Wednesday, May 28, 2008

Sesekali...





Esok Mr. A akan kembali ke kampungnya untuk membantu urusan perkahwinan adiknya pada Sabtu ini. Saya tidak dapat turut serta kerana perlu terlibat dengan program pelajar yang mana ianya akan berakhir pada 31 Mei ini.

Saya hari ni meminta Mr. A membuat 'pau ayam' kegemaran beliau. Ntah kenapa saya teringin hendak makan sejak 2 hari yang lepas. ..akhirnya hampir jam 12.30pm tadi Mr. A datang ke pejabat saya untuk menghantar pau ayam tersebut...kesian dia, sudahlah demam, batuk. Saya pula merengek-rengek nak makan pau ayam. Lihatlah pau ayam Mr. A...hehheh..Pau ayam orang demam. Tapi sungguh, saya amat terharu dan rasa disayangi.

Sungguh, sesekali saya adakalanya saya 'merap' dan minta sesuatu darinya. Tapi saya tahu, itu bukan memaksa, cuma inginkan perhatian sahaja, maklumlah kami tinggal berasingan...saya habiskan pau ayam yang dibuat untuk saya itu...Alahai..sesekali...

Tuesday, May 27, 2008

2 TAHUN





Hari ini, genaplah 2 tahun usia perkahwinan bersama Mr. A . Malam tadi 'kononnya' nak dinner special di Tanjung Harapan, Port Klang. Tapi alahai..sedihnyaa..indah khabar dari rupa..huhuu...tapi alang-alang dah sampai kami teruskan juga mencuba makanan laut di situ.


Manakala gambar bunga Lily nie pula, ialah bunga yang diberikan oleh Mr. A kepada saya..sebenarnya bukan bagi, saya mintak..hahahha..nielah bunga yang pertama sekali dia beri sejak kami berkenalan seterusnya berkahwin.

Saya fikir 2 tahun terlalu mentah bagi sesuatu untuk diukur. Diibaratkan seperti seorang kanak-kanak yang baru berusia dua tahun, sudah boleh berjalan, bercakap dan memahami apa yang dikatakan orang kepadanya. Tetapi analogi mengaitkan umur kanak-kanak dengan usia perkahwinan kami adalah terlalu sukar rasanya malah ianya terlalu subjektif.

Saya masih dalam proses menikmati perkahwinan ini. Hubungan Jarak Jauh dengan suami menyebabkan saya merasakan perkahwinan kami terlalu baru (harapnya Mr. A juga begitu).

Masih belajar memahami rentak perkahwinan dan perangai pasangan (termasuk ahli keluarganya). Alangkah banyakknya yang masih perlu dipelajari dan difahami. Bermula dari masakan, cara bercakap, didikan dan asuhan yang amat berbeza membuatkan saya mula memahami bukan mudah untuk melakukan semua itu. Mr. A pernah berkata kepada saya bila saya kadangkala merungut tidak dapat 'ngam' dengan beberapa saudara maranya " kita bercampur dan bergaul dengan mereka, tetapi kita tidak sama dengan mereka"

Saya yang sudah terbiasa berdikari, didikan yang tegas daripada abah terutama dalam soal hukum agama dan agak kekok bila berhadapan dengan beberapa situasi yang menyebabkan saya rasa pening (bagi saya bapa, suami adalah ketua keluarga dan ahli-ahli lain perlu mendengar dan menghormati apa yang beliau katakan terutama jika ianya melibatkan tuntutan agama dan masih dalam konteks yang tidak bercanggah dengan hukum hakam). Sungguh, saya bukan manusia sempurna. Bila persoalan tentang sikap manusia dilontarkan kepada saya. "Kita cuba fahami dia" itu ayat yang biasa singgah digegendang telinga ini, tetapi saya juga kadangkala menuntut "kenapa dia tidak pula cuba nak memahami saya?" ..aargghh..sebab itulah kadang kala saya cuba mengelak daripada berhadapan dengan suasana yang tidak kondusif(nanti saya kan dituduh pula seperti kera sumbang!).

Saya tidak sempurna dan tidak boleh meniru watak orang lain. Oleh itu saya masih memerlukan masa membina hubungan yang baik dengan ahli keluarga yang lain.

Apa yang saya harapkan semoga perkahwinan kami sentiasa berada dalam keberkatan dan berpanjangan. Sesungguhnya saya amat bertuah memiliki Mr. A sebagai suami. Semoga Allah merahmati perkahwinan kami dan mengurniakan zuriat sebagai penyeri dalam rumah tangga ini. Amin.

Friday, May 23, 2008

LIMITASI


Setiap daripada kita punya kesabaran...malah dalam apa jua kesabaran pasti diperlukan. Tidak kira semasa memandu di jalan raya yang sesak, berhadapan dengan kerenah manusia, atau dugaan penyakit yang serius. Namun bagitu, setiap dari kita juga punya tahap dan darjah kesabarannya. Hampir tengahari tadi saya diziarahi seorang kawan seperjuangan. Nun jauh dari Pantai Timur beliau datang membawa dua orang puteranya dan suami. Kelihatan wajah suaminya agak keletihan , mungkin kerana semalaman memandu. Hati jadi sayu melihat sahabat saya (Z) yang masih dalam keadaan berpantang, terfikir bagaimana beliau 'memanjat' tingkat 4 pejabat saya ini tanpa lif? Lalu saya kagum dalam hati kerana tahu dia seorang yang tabah...

Ketabahan Z membesarkan anak-anak seorang diri kerana suami tinggal ditempat lain kerana bekerja mengundang rasa pilu saya. Kadang-kala saya melihat saya seorang yang tidak beruntung kerana tidak dapat tinggal sekali dengan suami, rupanya ada insan yang lebih perit dari saya.

Saya tahu kedatangan Z adalah untuk membuat rayuan bagi membincangkan urusan perpindahan beliau agar dekat dengan suaminya (masakan beliau sanggup datang jauh-jauh dalam keadaan masih berpantang). Kalau sebelum ini Z mengikut pelbagai prosedur, alasan 'sabar-sabar', anda masih baru berkhidmat dan juga dengan pelbagai kerenah 'top management' , hari ini beliau saya kira telah melangkaui semua itu. Terus berjumpa dengan orang nombor satu organisasi hanya kerana kesabarannya sudah tidak mampu dibendung lagi.


Bayangkan dengan adanya anak yang masih kecil beliau telah banyak berkorban. Dari mula berkahwin sehingga sudah ada anak dua, dari tidak tahu memandu sehingga sudah boleh memandu, meredah kegelapan malam membawa anak sakit ke klinik seorang diri....aduhaiii... Itulah dia, pasti ada kebaikkan/hikmah di atas setiap peristiwa yang berlaku pada diri seseorang. Kita akan menggunakan seoptimum mungkin kekuatan kita untuk survival dalam kehidupan ini.


Kami berbual tidak lama kerana beliau perlu pulang, dengan anak-anak yang masih kecil agak tidak membenarkan kami berlama 'melepaskan rindu' dan bertukar cerita.
Saya memeluknya erat semasa kami bersalam untuk berpisah. "Zara doakan akak berjaya pindah, sabarlah yer"..aahh..kata-kata itu sudah terlalu biasa saya dengar dan saya maklum dia juga begitu. Saya menghantarnya sampai ke pintu dan mencium anak-anak kecilnya yang ntah berapa kali berjumpa ayah sebulan.

"..dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." (Yusuf; 12)


Ayat ini bermain-main difikiran saya, sehingga Z hilang dari pandangan....

Wednesday, May 21, 2008

HARAPAN




"Cukuplah Allah bagiku, tiada tuhan selain Nya. Hanya kepadaNya aku bertawakal" (Al-Taubah:129)

Ayat dari surat Al Taubah ni berjaya memujuk lara di hati sesiapa sahaja, ketika dirundung sedih dan kecewa. Berpegang kepada ayat tersebut saya cuba membantu pelajar yang kadangkala berada dalam situasi kecewa, terutama selepas peperiksaan.

Mungkin mereka sudah meletakkan 'target' tertentu dalam sesuatu matapelajaran yang diambil. Namun yang sering saya berpesan kepada mereka adalah target hendaklah diletak selepas kita berusaha sedaya mungkin. Lalu berdasarkan usaha tersebut maka kita boleh mengandaikan sejauh mana kita boleh capai, dan selepas menjawab soalan peperiksaan, kena juga nilai berapa yang mungkin kita dapat setelah usaha yang kita lakukan. Insya Allah anda pasti tidak akan terkejut atau kecewa bila keputusan keluar kelak.

Semasa zaman saya di universiti saya selalu mengalami situasi seperti mereka juga. Risau, berdebar, rasa macam-macam lagi topik yang tak 'cover'. Namun saya sentiasa memperbaiki diri, sebab saya tahu saya bukan kategori yang cerdik. Saya jenis yang perlu berusaha beribu kali ganda dari orang lain. Macam-macam saya buat, salah satunya membuat mind mapping. Sampai ada seorang rakan tegur mind mapping saya 'berjurai-jurai macam akar', 'bersimpang siur'...heheh..saya pekakkan telinga saja. Saya mengaku semasa peringkat Diploma saya selalu skor setiap kali exam, tetapi semasa peringkat ijazah agak sukar sikit, malah dalam serba kekurangan kemudahan ketika Diploma dulu saya boleh mencapai sehingga CGPA 3.88 dan 5 kali mendapat anugerah Rektor (saya belajar di sebuah kolej swasta di Kelantan). Semasa di peringkat Ijazah saya teruskan usaha dengan mempelbagaikan teknik belajar.

Namun usaha itu tidak sia-sia, dan saya juga bukan nak puji diri sendiri. Saya sangat suka membaca dan mengarang. Sebab itulah semasa di tahun akhir saya mengambil opsyen Penulisan Ilmiah berbanding masuk ke kelas Sosiologi (yang sudah tentunya membosankan!) . Saya turun ke ceruk liabrary IPTA yang ada untuk melihat jurnal dan literature sebelum ini berdasarkan tajuk yang saya pilih. Hasilnya ditahun akhir saya mendapat Anugerah Dekan. Sesuatu yang tidak pernah saya impikan. Malah assingment saya untuk matapelajaran Ethical and Legal Issues in Counselling mendapat 'A' gara-gara olahan saya dalam tugasan yang diberi (itu komen pensyarah bila saya tanya), begitu juga
untuk subjek kajian Ilmiah saya skor 'A' .

Saya gunakan segala pengalaman saya untuk semua pelajar yang saya temui jika mereka kecewa. Tidak salahnya kita mula dari bawah, tapi yang penting kena konsisten dan berusaha secara luar biasa berbanding orang lain (jangan pula bawak 'toyol' masuk dewan peperiksaan).

Kesusahan yang kita hadapi hari ini akan memberi kita sejuta harapan dan kesenangan pada masa akan datang.

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Al-Baqarah:286)

Tuesday, May 20, 2008

Aurat dan suami


**pic di atas diambil dari senikehidupan.com

Sedikit artikel soal jawab dalam akhbar Harian Metro yang saya ambil untuk renungan dan pengetahuan kita bersama.

Aurat isteri tanggungjawab suami?
Bersama: MOHD. FARID RAVI ABDULLAH


SOALAN: Adakah suami menanggung dosa isterinya yang tidak menutup aurat/mendedahkan aurat kepada yang bukan mahramnya?

JAWAPAN:
RUMAH tangga yang aman damai itu terbina di antara gabungan ketegasan seorang lelaki dan kelembutan seorang wanita. Lelaki berusaha mencari nafkah sementara wanita menguruskan rumah tangga. Tentu tidak akan wujud sebuah rumah tangga yang bahagia jika suami sahaja yang gagah atau kelembutan isteri semata-mata.
Syariat Islam telah memuliakan wanita dengan memberi satu jaminan bagi kehidupan mereka. Disebabkan fitrah dan peraturan hidup itulah maka suami berperanan memimpin isteri ke arah mencari keredaan Allah s.w.t.


Pada keseluruhannya, suamilah yang bertanggungjawab di atas segala masalah anak isterinya tetapi tidaklah sampai membiarkan mereka lalai daripada tanggungjawab dalam ibadah yang khusus (fardu ain).

Firman Allah s.w.t bermaksud: Wahai orang yang beriman peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada seksa api neraka. (al-Tahrim:6).

Para ulama ketika menafsirkan ayat ini berpendapat bahawa suamilah yang bertanggungjawab menyelamatkan ahli keluarganya daripada dihumban ke dalam api neraka. Suami menyelamatkan ahli keluarga dengan mendidik mereka dengan ilmu agama. Mengajar mereka ilmu fardu ain yang wajib diketahui oleh setiap orang Islam termasuklah ilmu tauhid.Setiap Muslim perlu mengetahui batasan auratnya. Seorang wanita wajib mengetahui batasan auratnya. Sejak dibangku sekolah lagi ustaz dan ustazah telah mengajar mereka batasan auratnya, malahan di dalam silibus KBSR dan KBSM juga menjelaskan demikian.

Malahan ibu bapa juga mengajar mereka had aurat. Namun, apabila dewasa, ada di kalangan wanita yang melihat kefarduan menutup aurat ini sebagai satu budaya orang Melayu dan bukan persoalan agama. Tanggung jawab dan peranan mendidik berpindah ke tangan suami apabila seseorang itu dikahwini oleh seorang lelaki.

Berdasarkan kepada tanggungjawab dan peranan suami jelas bahawa suami adalah pengemudi bahtera rumah tangga terutamanya dalam mendidik keluarga. Suami wajib menasihati isterinya dengan penuh bijaksana dan hemah supaya isteri boleh menerima perintah menutup aurat dengan rela hati tunduk dan patuh pada perintah Allah.

Rasulullah s.a.w. ada berpesan agar setiap wanita itu dididik dan ditegur dengan penuh kelembutan dan dedikasi. Nabi mengingatkan kita agar mereka tidak dibiarkan dengan kesilapan dan keingkaran kerana yang demikian akan membawa padah pada si isteri.
Setelah dinasihat dan diajar serta ditegur, mereka masih lagi enggan menutup aurat maka suaminya tidak berdosa. Ini kerana suami sudah berusaha menyedarkan akan perintah Allah menutup aurat, tetapi masih ingkar. Maka dosa keengganannya menurut perintah Allah akan ditanggung sendiri dan bukannya suami.

Dalam surah al-Nur, Allah berfirman yang bermaksud: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya Dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa Yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya. (al-Nur: 31).

Dalam ayat ini jelas Allah s.w.t. memerintahkan kaum perempuan menutup aurat dan perintah ini wajib. Maksudnya wajib bagi wanita Islam yang beriman menutup auratnya. Had aurat wanita ialah seluruh tubuhnya melainkan kedua telapak tangan dan wajah.

********************************
Setelah membaca artikel kemusyikilan ini, marilah wahai wanita-wanita, anak-anak prempuan, isteri-isteri agar kita taat dan patuh pada ayah atau suami selagi mana permintaan mereka untuk kebaikkan dan juga mematuhi syariat. Kasihanilah mereka...

Children of Heaven



Inilah cerita yang pernah saya sebut dalam entri yang bertajuk Basyiraa Zahra. Cerita daripada Iran yang bertajuk Children of Heaven, yang sangat menyentuh hati. Kisah bagaimana dua orang adik beradik yang sangat menyentuh perasaan. Bagaimana saya boleh 'terlepas' cerita ini yang sudah dihasilkan pada 1997 lagi.

Filem yang banyak mendidik jiwa dan hati setiap orang yang menontonnya. Lalu saya bawak balik Cd ini pulang ke rumah orang tua, untuk membolehkan anak-anak buah saya menonton dan belajar sesuatu dari filem ini. Kisah adik perempuan dan abang yang berkongsi kasut kerana keluarga mereka sangat susah dan tidak mampu membeli kasut baru.

Hati rasa pedih melihat setiap babak, terutama semasa Zahra mengejar kasutnya yang jatuh didalam longkang dan dibawa arus kuat. Aduhai...saya mula memasang angan-angan, jika Allah memberikan saya dan suami zuriat, saya ingin mentarbiyaah mereka dengan didikan yang sesempurna mungkin. Menjadikan anak-anak sebagai orang yang bersyukur dan mengamalkan islam dalam kehidupan seharian. Saya kerap berdoa, agar dimakbulkan impian ini.

Disebalik cerita ini banyak perkara yang saya pelajari. Bagaimana jika kita mahu berdakwah dengan menggunakan teknologi yang kita ada. Lihat saja filem ini, watak suami-isteri,anak-anak dan ibu tidak langsung melanggar garis panduan yang Islam berikan. Walaupun tanpa sentuhan, pelukan bagi menggambarkan hubungan yang mesra seperti dalam kebanyakkan filem kekeluargaan yang pernah saya tonton, filem ini berjaya meletakkan dirinya pada darjah dan kelas yang tersendiri. Adalah sesuatu yang menjadi kebiasaan kita, kalau nak sesuatu watak itu berkesan watak suami isteri mestilah ada adegan-adegan 18Sx. Sedangkan dalam filem ini, watak suami yang sayang pada isterinya diterjemahkan oleh lontaran dialog dan eksperesi wajah yang berkesan tanpa melibatkan sentuhan fizikal. Malah anak lelaki dalam filem ini tidak sesekali pun menyentuh adik perempuannya walaupun pelakon dalam cerita ini masih kanak-kanak lagi.

Ada kalanya kita boleh menjadi luar biasa andai berani mengubah sesuatu yang telah menjadi kebiasaan itu!

Bercuti


Pic atas dari laman web senikehidpuan


Saya sedang berusaha mengumpul sedikit perbelanjaan untuk merealisasikan impian saya untuk ke Terengganu. Ntah kenapa saya sangat suka ke Terengganu (ada seorang rakan saya sangat anti pada negeri Terengganu dan Kelantan..hehehe). Namun saya bukan nak ke Terengganu untuk 'bershoping' seperti yang lazim dibuat oleh kaum wanita yang lain.

Suami (Mr. A) pernah merungut, katanya saya bukan suka bercuti di Pulau...ehehe..sebenarnya itu pengalaman Mr. A ketika kami mula-mula berkahwin dua tahun lalu. Kami ke Pulau Kapas, tetapi saya tidak berapa 'enjoy' sebab merasakan agak serabut, panas dan macam-macam.

Namun yang menghambat hati saya untuk ke Terengganu adalah kerana nak melihat-lihat suasana di sana selepas 4 tahun saya meninggalkannya. Saya pernah belajar di sana selama 3 tahun. Saya juga pernah menyewa rumah kecil di tepi pantai semasa berada di tahun akhir..aarrghh! kawasan pantai itu sangat cantik, sunyi.. Tidak seperti di Pulau Kapas, yang penuh dengan pelancong dalam dan luar dengan aksi-aksi yang agak panas.

Berbeza dengan pantai yang berdekatan rumah sewa saya dulu. Bukan sahaja cantik tetapi menenangkan. Kalau ada pun, hanya nelayan-nelayan yang membetulkan pukat mereka di bot masing-masing. Kadang-kadang bila 'tension' dengan assingment, exam ke pantai itulah saya bawa diri bersama rakan sekelas. Kadang-kadang seorang diri. Saya boleh duduk berjam-jam di bawah terik matahari jam 3 petang! Nah, saya buktikan pada suami, saya bukan tak suka laut, cuma kalau tak kena gaya saya boleh jadi rimas dan melemaskan!

Bagi saya keindahan pantai mengajak kita mengkagumi ciptaan Allah. Alangkah sedihnya bila kesucian dan keindahan pantai dirosakkan oleh tangan-tangan manusia dengan perbuatan maksiat.

Friday, May 16, 2008

JODOH LAMBAT: TERLALU MEMILIH ATAU TAKDIR?


Baru sebentar tadi seorang rakan semasa di Universiti menghubungi saya, sekadar berbual-berbual setelah sekian lama tidak mendengar cerita masing-masing. Beliau mengadu masih belum bertemu jodoh...agak malu juga bila dilabel sebagai 'andalusia' (anak dara lanjut usia) oleh kawan-kawan yang selalu mengusik (kejam sungguh gelaran itu bagi saya). Alahaaii...simpati saya melimpah ruah. Saya kenal 'N' sudah lama. walaupun tidak rapat tetapi kami pernah berurusan dalam beberapa tugasan yang diberikan oleh pensyarah dulu.

Dulu semasa di universiti, saya boleh kategorikan N agak popular juga berbanding saya yang kurang menonjol (dari personaliti dan berpakaian). Maklumlah dengan cara 'dressing' yang maut tu, dia boleh menyebabkan kawan-kawan lelaki menoleh dua kali ke arahnya. Malah semasa di universiti dulu, dia sudah ada teman lelaki. Mereka umpama belangkas, tak boleh dipisahkan. Tup..tup...semasa istiadat konvoksyen empat tahun lalu saya dikhabarkan mereka sudah berpisah.

Semasa di universiti saya banyak melihat pelbagai gelagat teman-teman yang bercinta sakan..aduhai, yang frust menonggeng, yang sanggup ponteng kelas dan yang paling saya kagum, ada yang sanggup membasuh baju boyfriend kerana terlalu sayang..sahlah cinta itu membutakan mereka (ataupun terlalu sayang?). Betul, kalau sayang ianya perlu dizahirkan. Namun cara dan bentuknya sudah tentu tidak boleh melanggar syariat. Halal dan haram perlu dipertimbangkan

Secara peribadi, saya menasihatkan beliau agar bersabar dan selalu berdoa.Wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya wanita jahat untuk lelaki yang jahat. Biar lambat jodoh asalkan mendapat Mr Right dan biar seorang diri daripada menjadi mangsa lelaki yang tidak beriman
kemudian nanti. Namun saya agak terkejut bila N ada menggariskan beberapa kriteria lelaki yang beliau inginkan jika hendak diambil sebagai suami. Malah pada pandangan saya, ianya lebih bersifat tidak realistik dan lebih ke arah memenuhi apa yang akan orang lihat.


Lalu saya rasakan, soal jodoh lambat kadang kala perlu dinilai kembali pada diri sendiri..."sesungguhnya nafsu itu sentiasa mengajak kepada kejahatan "(Yusuf 12:53)

Mungkin kerana sikap, perbuatan yang kita lakukan maka kita diuji dalam kehidupan. Mungkin Allah mahu kita bersabar dalam menempuh ujian sebelum memberi kita sesuatu yang sangat besar impaknya pada kehidupan kita.

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah:216)

KERANA TERLALU SAYANG


Pagi semalam saya didatangi seorang siswa bersama seorang kawannya yang juga lelaki. Pada waktu itu saya lihat wajahnya sangat murung dan sedih.

Setelah memperkenalkan diri dan menyatakan tujuan kehadirannya, saya meminta rakannya meninggalkan kami berdua sahaja.


Maka bermulalah kisah...oohh!! anda sedang kecewa rupanya. Kekasih hati berpaling pada cinta yang baru dikenali.



Yang mengkagumkan saya, bagaimana seorang siswa yang kelihatan 'macho, gagah dan sasa' (fizikalnya) tanpa segan silu menangis dihadapan saya kerana sangat kecewa dengan kekasih hatinya itu yang berpaling mencintai suami orang yang dikenali melalui internet dalam tempoh 15 hari sahaja!


Aduhaiiii..lalu apa yang saya katakan kepadanya? saya biarkan beliau terus meluahkan rasa kecewa, hampa, tertipu dan semua yang negatif kepada saya. Emosinya kurang stabil dan pada hujung pertemuan pagi itu dia memandang saya dan bertanya "apa yang perlu saya buat puan?"
Itu adalah satu daripada beribu masalah pelajar yang dihadapkan kepada saya setiap hari

Kisah cinta tidak pernah habis sejak Allah menciptakan Nabi Adam. Cinta bak kata Dr Tuah dalam bukunya, Cinta sepatutnya Memotivasikan seseorang. Jika cinta hanya untuk kekecewaan, prestasi menurun, itu bukan cinta.


Saya kemudiannya memujuk pelajar tersebut dan akhirnya saya dapat lihat secalit senyuman dibibirnya.


'Saya akan datang jumpa puan lagi' itu ayatnya sebelum keluar dari pejabat saya. saya menghantarnya dengan ekor mata...biasanya lelaki menangis air mata jatuh ke dalam hati.

Thursday, May 15, 2008

Ujian Personaliti





Dalam bidang Psikologi dan Kaunseling, para pengamal sering menggunakan pelbagai Ujian/Inventori untuk membantu seseorang klien untuk mengenali diri mereka. Selain itu ia juga membantu seseorang pengamal kausneling membantu klien dalam sesetengah hal yang agak 'complicated' untuk diselesaikan.
Kadang kala kita tidak perasan, bahasa tubuh seseorang boleh diterjemahkan. Begitu juga gaya tidur, cara berjabat tangan, cara duduk dan sebagainya.

Disini saya sertakan beberapa ujian personaliti yang diperolehi dari internet yang mungkin anda boleh mencuba menjawabnya...Jika ianya tidak tepat, sekurang-kurangnya ia mungkin hampir dengan personaliti anda sendiri.

Cubalah!













TERIMA KASIH CIKGU!!!

Esok 16 Mei merupakan hari guru...kadang kala cemburu juga sebab profesion kerjaya macam saya nie tak ada pulak sambutan setiap tahun...tapi guru tetap guru...satu nama yang memberi impak besar dalam kehidupan setiap individu.
Dulu semasa baru tamat belajar di Universiti, mak sibuk menyuruh saya memohon menjadi guru, maklumlah orang tua, mereka beranggapan kerja guru ni mudah dan senang, jam 2 dah terpacak didepan rumah. Pelbagai usaha saya lakukan untuk 'mengelat' dari topik ini dibincang atau dicadangkan oleh mak mahupun sesiapa pun...hahahhah... Alasan yang saya beri mudah, saya tak sesuai jadi cikgu, nanti niaya budak-budak...ahahaha.
Namun bagi saya nama guru itu cukup berat. Ia bukan sekadar suka-suka, ataupun mahu sesuatu yang mudah. Tanggungjawab sebagai guru amat berat. Amanah yang diberi bukan calang-calang orang boleh memikulnya. Saya percaya pada zaman ini sudah tidak ada lagi guru yang balik jam 2 petang (seperti yang mak cakap pada saya dulu). Guru bukan sekadar mengajar, dialah juga yang membuat pelbagai tugas di sekolah. Mengajar kokurikulum, membuat persediaan mengajar, membawa pelajar dengan kenderaan sendiri untuk aktiviti-aktiviti luar dan sebagainya. Betapa besarnya pahala menjadi guru.
Panggilan keramat ini tidak pernah putus sehingga ke hujung nyawa. Label guru akan sentiasa dibawa tidak kira di mana pun dia pergi.
Buat semua guru-guru, semoga kalian akan sentiasa cemerlang dan bersabar dalam usaha mendidik anak-anak bangsa. TERIMA KASIH CIKGU!!
Kini walaupun saya tidak menjadi guru, tetapi insya Allah seluruh kehidupan saya ditemani oleh seorang suami yang bergelar GURU.
Buat suami saya, guru yang paling istimewa dalam hidup saya kini.."Selamat Hari Guru",
Guru oh Guru
Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetlaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di lbu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakill seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmuPanggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
Usman Awang1979

Beza manusia dan lalat


















Ini peristiwa yang berlaku pada hari Selasa baru-baru nie. Selepas parking kereta untuk ke Fakulti Perubatan saya dan seorang rakan terkejut melihat sepasang (ya ke sepasang?) sedang 'bercengkerama' betul-betul atas booth kereta M. M sangat teruja dan ketawa geli hati, saya pun keluarkan kamera dan terus ..snap..snap.. hahhaha..jahatnyaa!!
Namun ada pengajaran disebalik peristiwa lalat ini...
Bagaimana manusia pada zaman ini semakin terhakis sifat malunya dengan berkelakuan tidak elok dikhalayak ramai....aduhaaiii..kadang kala melihat insiden lalat ini mampu membuatkan kita berfikir apa bezanya kita dengan lalat jika terus bergelumung dalam maksiat dan tidak tahu halal dan haram.

Kita punya Pilihan

(illustrasi ini diambil dari sebuah website)

Pagi ini semasa mengambil breakfast dengan seorang sahabat (M) , ntah bagaimana kami boleh berbual tentang kerjaya kami.


Saya amat memahami perasaan beliau apabila perlu mengorbankan kerjaya (bertukar dari satu organisasi ke organisasi lain) yang sudah stabil hanya kerana kasih dan sayangnya pada suami...begitulah, apabila pada zaman siber ini pasangan yang berkahwin perlu tinggal berasingan hanya kerana tuntutan kerjaya.


Lalu apakah pilhan yang kita ada? soalan itu bermain difikiran saya...saya terdiam mendengar ceritanya..."Kita ada pilihan, tetapi kita perlu berkorban" itulah kesimpulannya.


Ahhh..saya mula berfikir tentang nasib sendiri...hampir menjangkau usia 2 tahun perkahwinan saya dan suami, kami masih tinggal berasingan demi tuntutan kerjaya. Sudah pelbagai usaha dilakukan untuk saya dan beliau berpindah dan tinggal bersama, namun rezeki belum kunjung tiba. Lalu apa pilihan yang kami ada??


Pada masa ini saya amat menghargaai masa-masa berkualiti bersama suami. saya cuba ciptakan suasana yang selesa dan berkualiti untuk kami apabila berjumpa dihujung minggu. Adakala rasa cemburu apabila ada yang mengaggu waktu-waktu kami 'bermalasan' di hujung minggu (jika tidak membabitkan hal-hal yang serius)


Saya kadang kala kecewa..Namun saya selalu percaya pada janji Allah..." Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah kamu bersedih hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman." (Ali Imran;139)




Wednesday, May 14, 2008

Basyiraa Zahra



Saya namakan blog ini Basyiraa Zahra. Ianya membawa makna Basyiraa Penyampai berita gembira , manakala Zahra yang berseri.
Sesuai dengan kerjaya saya, maka saya bersetuju apabila kak Yang (kakak ke 6) memberi cadangan agar saya meletakkan nama tersebut. Saya pula optimis dan percaya akan kepakaran beliau dalam Bahasa Arab kerana Kak Yang adalah lulusan dari Jordan dan UIA dan lebih tahu dari saya yang jahil ini (hehhe..mesti kak yang bangga, bila saya puji dia).
Manakala Zahra pula yang berseri...saya berharap blog ini akan dapat memberi seri kepada pengunjung kerana input yang ada didalamnya. Kenapa tidak letak nama sendiri?? Mungkin saya belum bersedia lagi, kerana saya merasakan Blog perlu kepada nama yang lain dari yang lain. Selain itu hati saya amat tersentuh dengan nama ini ekoran selepas menonton Filem dari Iran yang bertajuk Children of Heaven (ada masa saya akan ceritakan mengenai filem ini).

PENCERAIAN PASANGAN YG BERUMUR LANJUT

Sedikit artikel untuk dikongsi bersama pembaca yang di'cuplik' dari akhbar

FALSAFAH PERKAHWINAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

AKHIR-AKHIR ini ada satu isu yang muncul dalam masyarakat dan menjadi perbincangan, baik di dalam media elektronik mahupun media cetak. Isu itu adalah perceraian pasangan yang telah berumur lanjut kerana salah seorang ingin bernikah dengan pasangan yang lebih muda.Fenomena ini sangat menyedihkan sesudah pasangan terbabit berpuluh-puluh tahun hidup bersama, memiliki anak dan cucu tetapi berpisah pada saat telah berada di penghujung usia.Di dalam al-Quran dijelaskan bahawa tujuan pernikahan adalah untuk mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan, sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah itu bahawa Dia jadikan bagi kamu pasangan hidup agar kamu mendapatkan ketenangan/kebahagiaan bersamanya. Kemudian Allah ciptakan di antara kamu berdua mawaddah dan rahmah.” (Surah al-Rum, ayat 21)
Alam ini terasa indah kerana Allah menciptakannya berpasang-pasangan. Ada siang, ada pula malam. Ada tempat yang subur, ada pula yang tandus. Ada gunung-ganang yang tinggi tapi ada juga lembah dan lurah yang dalam. Ada lelaki dan ada pula perempuan.Allah menciptakan pasangan untuk manusia agar mereka dapat hidup seiring sejalan, berbahagi suka dan duka serta tetap bersama dalam melayari kehidupan yang penuh dengan onak, duri, dugaan, tentangan dan cabaran demi mencapai satu matlamat mendapatkan keluarga sakinah mardatillah.Selain ketenangan di dalam pernikahan, Allah juga menciptakan mawaddah dan rahmah di hati suami dan isteri. Sebahagian ahli tafsir membezakan makna mawaddah dan rahmah ini. Bagi mereka, mawaddah adalah rasa cinta berdasarkan syahwat kemanusiaan, iaitu keinginan untuk melakukan persetubuhan suami isteri yang akan melahirkan dan mengembangkan keturunan manusia. Mawaddah atau keinginan untuk melakukan persetubuhan suami isteri ini ada hadnya seiring dengan umur manusia itu sendiri. Apabila seorang lelaki telah berumur 60-70 tahun dan perempuan berumur 50 tahun, mawaddah ini akan berkurangan. Maka, pada saat inilah Allah akan menimbulkan rahmah atau kasih sayang yang suci murni di hati pasangan berkenaan.
Menurut Prof Dr Hamka, rahmah lebih tinggi kedudukannya daripada mawaddah sebab ia kasih mesra di antara suami isteri yang bukan lagi berasaskan keinginan syahwat, sebaliknya rasa kasih sayang murni yang tumbuh dari jiwa yang paling dalam sehingga suami isteri merasakan kebahagiaan yang tidak bertepi dan ketenangan yang tidak berbatas.Pada masa ini mereka bukan lagi berfikir mengenai tongkat ali, Viagra dan ubat-ubat lain bagi mengembalikan kekuatan tenaga batin tetapi yang mereka inginkan adalah mengisi hari-hari akhir ini dengan beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah sedekat-dekatnya secara bersama-sama.Mereka juga berusaha memberikan contoh yang baik, teladan dan nasihat kepada anak cucu supaya mereka tidak salah dalam memilih jalan hidup di dunia yang penuh dugaan ini. Inilah hakikat rahmah itu.Melihat kes yang terjadi di negara kita, di mana dilaporkan sudah banyak terjadi pasangan tua yang berpisah kerana ingin bernikah dengan yang lebih muda, maka dapat dikatakan bahawa terjadi krisis rahmah dalam perkahwinan hinggakan hubungan seks menjadi matlamat.Pada saat ini, seakan-akan Allah hanya memberikan kepada kita mawaddah tetapi mencabut nikmat rahmah. Akibatnya, kes-kes seperti di atas semakin menjadi-jadi dan kebahagiaan rumah tangga semakin jauh.Allah akan menurunkan rahmah di dalam satu keluarga apabila keluarga berkenaan dibina atas niat mencari keredaan Allah. Oleh sebab itu, di dalam proses membina satu rumah tangga, Rasulullah memberikan bimbingan kepada umat Islam agar memilih pasangan kerana empat prinsip, iaitu kecantikan, keturunan, kekayaan dan agamanya. Akan tetapi Rasulullah memberatkan agar agama menjadi keutamaan.Ada kalanya orang memilih pasangan kerana kecantikan dan kekayaan sehingga mereka lupa bahawa kecantikan dan harta bersifat sementara. Begitu juga dengan keturunan dan nasab tidak selamanya menjamin kebahagiaan.Oleh sebab itulah, Rasulullah menyuruh memilih pasangan kerana agama sebab kekurangan dalam rupa, harta dan nasab atau keturunan akan disempurnakan oleh agama.Wanita yang beragama akan timbul di wajahnya kecantikan yang lahir dari jiwanya dan menyinari segenap tubuhnya, bukan kecantikan palsu yang diselaputi solekan.Wanita yang beragama juga akan melahirkan sifat qana’ah, iaitu berasa cukup dengan yang mereka miliki dan tidak terlalu memaksa diri untuk mencapai sesuatu. Sifat inilah yang dikatakan oleh ahli tasawuf dengan kekayaan yang sebenarnya.Agama pula membezakan seorang manusia dengan manusia yang lain, bukan kerana keturunan dan kedudukan seperti firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang paling takwa.”Oleh itu, keluarga yang dibina atas dasar agama ini akan memiliki matlamat yang jelas.Bagi mereka, hidup di dunia ini hanyalah satu jalan menuju kehidupan akhirat yang abadi sehingga apa pun yang mereka lakukan dalam keluarga itu tidak keluar daripada tujuan asal untuk mencipta keluarga sakinah yang diredai Allah dan berjuang untuk menegakkan agama Allah dalam semua aspek kehidupan mereka.Dalam keluarga Islam, persetubuhan yang dihalalkan melalui pernikahan itu bukan sekadar memenuhi hawa nafsu semata-mata tetapi ia satu ibadah yang bertujuan melahirkan generasi atau zuriat yang soleh.Keluarga yang soleh ini akan melahirkan masyarakat yang soleh dan akan menjadi asas bagi negara yang soleh, bertamaddun dan berwawasan. Konsep pernikahan seperti inilah yang membezakan manusia dengan haiwan.Salah satu cara terbaik mengurangkan kes-kes perceraian pada usia senja ini ialah dengan menanamkan kesedaran kepada masyarakat mengenai hakikat atau falsafah pernikahan dalam Islam sebagai alat mencipta keluarga sakinah, bukan sekadar memenuhi keperluan syahwat semata-mata.Pengisian nilai-nilai agama sangat diperlukan dalam sebuah keluarga agar memiliki matlamat yang jelas dalam mengisi sebuah perkahwinan.
_________________________________________________________________

Oleh Saidul Amin Usman
NSTP E-Media - 11hb Januari 2001

Tuesday, May 13, 2008

RUMAH MANIS






Kenapa saya pilih Rumah Manis sebagai tajuk blog ini? Jawapannya saya sendiri tidak tahu (nanti saya akan update)...ada 'sentimental value' dalam pemilihan Rumah Manis nie.
Sebuah cerpen yang ntah siapa pengarangnya...namun melahirkan banyak perasaan dan harapan dalam kisah yang memakan 4 helai muka surat. Cerpen tentang impian, sikap dan pembawakan personaliti watak-watak yang sentiasa berada di sekeliling kita...dan kesudahannya, kita sedar walau apa pun jenis rumah yang kita diami, sebenarnya itulah 'sarang' di mana tempat kita melepaskan penat lelah setelah bekerja, mahupun pulang dari mana sekalipun.

Nilai sebuah rumah bukanlah terletak pada ukuran besar atau kecil, jenis perabot mahal atau murah yang ada di dalamnya, tetapi ianya menuntut lebih besar makna dan pengertian. Tentang hubungan ahli dalam sebuah rumah itu sendiri. Tentang hubungan ahli rumah dengan PenciptaNya, sejauhmana kehidupan berlandaskan syarak diikuti dan cuba diserapkan.

Rumah mempunyai nilai tersendiri pada setiap individu...walaupun mungkin ada yang hambar, bising dan hiruk pikuk, tapi disitulah terjalinnya kemesraan dan terbinanya kasih sayang..

KENAPA???


Assalamualaikum wbt.

Kenapa yer tiba-tiba rasa nak develop blog sendiri?? Ntahlah, yang pasti ianya terdorong oleh perasaan nak cuba melebarkan ilmu dan mendalami pelbagai pengetahuan yang semakin maju dan tumbuh subur disekeliling saya, tambahan pula setiap hari saya akan melayari blog rakan-rakan lain untuk melihat pelbagai berita-berita terbaru dan maklumat yang terkini.


Maka...hari ini lahirlah blog ini...Mungkin saya masih 'bertatih' atau merangkak dalam menghasilkan blog ini, tetapi saya berharap ianya merupakan satu momentum untuk hasil yang lebih baik pada masa akan datang. Insya Allah.
Terima kasih pada hubby yang sentiasa memberi sokongan dan galakkan.