Friday, May 23, 2008

LIMITASI


Setiap daripada kita punya kesabaran...malah dalam apa jua kesabaran pasti diperlukan. Tidak kira semasa memandu di jalan raya yang sesak, berhadapan dengan kerenah manusia, atau dugaan penyakit yang serius. Namun bagitu, setiap dari kita juga punya tahap dan darjah kesabarannya. Hampir tengahari tadi saya diziarahi seorang kawan seperjuangan. Nun jauh dari Pantai Timur beliau datang membawa dua orang puteranya dan suami. Kelihatan wajah suaminya agak keletihan , mungkin kerana semalaman memandu. Hati jadi sayu melihat sahabat saya (Z) yang masih dalam keadaan berpantang, terfikir bagaimana beliau 'memanjat' tingkat 4 pejabat saya ini tanpa lif? Lalu saya kagum dalam hati kerana tahu dia seorang yang tabah...

Ketabahan Z membesarkan anak-anak seorang diri kerana suami tinggal ditempat lain kerana bekerja mengundang rasa pilu saya. Kadang-kala saya melihat saya seorang yang tidak beruntung kerana tidak dapat tinggal sekali dengan suami, rupanya ada insan yang lebih perit dari saya.

Saya tahu kedatangan Z adalah untuk membuat rayuan bagi membincangkan urusan perpindahan beliau agar dekat dengan suaminya (masakan beliau sanggup datang jauh-jauh dalam keadaan masih berpantang). Kalau sebelum ini Z mengikut pelbagai prosedur, alasan 'sabar-sabar', anda masih baru berkhidmat dan juga dengan pelbagai kerenah 'top management' , hari ini beliau saya kira telah melangkaui semua itu. Terus berjumpa dengan orang nombor satu organisasi hanya kerana kesabarannya sudah tidak mampu dibendung lagi.


Bayangkan dengan adanya anak yang masih kecil beliau telah banyak berkorban. Dari mula berkahwin sehingga sudah ada anak dua, dari tidak tahu memandu sehingga sudah boleh memandu, meredah kegelapan malam membawa anak sakit ke klinik seorang diri....aduhaiii... Itulah dia, pasti ada kebaikkan/hikmah di atas setiap peristiwa yang berlaku pada diri seseorang. Kita akan menggunakan seoptimum mungkin kekuatan kita untuk survival dalam kehidupan ini.


Kami berbual tidak lama kerana beliau perlu pulang, dengan anak-anak yang masih kecil agak tidak membenarkan kami berlama 'melepaskan rindu' dan bertukar cerita.
Saya memeluknya erat semasa kami bersalam untuk berpisah. "Zara doakan akak berjaya pindah, sabarlah yer"..aahh..kata-kata itu sudah terlalu biasa saya dengar dan saya maklum dia juga begitu. Saya menghantarnya sampai ke pintu dan mencium anak-anak kecilnya yang ntah berapa kali berjumpa ayah sebulan.

"..dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." (Yusuf; 12)


Ayat ini bermain-main difikiran saya, sehingga Z hilang dari pandangan....