Monday, August 2, 2010

MENUMPANG KASIH


Melihat anak-anak jiran bermain dihadapan rumah saya hati rasa gembira mendengar jerit pekik mereka. Berlari, memanjat, melompat...semua perkara dibuat bersama berulang kali. Yang perempuan pun sama sahaja naiknya dengan yang lelaki. Ibu bapa mereka mungkin di rumah...sudah penat agaknya melayan anak-anak. Rumah saya adalah rumah ke dua terakhir dan berada di hujung jalan mati. Tempat yang sesuai untuk bermain, tambah pula tuan rumah di hujung sana belum lagi memasuki rumah mereka.

Saya memanggil-manggil mereka, mereka senyum-senyum bila saya tanya "ni ayah mak siapa?"...maklumlah, belum semua nama jiran dan anak-anak mereka saya kenali sejak berpindah ke sini hampir 5 bulan yang lalu. Saya ada memberi mereka makanan yang ada di rumah. cukuplah kalau nampak saya nanti mereka memanggil-manggil saya. Itu sudah cukup membahagiakan insan yang belum ada zuriat seperti saya. Mujurlah baru-baru ini ada jiran yang buat kenduri, dapatlah saya berkenalan dengan mereka.

Semuanya sudah ada anak-anak besar. Mungkin pasangan yang muda sedikt hanyalah kami dan sepasang lagi suami isteri. Seronok dapat mendukung bayi yang baru 2 bulan usianya ketika berkunjung ke rumah jiran baru-baru ini, jiran mengusik " tue dah ada gaya, tak lama lagilah tue". Hati saya berbunga riang, saya aminkan doa mereka!!