Wednesday, August 26, 2009

RAMADHAN tanpa ABAH



Selamat menjalankan ibadah puasa dari saya. Maafkan saya atas kesalahan yang mungkin saya lakukan terutama dalam coretan-coretan saya di blog ini yang mungkin kurang disenangi. Saya mengharap keampunan Allah swt atas segala kekhilafan saya.

Ramadhan kali ini amat sibuk, bagi Mr A yang bergelar guru, mungkin seronok sikit sebab awal Ramadhan sekolah bercuti seminggu, namun bagi saya sudah lama benar tidak menjenguk blog ini untuk update entri terkini. Kesibukkan berpindah ke pejabat baru di tingkat 5 (tanpa lif) memaang satu cabaran menjelang beberapa hari sebelum Ramadhan. Satu cabaran yang teramat. Bagi yang selalu lewat, bertambah lewat, bagi yang datang awal (ikut Mr A keluar sekali jam 7) saya kurang menghadapi masalah. Cuma boleh dikatakan 2 kali saya berhenti menarik nafas untuk mengumpul tenaga untuk terus mendaki.

Ramadhan pertama saya dan suami berbuka puasa di rumah mak di KL. Saya memasak dan membawanya dari rumah. Tidak mahu mak penat, lagipun saya tahu sejak abah tak ada mak kurang memasak dan ala kadar sangat makanan yang dijamahnya. saya pula, tidak lah 'pakar' tetapi bolehlah.

Memang terasa beza Ramadhan kali ini. Pagi sebelum Ramadhan iaitu Jumaat, saya menangis di dalam pejabat. Saya menelefon mak, mohon ampun dan maaf. Saya juga menghantar sms kepada ayah dan ibu mertua di kampung memohon ampun dan menghalalkan makan minum saya. Maklumlah, sebagai menantu saya selalu merasakan banyak kekurangan saya dicelah-celah kemeriahan mereka. Ada tingkahlaku saya yang mungkin tidak kena pada mata mereka.Saya amat risau. Saya pernah mendengar ceramah dari seorang ustazah yang mengatakan tentang kewajipan sabagai menantu yang perlu taat pada ibu suaminya melebihi ibu kandungnya sendiri. Namun saya tetap hamba Allah yang sentiasa melakukan kesilapan, oleh itu saya mahu memohon maaf pada mereka atas segala kesialpan saya sepanjang menjadi menantu mereka.

Mak memberitahu saya, tahun ni bila berbuka sudah tidak ada lagi soalan-soalan abah. Ya, saya ingat, abah suka tanya apa yang mak masak. malah bila jam 6.30 ptang tapi belum ada lauk si tempat hidangan abah akan resah. Kemudian dia akan ke bazar membeli serba sedikit lauk. Paling saya ingat abah selalu belikan air pelbagai jenis untuk kami dan cucu-cucnya. Tapi tahun ini, tak ada lagi...

Saya menangis di talian, saya tahu mak juga sebak. Saya cam nada suara dia. Sesungguhnya saya amat rindukan arwah abah. Rupanya Ramadhan tahun lalu adalah yang terakhir kami bersama abah. Saya tahu perasaan mak, dalam jenaka yang kami buat dia menangis. Beberapa kali saya melihat mak menangis dalam bilik. Tahun ini pertama kali beraya tanpa abah, saya tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan suasananya. Teringat ketika hayat abah, jika jam 8 malam kami masih dirumah, dia akan bertanya mengapa tidak ke surau untuk terawih. Dalam keuzuran kadang kala abah hanya sempat berjemaah isya sahaja di surau dan terawih sambil duduk di rumah. Abah juga akan duduk di satu sudut diruang tamu untuk melihat orang ke surau. Rumah kami betul-betul depan surau. Kurang dari 60 meter.

Saya rindukan suasana rumah yang penuh dengan suara ketegasan abah menegur itu dan ini. Saya rindukan renungan matanya yang tajam setiap kali kami adik beradik membuat kesalahan. Saya teringat permintaanya yang selalu hendak makan gulai kari kepada mak. Saya rindu nak buatkan air 'teh o' yang menjadi kegemarannya. Paling saya rindu usikan abah yang jarang-jarang sangat kami dengar, permintaan abah agar saya belajar hingga ke PhD,keinginan abah melihat saya berjaya seperti mana harapannya.

Rumah saya kecil sahaja, namun kehdairan abah menjadikan saya dan adik beradik yang lain merasakan abah cuba menjadikan rumah sebagai 'Madrasah' mendidik jiwa kami agar patuh pada Islam, tidak takutkan sesiapa melainkan Allah. Rumah yang penghuninya taat pada agama, tidak membuat maksiat, mengerjakan solat, menutup aurat, rumah yang hidup dengan bacaan al-Qur'an. Abah...saya amat rindukannya.

Malam selepas terawih yang pertama, saya menangis...nangis diam-diam...ntah pada siapa saya hendak mengadu, akhirnya saya tahu, menangis dan berdoa kepada Allah lebih baik dari mengeluh dihadapan manusia. Saya berdoa agar Abah ditempatkan dikalangan orang beriman.Al Fatihah.

Friday, August 14, 2009

KEMATIAN ITU PASTI

Saya memohon maaf, kesibukan yang teramat beberapa minggu ini. Malah saya ditimpa sakit dan bercuti sehingga lima hari. Lelah, batuk dan demam. Kasihan Mr A yang bersusah payah menjaga saya ketika sakit. Sesungguhnya ujian seperti ini, pasti meningkatkan lagi kasih sayang kami suami isteri.

Sejak saya kehilangan Abah pada 7 Mei yang lalu, di pejabat seolah-olah ianya menjadi satu ujian..seorang demi seorang kehilangan orang yang mereka sayang. Beberapa sahabat kehilangan ayah dan ibu. Sedih...saya turut menangis sebak bila mendapat berita seperti ini.

Semalam pula, kita dimaklumkan kehilangan Ustaz Asri dari kumpulan Rabbani. Benarlah, kematian itu pasti. Ianya adalah iktibar untuk yang masih hidup, bukan untuk yang telah pergi.

Masih banyak bekalan yang perlu saya siapkan. Dalam diri yang bergelar hamba ini,
saya masih merasakan kerdilnya saya dan amal kebaikkan yang saya telah lakukan.

Ya Allah, Aku memohon keampunanMu.