Thursday, January 14, 2010

MINYAK WANGI DAN LOTION



Petang semalam hujan turun selebat-lebatnya. Saya agak terganggu bila diberitahu ada seorang pelajar ingin bertemu kerana masalah yang dihadapinya. Bila saya maklumkan kepada kerani agar dapat mencadangkan seorang pegawai yang lain, pelajar itu menolak. Katanya dia tetap nak berjumpa saya juga. Rasa berat hati untuk menerima beliau, tetapi melihat suasana hujan saya merasakan pasti masalah ini sangat besar, jika tidak masakan beliau sanggup meredah hujan seperti ini. Bukan saya sombong, tetapi mengejar dateline untuk menyiapkan kertas kerja dan pelbagai perkara lain menyebabkan saya sangat menghargai dan cermat menggunakan masa.

OOOoohh..rupanya pelajar yang saya gelarkan I ini pernah mengirim e-mail kepada saya sebelum ini. Masalah yang beliau hadapi menyebabkan I tidak selesa untuk bergaul dengan rakan-rakan. I menghadapi masalah bau badan yang kuat (tapi sepanjang saya berbual dengannya tidak ada bau langsung!!). I menangis, rasa tertekan yang teramat sangat. Saya memahami perasaannya kerana saya pernah mendapat rakan sebilik semasa di Universiti dahulu yang mempunyai bau badan yang sangat kuat. Yang peliknya beliau tidak tahu langsung badannya berbau!! Namun pelajar yang bernama I ini sangat 'alert' mengenai hal ini. Saya amat kagum dengan dirinya.

Datang dari sebuah keluarga yang susah, mempunyai masalah kewangan yang agak kronik. Ibu mengambil upah mengasuh anak-anak jiran. I meletakkan saya dalam nostalgia di mana ibu saya juga pernah mengambil upah mengasuh anak-anak jiran. Paling mengkagumkan, ke semua anak jiran yang dijaga mak berjaya masuk ke universiti. Ada yang menjadi Doktor, Akauntan dan macam-macam lagi. Saya selalu cakap kepada mak, ni berkat makanan yang kita bagi mereka makan.Insya Allah.

Di hujung perbualan saya memberikan sebotol lotion badan (jenama Body Shop) yang belum digunakan lagi dan sebotol perfume (One Drop Perfume) yang juga belum digunakan kepadanya, saya hanya bawa dalam beg tangan tetapi langsung tidak pernah menggunakannya. Mr A belikan pada saya sedikit masa dulu (nanti balik kena mohon maaf kepada Mr A sebab berikan pemberiannya kepada orang lain). I nampak sebak dan terharu dengan pemberian saya, mungkin bagi seorang pelajar miskin sepertinya ianya sesuatu yang diluar jangkaan. Namun bagi saya ianya tidak seberapa berbanding keseronokaan hati saya melihat wajah ceria beliau ketika bersalaman dengan saya.
Patutlah saya langsung tidak sempat menggunakan ke dua-dua benda ini. Rupanya rezeki, barang, wang dan semua harta kita ada juga hak orang lain didalamnya.Saya juga menasihatinya, wangian ini jangan sampai menimbulkan fitnah,pakai mengikut keperluan (saya bimbang dikira bersubahat dalam hal-hal haram) harap dapat bantu mengurangkan rasa tidak selesa beliau. Maklumlah pelajar mana mampu untuk membeli semua ini. Saya pula terbeli tetapi tidak pakai...Rupanya benarlah dalam harta kita yang dimiliki, pasti ada hak orang lain juga.

Semoga masalah dan rasa rendah diri beliau dapat dikurangkan. Insya Allah.



CINTA YANG TIADA NOKHTAH


Saya dijemput pelajar untuk memberikan satu ceramah yang bertajuk
" Cinta...bagaimana untuk melupakan si dia" Ohh...rasa dah lama sangat tidak dipanggil untuk ceramah seperti itu...rasa teruja dan semangat. Namun kadang-kala saya tertawa mengenangkan kisah cinta pelajar-pelajar ini. Betullah, cinta ni topik yang tidak pernah putus. Memang ramai yang 'frust menonggeng' bila cinta ditolak atau terkandas... Patutlah ramai benar penggemar cerita hindustan. Apantah lagi bila panggung wayang di India sana dibakar oleh penonton gara-gara kesudahan cerita cinta yang ditayangkan menunjukkan hero atau heroin mati. Ayoyoo.....

Dalam menyiapkan teks serta slide yang menarik, saya membuat rujukan juga di buku-buku. Topik cinta ini biasanya saya akan mulai dengan merujuk buku yang ditulis oleh Pahrol Mohd Juoi. Tentang CINTA. Sangat signifikan dan praktikal. Malah olahannya mudah difahami dan sangat membantu dalam mencari cinta yang sejati (tentulah berlandaskan syara').

Ironinya cinta pada zaman ini sudah melangkaui sempadan yang tidak pernah kita fikirkan suatu ketika dahulu. Kecanggihan teknologi membolehkan sang Arjuna melihat buah hatinya dari telefon yang mempunyai perisian 3G. Segalanya mungkin....Maka tidak hairanlah sebelum berkahwin lagi (jika mereka berkahwin) mereka sudah tahu dalam dan luar teman mereka...pasti ibu ayah pening kepala memikirkan hal ini. "Sesungguhnya nafsu itu sentiasa mengajak kepada kejahatan". (Yusuf 12:53)..

Terlalu banyak kisah cinta yang dicanangkan, malah kisah-kisah cinta murahan menjadi hidangan dihadapan mata, belum ditambah dengan paparan diakhbar tentang kisah cinta individu yang menggelarkan diri mereka idola masyarakat. Lalu bagaimana kita hendak mengekang segalan racun dan virus ini tersebar sedangkan definisi cinta itu sudah salah sejak mula lagi. Lalu muncullah istilah buayafriend dan gelifriend (meminjam kata Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam bukunya "Aku terima nikahnya").

Lalu dalam slide yang sedang saya siapkan, saya titipkan sesuatu buat para pelajar yang saya sayangi. Hadith dari Rasulullah s.a.w "Jika kamu datang kepada Ku secara berjalan, nescaya Aku datang kepadamu secara berlari. Jika kamu datang kepada Ku selangkah, Aku akan datang menghampirimu seribu langkah".

Semoga kalian menemui cinta dalam erti kata yang sebenarnya..."Perempuan-perempuan yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik..." (An Nur 24:26)