Thursday, September 3, 2009

Baiti Janati (Rumahku Syurgaku)




Gambar di atas adalah gambar anak-anak buah saya. Penah saya tunjukkan sebelum ini. Dari salah satu ruang di rumah keluarga saya (tempat saya di didik).

Episod tentang rumah masih rancak dibibir saya dan semakin kerap dibincangkan bersama Mr A. Banyak perkara yang perlu difikirkan, banyak juga duit yang perlu dibelanjakan.

Teringat rumah keluarga saya di KL. Rumah itu adalah hasil titik peluh abah dengan gaji yang tidak seberapa ketika itu. Namun demi memastikan kami mempunyai rumah abah dan mak bekorban banyak untuk rumah ini.

Rumah keluarga saya sangat simple, tanpa perabot yang mahal-amahl atau hiasan-hiasan yang canggih. walaupun semasa zaman remaja dulu, saya ingin sekali menghias rumah tetapi hasrat selalu terbantut apabila bertahan sekejap sahaja. Maklumlah mak mengasuh anak-anak jiran, rumah bersepah dan kotor. Adakalnya saya naik angin dengan keadaan rumah apabila balik dari sekolah.

Apabila semakin dewasa, saya mengerti, bukan hiasan fizikal yang abah dan mak inginkan dalam rumah ini. Sebaliknya pengisian penghuninya dengan ilmu dan kefahaman lagi penting dari segala-gala hiasan di dalam rumah. Dulu saya malu nak ajak rakan-rakan ke rumah, tetapi sekarang tidak lagi. Bagi saya mak dan abah menjadikan rumah kami seperti syurga kecil didunia ini.

Saya terbaca blog Ustaz Hasrizal mengenai kenagan yang selalu kita ingat. Adakah bila kita asyik mengenang kenangan tersebut bermakna kita bahagia? MUngkin lebih bahagia dari sekarang? Setiap orang mempunyai jawapannya sendiri. Kenangan yang menjadikan kita lebih insaf, apa salahnya untuk diingati bukan? Muhasabah diri yang perlu dibuat berterusan.

Apabila sudah berkahwin saya juga agak malu dengan Mr A apabila dia melihat rumah saya. Maklumlah rumah saya sangat sederhana, tiada set sofa yang mahal, almari antik mahupun hiasan-hiasan di dinding seperti rumah-rumah yang lain sekarang. Rumah abah dan mak saya hanya ada 3 almari yang penuh dengan kitab-kita dan buku-buku lama abah. Tafsir Imam Bukhari dan pelbagai. Satu almari buku yang menempatkan buku-buku saya, sofa yang baru saya beli tahun lepas (tetapi kerana murah, ianya macam dah tidak selesa), sebuah meja makan, dan sebuah mesin jahit kepunyaan mak.

Itulah rumah saya, namun rumah saya inilah tempat saya belajar segala-galanya tentang kehidupan, kepayahan, kefahaman tentang Islam. Rumah saya berhadapan dengan surau. Surau ini menjadi kesayangan abah dan mak. Malah saya juga...Malah surau inilah yang menempatkan jenazah abah ketika Allahyarham Abah hendak dimandi dan difankan oleh sahabt-sahabat, menantu dan anak-anak lelakinya.

Semoga rumah saya kelak akan menjadi syurga seterusnya menjadi sebuah Rumah Manis yang diidami oleh Mr A dan saya, yang mana penuh barakah, Mawaddah dan Rahmah. Insya Allah.

Tuesday, September 1, 2009

RUMAH




Terkejut bukan kepalang saya petang ni, bila saya menelefon pemaju, dan mereka mengatakan rumah sudah siap. Kemungkinan dalam bulan 10 sudah boleh ambil kunci. Eisshh...biar betul, dalam perjanjian saya dapati tarikh serahan pada Februari 2010 sepatutnya. Apabila saya tanya kepada orang yang menguruskan hal ini, beliau mengesahkannya. Alhamdulillah...sebelum Ramadhan baru ni, saya dan Mr A ada pergi melawat, memang nampak semua dah ada cuma sedang buat jalan sahaja. Risau juga sebab banyak sangat dengar kes projek terbengkalai.

Saya berdoa, Allah memudahkan segala urusan saya dan Mr A apabila hendak berpindah kelak. Jauh di sudut hati sebak, mengingatkan abah tidak berkesempatan melihat rumah saya meskipun arwah yang menjadi saksi saya dalam semua dokumen jual beli yang lalu.
Al Fatihah untuk abah. Semoga abah mendapat istana dari permata di dalam syurga yang lebih nikmat dari semua rumah yang ada di dunia ini. Amin.

Wednesday, August 26, 2009

RAMADHAN tanpa ABAH



Selamat menjalankan ibadah puasa dari saya. Maafkan saya atas kesalahan yang mungkin saya lakukan terutama dalam coretan-coretan saya di blog ini yang mungkin kurang disenangi. Saya mengharap keampunan Allah swt atas segala kekhilafan saya.

Ramadhan kali ini amat sibuk, bagi Mr A yang bergelar guru, mungkin seronok sikit sebab awal Ramadhan sekolah bercuti seminggu, namun bagi saya sudah lama benar tidak menjenguk blog ini untuk update entri terkini. Kesibukkan berpindah ke pejabat baru di tingkat 5 (tanpa lif) memaang satu cabaran menjelang beberapa hari sebelum Ramadhan. Satu cabaran yang teramat. Bagi yang selalu lewat, bertambah lewat, bagi yang datang awal (ikut Mr A keluar sekali jam 7) saya kurang menghadapi masalah. Cuma boleh dikatakan 2 kali saya berhenti menarik nafas untuk mengumpul tenaga untuk terus mendaki.

Ramadhan pertama saya dan suami berbuka puasa di rumah mak di KL. Saya memasak dan membawanya dari rumah. Tidak mahu mak penat, lagipun saya tahu sejak abah tak ada mak kurang memasak dan ala kadar sangat makanan yang dijamahnya. saya pula, tidak lah 'pakar' tetapi bolehlah.

Memang terasa beza Ramadhan kali ini. Pagi sebelum Ramadhan iaitu Jumaat, saya menangis di dalam pejabat. Saya menelefon mak, mohon ampun dan maaf. Saya juga menghantar sms kepada ayah dan ibu mertua di kampung memohon ampun dan menghalalkan makan minum saya. Maklumlah, sebagai menantu saya selalu merasakan banyak kekurangan saya dicelah-celah kemeriahan mereka. Ada tingkahlaku saya yang mungkin tidak kena pada mata mereka.Saya amat risau. Saya pernah mendengar ceramah dari seorang ustazah yang mengatakan tentang kewajipan sabagai menantu yang perlu taat pada ibu suaminya melebihi ibu kandungnya sendiri. Namun saya tetap hamba Allah yang sentiasa melakukan kesilapan, oleh itu saya mahu memohon maaf pada mereka atas segala kesialpan saya sepanjang menjadi menantu mereka.

Mak memberitahu saya, tahun ni bila berbuka sudah tidak ada lagi soalan-soalan abah. Ya, saya ingat, abah suka tanya apa yang mak masak. malah bila jam 6.30 ptang tapi belum ada lauk si tempat hidangan abah akan resah. Kemudian dia akan ke bazar membeli serba sedikit lauk. Paling saya ingat abah selalu belikan air pelbagai jenis untuk kami dan cucu-cucnya. Tapi tahun ini, tak ada lagi...

Saya menangis di talian, saya tahu mak juga sebak. Saya cam nada suara dia. Sesungguhnya saya amat rindukan arwah abah. Rupanya Ramadhan tahun lalu adalah yang terakhir kami bersama abah. Saya tahu perasaan mak, dalam jenaka yang kami buat dia menangis. Beberapa kali saya melihat mak menangis dalam bilik. Tahun ini pertama kali beraya tanpa abah, saya tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan suasananya. Teringat ketika hayat abah, jika jam 8 malam kami masih dirumah, dia akan bertanya mengapa tidak ke surau untuk terawih. Dalam keuzuran kadang kala abah hanya sempat berjemaah isya sahaja di surau dan terawih sambil duduk di rumah. Abah juga akan duduk di satu sudut diruang tamu untuk melihat orang ke surau. Rumah kami betul-betul depan surau. Kurang dari 60 meter.

Saya rindukan suasana rumah yang penuh dengan suara ketegasan abah menegur itu dan ini. Saya rindukan renungan matanya yang tajam setiap kali kami adik beradik membuat kesalahan. Saya teringat permintaanya yang selalu hendak makan gulai kari kepada mak. Saya rindu nak buatkan air 'teh o' yang menjadi kegemarannya. Paling saya rindu usikan abah yang jarang-jarang sangat kami dengar, permintaan abah agar saya belajar hingga ke PhD,keinginan abah melihat saya berjaya seperti mana harapannya.

Rumah saya kecil sahaja, namun kehdairan abah menjadikan saya dan adik beradik yang lain merasakan abah cuba menjadikan rumah sebagai 'Madrasah' mendidik jiwa kami agar patuh pada Islam, tidak takutkan sesiapa melainkan Allah. Rumah yang penghuninya taat pada agama, tidak membuat maksiat, mengerjakan solat, menutup aurat, rumah yang hidup dengan bacaan al-Qur'an. Abah...saya amat rindukannya.

Malam selepas terawih yang pertama, saya menangis...nangis diam-diam...ntah pada siapa saya hendak mengadu, akhirnya saya tahu, menangis dan berdoa kepada Allah lebih baik dari mengeluh dihadapan manusia. Saya berdoa agar Abah ditempatkan dikalangan orang beriman.Al Fatihah.

Friday, August 14, 2009

KEMATIAN ITU PASTI

Saya memohon maaf, kesibukan yang teramat beberapa minggu ini. Malah saya ditimpa sakit dan bercuti sehingga lima hari. Lelah, batuk dan demam. Kasihan Mr A yang bersusah payah menjaga saya ketika sakit. Sesungguhnya ujian seperti ini, pasti meningkatkan lagi kasih sayang kami suami isteri.

Sejak saya kehilangan Abah pada 7 Mei yang lalu, di pejabat seolah-olah ianya menjadi satu ujian..seorang demi seorang kehilangan orang yang mereka sayang. Beberapa sahabat kehilangan ayah dan ibu. Sedih...saya turut menangis sebak bila mendapat berita seperti ini.

Semalam pula, kita dimaklumkan kehilangan Ustaz Asri dari kumpulan Rabbani. Benarlah, kematian itu pasti. Ianya adalah iktibar untuk yang masih hidup, bukan untuk yang telah pergi.

Masih banyak bekalan yang perlu saya siapkan. Dalam diri yang bergelar hamba ini,
saya masih merasakan kerdilnya saya dan amal kebaikkan yang saya telah lakukan.

Ya Allah, Aku memohon keampunanMu.

Monday, July 27, 2009

sibuk

Saya teramat sibuk, langsung tak sempat nak update blog ini.
Insya Allah, saya akan update kelak.

Monday, July 13, 2009

BUKU-BUKU USRAH ALLAHYARHAM ABAH

Ahad baru-baru ini, saya dan Mr A pulang ke rumah mak di KL. Sempat kami meyelongkar almari buku abah di ruang tamu. Banyak sungguh kitab-kitab abah, ada yang sudah kekuningan. Mak memberikan kami beberapa buah buku abah. BUku-buku ini rata-ratanya abah beli sekitar tahun 1986-1988.

Sebak juga apabila melihat tulisan abah di buku-buku tu. Nampak benar kesungguhan abah dalam belajar dan mendalami ilmu agama. Buku-buku ini kebanyakkan abah guna semasa berusrah di rumah bersama rakan-rakan baiknya. Saya masih ingat, abah akan memasang tabir yang memisahkan ruang tamu dan ruang kami menonton TV di belakang. Kami tidak dibenarkan sama sekali menonton TV. Adakalnya saya dan adik yang nakal memasang TV tanpa memasang suara. Jika abah berjaya mengesannya, siaplah. Abah pasti akan membulatkan matanya.Itu sudah menyebabkan kami ketakutan.

Mr A ternyata sangat berminat dengan buku-buku lama ini yang kebanyakkanya sudah sukar untuk di cari pada zaman ini. Antara buku abah yang kami bawa pulang ke rumah adalah:

-Pengertian Tauhid Oleh Dr. Yusuf Al-Qardawi
-Golongan yang Gugur di sepanjang jalan Dakwah oleh Dr. Fathi Yakan
-Usrah dan Da'wah oleh Hassan Al Banna
-Sistem Pendidikan Ikhwanul Muslimin Oleh Dr. Yusuf Al-Qardawi
-Usul 20 oleh Hasan Al Banna
-Pesanan dan Peringatan oleh Mustafa Masyhur
-Sepuluh Wasiat oleh Hasan Al Banna
-Petunjuk Sepanjang Jalan oleh Syed Qutb
-Riawayat Hidup Hasan Al Banna
-Suka duka Gerakan Islam dunia Arab oleh Maryam Jameelah

Semoga dengan buku-buku ini yang kami guna, dapat memanjangkan lagi sedekah kami kepada Abah di sana. AL Fatihah.

Saturday, July 11, 2009

TANGGUNGJAWAB YANG SEMAKIN BERTAMBAH

Sejak pelajar-pelajar baru danlama mula melapor diri, kesibukkan semakin menjadi-jadi.
Sebelum ini saya ke fakulti untuk menyampaikan ceramah berkaitan Transition to University. Bagaimana menyesuaikan diri di universiti yang ternyata berbeza dengan alam persekolahan, malah adalah berbeza dengan tempat matrikulasi atau diploma sebelum ini.

Bagi pelajar baru, perkara seperti ini ternyata menjadikan mereka bertambah risau. Ayah dan ibu jauh di mata, malah semua urusan perlu dibuat sendiri. Bagi yang berjiwa waja, alahamdulillah. Bagi yang masih memegang title "Anak manja" mereka perlu cepat menyesuaikan diri.

Saya mendoakan mereka semua sentiasa diberi kekuatan menghadapi cabaran hari mendatang.