Monday, May 11, 2009

KEHILANGAN

Sudah 5 hari abah pergi meninggalkan kami. Hari ini saya diberitahu jiran dirumah keluarga meninggal. Makcik Rokiah itu sudah menderita sakit agak lama...saya dan suami menziarahi jenazah. Jenazah yang ditempatkan di surau di hadapan rumah kami, sama semasa jenazah arwah abah di letakkan. Saya sebak..masih baru sangat suasana itu saya alami.

Saya masih ingat semasa balik dari sekolah atau semasa pergi sekolah, saya pernah berhujan bersama-sama abah ketika menaiki motor. Kami basah sama-sama. Ketika air hujan terkena di muka dan pedih, saya akan menyorokkan muka dibelakang abah. Abah seperti pelindung yang amat melindungi saya tanpa beliau sedari. Saya tahu abah pasti inginkan anak-anaknya selamat dan senang. Namun kesusahan inilah membuatkan saya menjadi kuat untuk berjaya.

Bagi sesiapa yang tidak mengenali abah, pasti mengatakan abah seorang yang garang kerana raut wajahnya yang serius. Namun abah sebenarnya tidak seperti itu. Garang abah bertempat, tegas abah kena pada tempatnya. Semasa kecil dulu saya rasa takut dengan abah, namun bila semakin dewasa saya semakin tahu abah sangat menjaga anak-anaknya agar menjadi orang yang taat pada agama. Masakan tidak kami adik-adik perempuan sudah memakai tudung dan menutup aurat dengan sempurna sejak sekolah rendah lagi.

Abah nak anak-anaknya berjaya. Malah sanggup berkorban meminjam wang demi memastikan saya dan kak yang dapat ke universiti. Malah abah sangat bangga bilamana kak yang melanjutkan pelajaran ke Jordan satu ketika dulu. Cita-cita abah tercapai. Malah saya juga menyambung pengajian di sebuah kolej sentiasa mendapat keputusan cemerlang setiap semester dan melayakkan menerima bantuan untuk menjelaskan yuran. Sedikit sebanyak meringankan beban abah.

Abang dan adik lelaki saya juga begitu...kadang-kadang abah mengawal mereka bukan kerana abah tidak sayang, tetapi abah mahu mereka menjadi lelaki yang baik-baik. Alahmdulillah, akhirya anak-anak lelaki dan menantu lelakinya lah yang memandikan jenazah dan menguruskan pengkebumiannya.

Abah cukup sayangkan cucu-cucunya,. Anak-anak kakak yang sulung yang tinggal berdekatan dengan rumah keluarga menajdi tempat abah bermain.Bila abah mendapat duit pencen setiap bulan,ada saja habuannya untuk cucu-cucunya. Abah memang tidak pandai menunjukkan sayangnya kepada kami, tapi melalui perbuatan dan kata-katanya kami sangat mengerti.

Apa yang tinggal kini ialah mak.Walaupun mak nampak tabah malah tadi mak juga yang memandikan jenazah arwah makcik Rokiah saya tahu mak menangis rindukan abah, suaminya. Melihat baju-baju abah yang masih tergantung dalam almari membuatkan saya sebak yang teramat, apantah lagi mak. Selepas kami semua pulang ke tempat masing-masing, pastinya mak akan lebih terasa.

Sesungguhnya saya amat merasai kehilangan abah...saya panjatkan doa dan Al Fatihah untuk abah setiap kali solat dan sepanjang masa yang ada.

ABAH

Pada 7 Mei 2009 yang lalu, Abah saya telah kembali ke Rahmatullah. Meninggal bukan kerana penyakit buah pinggang yang dideritainya selama 7 tahun ini tetapi kerana jantungnya gagal berfungsi. Abah meninggalkan kami adik beradik di HKL pada petang jam 1.20pm.

Sebak...kerana saya tidak dapat menjaga abah di saat akhir hayatnya. Mujur pada hari Selasa itu saya sudah pergi menziarahi arwah abah selepas 'memonteng' waktu mesyuarat yang baru saya tahu pagi itu. Saya bergegas ke HKL, sayangnya waktu itu abah tidak punya suara, tapi masih kelihatan sihat dan masih boleh bergurau dengan menggunakan isyarat tangan dengan suami saya Mr. A. Malah abah meminta MR A mengurut dan menggosok belakngnya (abah memang suka Mr A mengurutnya). Malah abah merengek nak makan mee goreng mamak dan teh tarik petang tu. Saya kemudiannya memesan kepada adik agar datang dengan makanan tersebut. Tapi mak memaklumkan, abah hanya makan sesudu sahaja. Memang abah sudah tidak berselera hampir 2 minggu. Lalu saya pulang ke rumah dengan harapan esok saya akan datang lagi.

Lalu pagi Khamis itu hati saya tidak sedap, saya berdegil tidak akan ke pejabat meskipun tahu di pejabat saya agak sibuk kebelakangan ini (berdasarkan permohonan keluar saya tidak berjaya malah cuti juga tidak dibenarkan). Namun petang Khamis itu Abah dijemput mengadap Pencipta Nya. Pelbagai usaha dilakukan oleh doktor namun abah masih tidak menunjukkan tanda-tanda yang positif. Kak Yang dan suami yang baru tiba dari Terengganu tidak sempat bercakap dengan abah..Malah saya dan suami juga hanya dapat melihat abah kemudian terpaksa keluar kerana doktor mahu merawatnya. Semasa doktor memaklumkan keadaan abah, saya sudah mula menangis. Abang ipar mengajar abah mengucap, saya, mak dan kak yang mengusap tangan dan kaki abah. Adik yang bongsu juga begitu. Kami memanggil-manggil 'abah'. Akhirnya abah pergi juga pada usia 59 tahun...sebak..kami menangis... banyak yang belum saya lakukan untuk membalas jasa abah selama ini.

Melihat wajah abah sebelum dan selepas dimandikan sangat menyenangkan. Abah pergi dengan damai. Malah semasa menghembuskan nafas terakhir, nampak amat mudah.

Abah..semoga abah ditempatkan dalam golongan yang soleh..semoga tempat bersemadinya abah menjadi taman syurga sebelum hari akhirat kelak. Kami anak-anak akan sentiasa mendoakan abah di sana. Terima kasih atas didikan yang abah berikan menjadikan kami berjaya. Semoga Abah bahagia bertemu Pencipta Nya. Al Fatihah.