempunyai anak dan segalanya hidupnya diserahkan kepada perjuangan Islam. Beliau juga menjadi sanjungan dan pendorong kepada perjuangan wanita di seluruh dunia. Beliau dihormati oleh kawan dan lawan, malah disegani oleh tokoh-tokoh ulama’ kerana perjuangannya yang luar biasa.


Zainab al-Ghazali kembali ke rahmatullah pada hari Rabu 3 Ogos 2005 di kala umur beliau 88 tahun. Ternyata umur yang panjang yang dianugerahkan Allah pada beliau telah digunakan tanpa sia-sia sedikitpun, semuanya dikorbankan demi menegakkan agama Allah yang mulia. Beliau terus menjadi idola dakwah kepada pejuang-pejuang Islam di seluruh dunia. Beliau juga menjadi bukti kukuh bahawa sebenarnya Islam mampu membina wanita yang berjuang untuk Islam. Sejarah hidup beliau persis hidup srikandi di teratak Rasulullah saw. Jadi tidaklah salah jika kita menggelarnya sebagai Ummul Mujahidah pada masa kini. Moga Allah mencucuri rahmat yang melimpah ruah kepada beliau dan menjadikan beliau di kalangan para siddiqin,amilin dan mujahidin.

RAMADHAN YANG SEMAKIN HAMPIR



Hari ini hari pertama dalam bulan Rejab...sudah hampir benar Ramadhan. Hati semakin resah, adakah tahun ini saya masih lagi berpeluang bertemu Ramadhan?

Tuesday, June 23, 2009

PEPERIKSAAN PTK



PTK, isu yang tidak pernah selesai. Saya baru sahaja habis menghadapi peperiksaan tersebut pagi tadi. Pengalaman pertama..bak kata seorang kawan, 'test power' ajer.

Sepanjang di dewan, saya perhatikan ramai calon yang lebih senior. Ada di antara mereka yang sudah beruban, sedangkan saya juga mengenali beberapa calon yang senior. Mereka ini boleh dikategorikan sebagai rajin, komited pada tugas dan pernah mendapat anugerah pekerja cemerlang pada setiap bulan, namun apabila berada di dewan peperiksaan saya mendengar rungutan-rungutan mereka.

Sudah pastilah dalam usia mereka separuh abad mereka sudah tidak mampu untuk menghafal pelbagai tajuk yang perlu. Kadangkala pelik saya dibuatnya. Teori dan amalan kadang kala menyimpang apabila kita bekerja. Saya mendengar rungutan-rungutan mereka sebelum masuk ke dewan. Ada yang sudah mengambil sebanyak 4 kali.

Adakah jika gagal menjawab maka mereka gagal dalam menjalankan tugas? adakah mereka tidak cemerlang? Saya yakin, yang berada dekat dengan saya semalam dan hari ini adalah pekerja yang rajin dan amanah. Kesungguhan mereka untuk mengambil PTK patut dipuji biarpun apa juga keputusan yang akan keluar kelak. Sewajarnya kerajaan mengkaji PTK ini agar ianya tidak menganiayai beberapa golongan yang sebenarnya telah mencurah bakti dan keringat pada organisasi.

Wednesday, June 17, 2009

USRAH




Semasa belajar di Kolej dahulu, saya antara yang sering mendapat tempat dalam jemputan oleh para pensyarah bagi mengikuti program usrah, daurah, mukhayam dan Rehlah. Mungkin rezeki yang Allah berikan iaitu saya memperolehi keputusan yang cemerlang setiap semester menjadikan saya antara yang 'glamour' semasa di kolej dahulu (bukan saya kata, tapi kawan-kawan kata..hehe).

Mengikuti program ketika itu sangat manis...penat belajar belum hilang sudah diusung oleh ustazah ke merata tempat sekitar Kelantan untuk pelbagai program. Rasa masa yang berlalu tidak sia-sia dengan nikmat dunia yang tidak pernah habis.

Dalam cuti 3 hari ini, saya menyelongkar almari buku, terjumpa beberapa ringkasan buku semasa di gunakan dalam usrah antaranya Wahai Pemuda, Usul 20 oleh Imam Al Syaheed Hassan Al Banna.

Buku-buku ini menjadi satu kemestian selain buku-buku akademik yang penuh di meja belajar ketika itu. Kini apabila semakin jauh dari masa, saya perlu membaca kembali buku-buku ini. Lumrah manusia untuk sering diingatkan.

Dulu semasa zaman belajar ada seorang ustaz selalu mengusik saya katanya 'cari akhi yang sekapal, senang'.. saya sengih2 kerang masa tuee. Maklumlah dengan tok guru masakan saya nak melawan. Maklumlah ketika itu ada beberapa akhi dalam grop yang mula merisik-risik untuk taaruf. Ada benarnya. Dalam islam ditekankan beberapa perkara sebelum memilih jodoh.

Saya ingat lagi kata-kata ustaz dalam kuliah suatu hari, untuk membina Watan Islam (tanahair) iainya perlu dimulakan dengan individu Muslim>Rumah tangga Muslim> Ummat Muslim>Kerajaan Islam> Watan Islam> Menawan kembali kerajaan ISlam yang dirampas> Menjadi pemerintah dunia.

Betapa bergeliganya minda Hassan Al Banna dalam membuat kupusan ini. Ini anugerah yang Allah berikan kepadaNya.

Saya kini dalam fasa Membina Rumah tangga Muslim, mendapat Mr A sebagai suami seolah-olah melengkapkan apa yang pernah ustaz katakan dahulu. Namun kami perlu sentiasa meningkatkan kualiti diri dan orang yang paling hampir dengan kami iaitu keluarga sendiri. Meskipun belum dikurniakan zuriat, saya berdoa dan berharap agar wasilah dari perkahwinan ini dapat menyumbang kepada zuriat yang akan meneruskan perjuangan menegakkan 'daulah islamiyyah' di tanah air yang tercinta ini. Insya Allah.

SEHARI BERMUSAFIR




Sabtu yang lalu, saya, suami, abang dan isteri serta anaknya menemani mak ke Utara tanah air. Kami ke Kulim untuk menziarahi Allayarham Tuk Aki yang merupakan ayah tiri mak. Mak sebenarnya mahu pergi sejak minggu lalu, namun disebabkan beliau masih dalam 'iddah' dan kami sendiri tidak mendapat cuti, maka hasrat itu ditangguhkan. Mak kata walaupun mak sudah tua, hukum tetap hukum, wanita yang kematian suami mesti menjaga dirinya dengan baik dalam tempoh ini. Saya sangat memahami mak dan tahu sesetengah perkara pasti mengundang fitnah. Seboleh mungkin kami adik beradik tidak mahu mak dilukai.

Kami bertolak dari KL jam 6.30 pagi. Dalam gelap kami membelah dini pagi. Udara terasa nyaman. Dengan keletah anak saudara, ianya dirasakan cukup menghiburkan. Allah menguji kami dengan sedikit masalah dengan kenderaan yang dinaiki. Namun segalanya dapat di atasi dengan baik.

Rasa sayu apabila kami mula melalui jalan-jalan yang pernah kami lalui dengan Abah semasa kecil-kecil dulu apabila mahu pulang ke Kampung di Gunung Semanggol. Melalui sawah padi yang menghijau, pipi terasa panas..rupanya air mata gugur di sini. Kali ini kami datang, namun hanyalah kami...abah sudah tiada lagi.

Selepas menziarahi pusara tuk aki di Kulim, kami meneruskan perjalanan ke Bayan Baru untuk menziarahi Mak Lang yang merupakan kakak mak. Sudah lama benar tidak bertemu. Mak berbual dengan mak lang, manakala saya memasang telinga mendengar ke dua beradik itu berbual.

Dalam perjalanan pulang dari Bayan Baru, mak menyatakan hasrat untuk menziarahi sahabat baik abah iaitu Pakcik Latif di Gunung Semanggol. Kami menunaikan hasrat mak, kawasan rumah pakcik Latif sngat cantik,dikelilingi sawah padi dan terusan, dahulu ketika kami datang semasa kecil depan rumahnya ada tali air yang kecil...kami boleh melujurkan kaki dan merasakan kesejukkan air dari Gunung. Sejuk...kali ini kami datang, rupanya pakcik Latif baru lepas mengadakan kenduri perkahwinan anak lelakinya. Kami dijamu nasi minyak dan pakcik Latif berbual dengan mak dan abang. Inilah satu-satunya kawan baik abah yang selalu abah ingat sekiranya dia pulang ke kampung. Pulang dari rumah pakcik Latif, kami menziarahi Tok Ndak di Gunung Semanggol yang merupakan mak saudara abah.

Gunung Semanggol sudah tentu memberi pelbagai nostalgia pada arwah abah dan abang. Abang dulu di hantar belajar oleh Abah di sana untuk merealisasikan impiannya.Maahad Al Ehya Assharif merupakan warisan keluarga abah.Arghh..masih banyak yang hendak di taip, tapi apabila saya berpeluang tentu saya akan berkongsi lagi nostalgia ini.