Monday, July 13, 2009

BUKU-BUKU USRAH ALLAHYARHAM ABAH

Ahad baru-baru ini, saya dan Mr A pulang ke rumah mak di KL. Sempat kami meyelongkar almari buku abah di ruang tamu. Banyak sungguh kitab-kitab abah, ada yang sudah kekuningan. Mak memberikan kami beberapa buah buku abah. BUku-buku ini rata-ratanya abah beli sekitar tahun 1986-1988.

Sebak juga apabila melihat tulisan abah di buku-buku tu. Nampak benar kesungguhan abah dalam belajar dan mendalami ilmu agama. Buku-buku ini kebanyakkan abah guna semasa berusrah di rumah bersama rakan-rakan baiknya. Saya masih ingat, abah akan memasang tabir yang memisahkan ruang tamu dan ruang kami menonton TV di belakang. Kami tidak dibenarkan sama sekali menonton TV. Adakalnya saya dan adik yang nakal memasang TV tanpa memasang suara. Jika abah berjaya mengesannya, siaplah. Abah pasti akan membulatkan matanya.Itu sudah menyebabkan kami ketakutan.

Mr A ternyata sangat berminat dengan buku-buku lama ini yang kebanyakkanya sudah sukar untuk di cari pada zaman ini. Antara buku abah yang kami bawa pulang ke rumah adalah:

-Pengertian Tauhid Oleh Dr. Yusuf Al-Qardawi
-Golongan yang Gugur di sepanjang jalan Dakwah oleh Dr. Fathi Yakan
-Usrah dan Da'wah oleh Hassan Al Banna
-Sistem Pendidikan Ikhwanul Muslimin Oleh Dr. Yusuf Al-Qardawi
-Usul 20 oleh Hasan Al Banna
-Pesanan dan Peringatan oleh Mustafa Masyhur
-Sepuluh Wasiat oleh Hasan Al Banna
-Petunjuk Sepanjang Jalan oleh Syed Qutb
-Riawayat Hidup Hasan Al Banna
-Suka duka Gerakan Islam dunia Arab oleh Maryam Jameelah

Semoga dengan buku-buku ini yang kami guna, dapat memanjangkan lagi sedekah kami kepada Abah di sana. AL Fatihah.