Wednesday, December 23, 2009

PESANAN IMAM AL GHAZALI




PESANAN Imam Ghazali:

Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?

Murid 1: Orang tua

Murid 2: Guru

Murid 3: Teman

Murid 4: Kaum kerabat

Imam Ghazali: Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah MATI. Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan
mati ( Surah Ali-Imran :185).



Imam Ghazali: Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?

Murid 1: Negeri Cina

Murid 2: Bulan

Murid 3: Matahari

Murid 4: Bintang-bintang

Imam Ghazali: Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling benar adalah MASA LALU
Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari2 yg akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.



Imam Ghazali: Apa yang paling besar didunia ini ?

Murid 1: Gunung

Murid 2: Matahari

Murid 3: Bumi

Imam Ghazali: Semua jawaban itu benar, tapi yang besar sekali adalah HAWA NAFSU (Surah Al Araf: 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita,
jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka.



IMAM GHAZALI Apa yang paling berat didunia?

Murid 1: Baja

Murid 2: Besi

Murid 3: Gajah

Imam Ghazali: Semua itu benar, tapi yang paling be! rat adalah MEMEGANG AMANAH (Surah Al-Azab : 72 ). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan ma laikat semua tidak
mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah
pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah.

Imam Ghazali: Apa yang paling ringan di dunia ini ?

Murid 1: Kapas

Murid 2: Angin

Murid 3: Debu

Murid 4: Daun-daun

Imam Ghazali: Semua jawaban kamu itu benar, tapi yang paling ringan sekali didunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat



Imam Ghazali: Apa yang paling tajam sekali di dunia ini?

Murid- Murid dengan serentak menjawab : Pedang

Imam Ghazali: Itu benar, tapi yang paling tajam sekali didunia ! ini adalah
LIDAH MANUSIA. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati
dan melukai perasaan saudaranya sendiri

Sunday, December 20, 2009

KENDURI NAIK RUMAH BARU??





Saya biasa mendengar pertanyaan daripada beberapa orang rakan apabila mendapati ada kawan yang masuk berpindah ke rumah baru " bila nak buat majlis makan-makan"? sebenarnya tidak ada silap dalam soalan itu, cuma saya pernah bertanyakan kepada beberapa orang yang arif dalam agama, memang bila memasuki rumah baru kita perlu membaca bebarapa ayat dari Al Qur'an. bagi mendapat keberkatan dan mengelak dari perkara-perkara yang tidak baik. Sama ada secara sendiri atau beramai-ramai.


Namun kadangkala amalan ini dicampuri adat Melayu yang menyebabkan ada tuan rumah yang mula pening kepala untuk membuat bajet tambahan setelah berhabisan duit untuk memasuki rumah baru sahaja. Acara menjamu rakan-rakan dan saudara mara adalah tidak salah, malah dengan bersedekah insya Allah, Allah akan menggantikan kita dengan rezeki yang lebih baik. Apa yang penting kita hendaklah sama-sama berfikir sejauh mana kemampuan kita serta keperluan dalam memenuhi hasrat orang ramai. Ukurlah baju di badan sendiri dan janganlah berbelanja sehingga menyusahkan isteri, suami atau orang lain dalam merealisasikan keinginan manusia yang tidak pernah habis.Wallahualam.

Insya Allah, setelah urusan rumah selesai, saya dan suami mengalu-alukan sesiapa sahaja rakan dan kenalan yang hendak datang ke teratak kecil kami, tidak perlu sehingga kami mengadakan jamuan....rumah kami sentiasa terbuka menyambut rakan-rakan dan saudara mara.

SIAP SEDIA UNTUK BERPINDAH!!




Minggu lepas saya dan Mr A ke Pejabat Pemaju untuk mengambil kunci rumah. Agak terkejut kerana saya menjangkakan pada bulan 1. Alih-alih pemaju menelefon mengatakan sudah mendapat kelulusan CF dan saya boleh masuk untuk membuat komplen yang pertama. huuu...macam tak caya jer.

Kebetulan hari yang kami ambil kunci, mak dan anak buah berada di rumah kami, saya pun membawa mak dan anak saudara turut serta ke rumah baru kami. Kiranya mak dengan anak saudara sulung saya yang bernama Solehein itulah yang pertama kali menjejak kaki ke sana.

Gambar kat atas tu mak sedang memberi cadangan agar saya memanfaatkan tanah "sekangkang kera" tu dengan menanam sayur...ehhehe..boleh 'maintain' ke?? biasanya saya ni hangat-hangat tahi ayam saja...Jadi saya dan Mr A sudah mula mengupah orang untuk mengukur pintu dan tingkap untuk memasang pagar...adoiii...mak kata "perlahan-lahan, mak dulu masuk rumah baru lagi tak ada apa"..sedih juga bila dengar mak berkata begitu, mesti mak sedang mengingati kepayahan yang dia lalui bersama arwah Abah dulu sehingga sudah boleh menarik nafas lega sekarang...

"Terkilan abah tak sempat datang tengok rumah saya..." kata saya spontan pada mak, lalu air mata bergenang di kelopak. Kami berdua sama-sama terdiam....

Saturday, November 14, 2009

AKU DAN ADIK BERADIK YANG LAIN



Gambar ni diambil masa kami berada di rumah Mak Ngah. Masa ini saya dalam usia 7 atau 8 tahun. Saya berada disebelah kanan kak yang (sedang memeluk Farhan) dan abang disebelah kiri kak yang.

Kenapa dahi Farhan ada warna putih? Oh ya, masa ni dia kena gigit nyamuk, jadi mak meletakkan kapur putih di dahi dia. Sekali tengok macam anak India. Hhehehe. Akak tiada dalam gambar nie, dia tak sertai sekali dalam gambar ini. Tak ingat kenapa.

Siapa yang mewarisi wajah Arwah Abah agaknya? Bila bertemu kawan-kawan abah, mereka selalu kata wajah abanglah mirip abah. Mata kak yang pula memang sebiji mata abah. Bulat dan besar. Berbanding mata saya yang agak sepet. Masa kecil-kecil dulu, abang selalu mengusik mengatakan saya anak cina yang mak jumpa dalam tong sampah. Saya menangis tak henti-henti sampai saya koyakkan gambar saya semasa bayi dalam 8 bulan. Gambar tu memang menunjukkan saya putih dan gebu selain bermata sepet seperti anak cina. Sedih betul masa tue. Sekarang dah menyesal, sebab sudah tiada gambar masa bayi untuk jadi kenangan.

Sekarang hanya tinggal kami 5 beradik dan mak...suasana sangat berbeza...Insya Allah Raya Haji tahun ini saya dan kak yang mengambil bahagian dalam korban. Semoga kebaikkan yang kami buat sampai pahalanya kepada abah di sana. Bukankan bila mati seorang hamba Allah maka putuslah amalannya kecuali ilmu yang bermanafaat, amal yang baik serta doa anak yang soleh.

SUICIDE





Saya bebesar hati ingin berkongsi maklumat yang diperolehi semasa mengikuti Bengkel Mengenalpasti Pelajar Berisiko yang lalu.

Keperluan untuk menolong bukan sahaja perlu diletakkan di bahu Kaunselor, guru mahupun ibu bapa. Sesiapa sahaja yang mempunyai rasa dan nilai tanggungjawab terhadap individu lain wajar melihat masalah ini sebagai satu ujian bersama.

Antara tips yang boleh diberikan bagi mengenalpasti pelajar ataupun individu berisiko ini melalui Bengkel ini adalah:

1.Listen to their point of view. Put yourself in their shoes and see the world in their eyes. Ask them how it makes them feel.
Understand what makes them tick.
2.Accept them for who they are. Differentiate them as a person and their behavior. 3.Ask for the behavior to change but accept them as they are.
4.Acknowledge their presence. Look for their positives. Appreciate what they don’t do as well as what they do.
5.Give them space. Teens need privacy, not just in their bedroom but also in their thoughts. Avoid interrogation techniques and opt for genuine interest.
6.Recognize that teenagers must become independent in order to become adults, just as they had to learn to walk and talk to grow from infancy to childhood.
7.Listen to and with them. Lecturing, judging, scolding, and nagging hurt relationships. Talking and listening help.

Thursday, October 22, 2009

KURSUS UNTUK MENGENAL PASTI PELAJAR BERISIKO




Semalam seharian mengikuti kursus untuk mengenalpasti pelajar-pelajar berisiko, contoh bunuh diri. Kursus menarik, cuma bila dilaksanakan dalam medium Bahasa Inggeris sepenuhnnya, para peserta perlu 50 kali lebih dengar dan lihat. Jika tak, mahu tak paham hujung pangkal dan ketinggalan.

Banyak yang di pelajari dari kursus ini. Akan saya kongsikan kelak maklumat tersebut.

APABILA PERLU MEMBUAT PILIHAN




Kesibukkan menyesuaikan diri dengan portfolio baru membuatkan saya menjadi sibuk yang teramat. Keletihan yang sangat berbeza dari masa-masa dahulu. Malah semasa ditawarkan jawatan ini saya tidak diberi pilihan. Waima saat ini, saya terfikir apabila saya diberi peluang membuat pilhan, adakah pilihan saya akan direstui? Seorang ketua pernah mengatakan sesuatu pada saya, jika kita tidak membuat sesuatu yang disukai oleh bos, kita akan menjadi kurang popular dan digemari. Sejauh manakah kebenaran itu? Saya mula melihat riak-riak itu dalam lewat beberapa pertemuaan yang lalu.

Bagaimana yer untuk mentafsirkan perasaan waktu ini?

Semoga Allah memberi kekuatan untuk saya menghadapi semua ini. Amin!

Tuesday, September 29, 2009

MERTUA



Ini adalah mertua saya (abah dan mak). Panggilan yang sama juga yang saya gunakan untuk arwah abah dan mak kandung saya. Tidak ada kejanggalan apabila memanggil mereka buat pertama kali tiga tahun yang lalu, dengan panggilan itu kerana saya sudah 29 tahun menggunakan panggilan itu di rumah selama ini.

Gambar ini dirakam pada hari raya yang lalu. Abah seorang yang sangat 'sporting' berbeza dengan arwah Abah yang agak tegas. Mak pula sama sahaja dengan mak kandung. Hebat dalam pelbagai masakan yang enak-enak. Membuatkan kita asyik rindu pada air tangan mereka. Saya kira Mr A pasti nak jaga hati saya bila saya selalu tanya masakan siapa lagi sedap (sekadar nak test power), mak atau saya?. Lalu Mr A akan jawab, masing-masing ada keenakan dan keistimewaan tersendiri. Bagi saya jawapan ini adalah jawapan menyelamat yang 'standard' bagi soalan yang mungkin boleh buat para isteri mogok tidak mahu masak lagi...ehhehe (jahatnya saya).

Meskipun sudah 3 tahun berkahwin dengan anak kesayangan mereka Mr A, namun saya masih juga kelam kabut apabila diberitahu mereka akan datang ke rumah hari ini untuk membawa adik ipar menghadiri temuduga di Bangi. Dari Ahad lepas hingga malam tadi, saya tidak berhenti-henti mengemas rumah. Ada saja benda yang saya lihat tidak enak di mata. Meskipun rumah sewa yang saya dan suami diami buat masa ini kecil, saya berharap mereka selesa apabila berada di rumah kami.

Abah mertua saya sangat pandai memasak. Resepi rendang hitam beliau popular di Kuala Lipis. Saya juga sudah ketagih bila makan pada kali pertama dahulu (gambar rendang akan saya upload kemudian), dengan bantuan mak masakan menjadi semakin sedap. Saya terfikir bilalah saya boleh masak sesedap ini?? Untuk ramai orang?? Saya sebenarnya takut untuk menjamu orang makan (terutama yang datang dalam kelompok yang ramai). Ntah apa rasanya bila masak dalam kuantiti yang banyak. Semua jadi lari....

Bersama Abah mertua, saya menumpang kasih...namun masakan sama dengan arwah abah. Sesekali saya rindu suara tegas arwah abah memarahi kami. Namun saya bersyukur memiliki mertua yang sudi menerima saya seadanya dan sangat menghargai. Terima kasih Mak Abah!

Friday, September 25, 2009

Karya Islam

saya mengambil artikel ini dari blog Puan Ainon. PTS sedang memasarkan buku-buku karya pakar Psikologi Islam. Insya Allah, jika berkesempatan saya akan membeli buku ini.

PTS Menerbitkan Karya-karya Pakar Psikologi Islami Klasik


Ibnu Qayyim adalah salah seorang pakar psikologi Islami yang sangat terkenal.
Beliau lahir hampir 800 tahun yang lalu, iaitu pada tahun 1292 Masehi di kota Damsyik, Syria.
Sebagai contoh, menurut Ibnu Qayyim, tingkah laku menangis dapat dikategorikan ke dalam 10 jenis tangisan:
a. Air mata yang tercetus oleh emosi kasih sayang, dan hati yang lembut.
b. Tangisan yang disebabkan oleh perasaan amat takut.
c. Air mata yang disebabkan oleh rasa cinta.
d. Air mata gembira.
e. Tangisan yang disebabkan oleh penderitaan.
f. Air mata kesedihan.
g. Air mata yang mengalir disebabkan diri berasa lemah dan hina.
h. Air mata belas kasihan.
i. Menangis kerana terikut-ikut orang lain menangis.
j. Tangisan hipokrit, yakni pura-pura.


Jadi, biasanya air mata kita yang jatuh dalam kategori manakah?

1 SYAWAL




Saya berhari raya di Kampung suami di Kuala Lipis pada hari raya pertama dan ke dua. Meneruskan destinasi ke KL untuk beraya dengan mak di sana. Ternyata suasana rumah amat berbeza. Gamabr di atas adalah gambar mak dan nenek seblah arwah abah.

Tahun ini masih tidak sempat bergambar bersama, kerana dua orang kakak dan saya sendiri tidak dapat beraya bersama mak kerana giliran di rumah mertua. Saya berbual-bual dengan mak di dalam bilik, adakalanya mak menangis diikuti saya yang sebak. Terasa benar kehilangan abah. Kalau dulu setiap kali raya pasti akan saya agihkan duit raya untuk abah, tahun ni bahagian abah saya berikan pada mak. Tentu tidak sama nilainya dengan kehadiran abah.

Persiapan raya amat sederhana,tiada langsir baru atau set sofa baru di rumah mak. Sebenarnya saya ada belikan kain langsir untuk mak sebelum abah meninggal, tetapi mak tidak berminat untuk menjahitnya lagi. Mungkin dia tidak bersemangat untuk beraya. Mujurlah malam itu kak yang sekeluarga pulang (kak yang masih dalam pantang, baru 20 hari melahirkan anak) untuk bersama-sama mak. Mak walaupun masih boleh berjenaka dengan kami saya tahu dia sedih. Setiap kali saya bersamanya di dalm bilik, pasti kami akan berbual-bual tentang abah. Saya rasa seperti zaman kanak-kanak dan remaja apabila tidur disebalh mak (masa sakit kecil-kecil dulu saya selalu tidur dengan abah).


Malam seterusnya kami membuat BBQ..simple-simple sahaja. Saya membuat ayam madu yang diperap, suami memerap daging kambing, abang ipar dan abang membeli otak-otak dan sosej untuk dibakar. Jamuan ini untuk untuk meraikan budak-budak di rumah dan keluarga mak ngah.Kebetulan sahabat baik abah datang untuk ziarah, jadi dapatlah kami makan bersama-sama. Gambar akan saya masukkan kemudian.

Friday, September 18, 2009

AIDILFITRI YANG AMAT BERBEZA




Hari ini saya masih bekerja. Saya masih perlu menyiapakan kertas kerja untuk program besar pada Mac 2010 kelak. Itu portfolio yang baru saya pegang...sebenarnya ada 3 projek yang perlu saya buat. Malah selepas raya, sudah ada program yang besar menanti.Bos pula macam tak sabar-sabar untuk melihat saya mula dengan tugas baru ini meskipun tarikh lantikan hanyalah pada 1 Jan 2010. Agaknya waktu raya pun saya akan mimpikan hal-hal kerja nie.

Terasa kelainan kali ini apabila semakin hampir nak beraya. Boleh dikatakan apa saja iklan, lagu yang saya lihat tentang ayah dan ibu saya pasti sebak. Kali ini Syawal pasti sangat berbeza. Hajat dihati ingin menemani mak yang sudah tiada teman disisinya. Namun saya perlu juga memikirkan perasaan keluarga mertua yang pastinya akan menunggu suami dan saya pulang.

Abang selalu kata bila saya datang pasti bising rumah mak dan abah. Dulu masa remaja, saya selalu marah bila abang suruh saya diam, sekarang tidak lagi. Saya berharap suara sayaakan buatkan mak ceria meskipun sedikit.Saya sebak dan menangis diam-diam, malu bila orang tanya 'nie menangis tak pasal-pasal'...jadi menangis diam-diam itu lagi baik kot.

Abang saya mewarisi perangai arwah abah....sama....cuma abah agak sejuk sikit sejak arwah sakit. Dulu semasa belajar di U, setiap kali abah ambil saya pulang dari stesen bas, sampai sahaja rumah saya akan mula 'melaporkan' semua yang terjadi pada mak dan akak. Ada jer cerita saya, riuh rendah saya bercakap, itu belum campur dengan kehadiran kak yang yang agak gila-gila. Tapi kami gila-gila yang ada kelasss...hahahah...itu ayat saya pada abang apabila beliau meminta saya berhenti bercakap. Kesudahannya abang akan cakap korang ni tak sudah-sudah lagi ke sembang?? Dan meninggalkan kami dengan muka yang muncung.

Hubungan kami memang pelik, didikan mak abah buat kami adik beradik boleh menegur satu sama lain secara direct. Mula-mula mungkin akan terasa hati, tapi bila giliran orang lain situasi akan menjadi sama juga.

Syawal kali ini tentu berbeza, pasti mak akan ke kubur arwah abah selepas solat sunat aidilfitri.Sesuatu yang tidak kami pernah lakukan ketika hayat abah ada. Sedih yang teramat, setiap kali saya turun dari kereta untuk menziarahi kubur abah, saya pasti akan berkata dalam hati "Assalamualaikum,abah, saya datang nie". Saya pernath terbaca dalam satu kisah zaman sahabat, Nabi memberitahu, si mati tahu jika ahli keluarganya datang menziarahinya. Jikalah saya tahu, Aidilfitri tahun lalu adalah yang terakhir buatnya… Insya Allah abah, kami pasti akan ke sana juga satu masa nanti.

Ya Allah, berilah kami kekuatan menghadapi Syawal ini. Semoga Syawal kali ini dapat mendidik hati kita semua untuk lebih cinta kepadaNya. Insya Allah.

Tuesday, September 8, 2009

LANTIKAN




Jumaat lepas saya dipanggil oleh ketua untuk 'mengadap'. Ntah kenapa saya suka menggunakan istilah ini. Apabila kerani memaklumkan perjumpaan itu, saya menjadi pelik, kenapa tidak semua pegawai dipanggil? Ada yang tidak kenakah? Lalu saya mencongak-congak mungkin ada saya buat sesuatu yang tidak baik minggu ini...namun tidak bertemu jawapannya.

Nah..rupanya saya diberikan satu portfolio baru. Sebagai Penyelaras......menitik air mata saya di atas kertas yang diserahkan senarai tugas terbaru saya. Saya pandang wajah empat lagi rakan...kesemuanya nampak tenang dan positif, Tetapi tidak saya. Saya keliru teramat.

Petang, saya dipanggil oleh ketua secara sendirian, sebenarnya memang saya mahu bertemunya selepas makluman pagi tadi, tetapi kesibukkan beliau membuatkan saya menangguh pertemuaan tersebut.

Akhirnya terluah jua apa yang terbuku sejak dipanggil pagi tadi...kenapa saya? saya masih baru...lagipun saya tidak berpengalaman dan tidak minat dalam tugas baru ini kerana ianya bukan kecenderungan saya. Malah tugas ini sangat besar, bukan sekadar tenaga, malah memerlukan masa dan komitmen yang tinggi. 4 progra,besar dipegang oleh saya seorang? Ini bukan program syok sendiri yang biasa orang buat. Gerak kerjanya bermula setahun awal...sehingga hari kejadian.

Jawapan ketua mudah. Ini arahan Menteri yang mahukan program pemantapan Kerjaya pelajar lebih ditekankan dan saya orang yang paling layak berdasarkan prestasi kerja saya beberapa tahun ini...Aduhai...soal Pak Menteri timbul lagi...Saya lelah dengan semua niee...

Lama juga saya termenung, air mata tidak tumpah meskipun segalanya nampak kabur. Saya keraskan hati...nak tak nak kena terima. Itu arahan ketua. Saya tidak punya pilihan. Hampir kesemua rakan-rakan meminta saya berfikiran positif, malah bos ke dua juga dengan mudah meminta saya terima dan katanya saya boleh buat. Aduhai...berat mata memandang berat lagi bahu saya memikul. Betullah, kita tidak akan merasainya selagi kita sendiri tidak mengalaminya. Kata-kata sabar itu seperti menyiram air ke daun keladi. Langsung tidak berbekas di hati saya. Mudahnyaa menjadi orang di luar sana....

Petang Jumaat lepas, saya menjadi lemah,kecewa, terkilan...malah saya rasa semakin letih dengan semua ini. Walaupun tarikh lantikan bermula Januari 2010, namun saya telah diarahkan memantau 2 program besar yang akan bermula sekarang hingga Februari depan.

dalam surah Al Baqarah Allah telah berfirman " Barangkali apa yang tidak kamu sukai itu baik untuk kamu dan begitu juga sebaliknya". Lemahnya saya, saya tidak mampu menerima ujian ini.

Dalam solat saya panjatkan doa kepada Allah swt, agar memudahkan segala urusan dan tugas baru kelak meskipun saya merasakan sangat terhimpit dengan minat sendiri dan kehendak pihak atasan yang semakin merumit hari demi hari....

Thursday, September 3, 2009

Baiti Janati (Rumahku Syurgaku)




Gambar di atas adalah gambar anak-anak buah saya. Penah saya tunjukkan sebelum ini. Dari salah satu ruang di rumah keluarga saya (tempat saya di didik).

Episod tentang rumah masih rancak dibibir saya dan semakin kerap dibincangkan bersama Mr A. Banyak perkara yang perlu difikirkan, banyak juga duit yang perlu dibelanjakan.

Teringat rumah keluarga saya di KL. Rumah itu adalah hasil titik peluh abah dengan gaji yang tidak seberapa ketika itu. Namun demi memastikan kami mempunyai rumah abah dan mak bekorban banyak untuk rumah ini.

Rumah keluarga saya sangat simple, tanpa perabot yang mahal-amahl atau hiasan-hiasan yang canggih. walaupun semasa zaman remaja dulu, saya ingin sekali menghias rumah tetapi hasrat selalu terbantut apabila bertahan sekejap sahaja. Maklumlah mak mengasuh anak-anak jiran, rumah bersepah dan kotor. Adakalnya saya naik angin dengan keadaan rumah apabila balik dari sekolah.

Apabila semakin dewasa, saya mengerti, bukan hiasan fizikal yang abah dan mak inginkan dalam rumah ini. Sebaliknya pengisian penghuninya dengan ilmu dan kefahaman lagi penting dari segala-gala hiasan di dalam rumah. Dulu saya malu nak ajak rakan-rakan ke rumah, tetapi sekarang tidak lagi. Bagi saya mak dan abah menjadikan rumah kami seperti syurga kecil didunia ini.

Saya terbaca blog Ustaz Hasrizal mengenai kenagan yang selalu kita ingat. Adakah bila kita asyik mengenang kenangan tersebut bermakna kita bahagia? MUngkin lebih bahagia dari sekarang? Setiap orang mempunyai jawapannya sendiri. Kenangan yang menjadikan kita lebih insaf, apa salahnya untuk diingati bukan? Muhasabah diri yang perlu dibuat berterusan.

Apabila sudah berkahwin saya juga agak malu dengan Mr A apabila dia melihat rumah saya. Maklumlah rumah saya sangat sederhana, tiada set sofa yang mahal, almari antik mahupun hiasan-hiasan di dinding seperti rumah-rumah yang lain sekarang. Rumah abah dan mak saya hanya ada 3 almari yang penuh dengan kitab-kita dan buku-buku lama abah. Tafsir Imam Bukhari dan pelbagai. Satu almari buku yang menempatkan buku-buku saya, sofa yang baru saya beli tahun lepas (tetapi kerana murah, ianya macam dah tidak selesa), sebuah meja makan, dan sebuah mesin jahit kepunyaan mak.

Itulah rumah saya, namun rumah saya inilah tempat saya belajar segala-galanya tentang kehidupan, kepayahan, kefahaman tentang Islam. Rumah saya berhadapan dengan surau. Surau ini menjadi kesayangan abah dan mak. Malah saya juga...Malah surau inilah yang menempatkan jenazah abah ketika Allahyarham Abah hendak dimandi dan difankan oleh sahabt-sahabat, menantu dan anak-anak lelakinya.

Semoga rumah saya kelak akan menjadi syurga seterusnya menjadi sebuah Rumah Manis yang diidami oleh Mr A dan saya, yang mana penuh barakah, Mawaddah dan Rahmah. Insya Allah.

Tuesday, September 1, 2009

RUMAH




Terkejut bukan kepalang saya petang ni, bila saya menelefon pemaju, dan mereka mengatakan rumah sudah siap. Kemungkinan dalam bulan 10 sudah boleh ambil kunci. Eisshh...biar betul, dalam perjanjian saya dapati tarikh serahan pada Februari 2010 sepatutnya. Apabila saya tanya kepada orang yang menguruskan hal ini, beliau mengesahkannya. Alhamdulillah...sebelum Ramadhan baru ni, saya dan Mr A ada pergi melawat, memang nampak semua dah ada cuma sedang buat jalan sahaja. Risau juga sebab banyak sangat dengar kes projek terbengkalai.

Saya berdoa, Allah memudahkan segala urusan saya dan Mr A apabila hendak berpindah kelak. Jauh di sudut hati sebak, mengingatkan abah tidak berkesempatan melihat rumah saya meskipun arwah yang menjadi saksi saya dalam semua dokumen jual beli yang lalu.
Al Fatihah untuk abah. Semoga abah mendapat istana dari permata di dalam syurga yang lebih nikmat dari semua rumah yang ada di dunia ini. Amin.

Wednesday, August 26, 2009

RAMADHAN tanpa ABAH



Selamat menjalankan ibadah puasa dari saya. Maafkan saya atas kesalahan yang mungkin saya lakukan terutama dalam coretan-coretan saya di blog ini yang mungkin kurang disenangi. Saya mengharap keampunan Allah swt atas segala kekhilafan saya.

Ramadhan kali ini amat sibuk, bagi Mr A yang bergelar guru, mungkin seronok sikit sebab awal Ramadhan sekolah bercuti seminggu, namun bagi saya sudah lama benar tidak menjenguk blog ini untuk update entri terkini. Kesibukkan berpindah ke pejabat baru di tingkat 5 (tanpa lif) memaang satu cabaran menjelang beberapa hari sebelum Ramadhan. Satu cabaran yang teramat. Bagi yang selalu lewat, bertambah lewat, bagi yang datang awal (ikut Mr A keluar sekali jam 7) saya kurang menghadapi masalah. Cuma boleh dikatakan 2 kali saya berhenti menarik nafas untuk mengumpul tenaga untuk terus mendaki.

Ramadhan pertama saya dan suami berbuka puasa di rumah mak di KL. Saya memasak dan membawanya dari rumah. Tidak mahu mak penat, lagipun saya tahu sejak abah tak ada mak kurang memasak dan ala kadar sangat makanan yang dijamahnya. saya pula, tidak lah 'pakar' tetapi bolehlah.

Memang terasa beza Ramadhan kali ini. Pagi sebelum Ramadhan iaitu Jumaat, saya menangis di dalam pejabat. Saya menelefon mak, mohon ampun dan maaf. Saya juga menghantar sms kepada ayah dan ibu mertua di kampung memohon ampun dan menghalalkan makan minum saya. Maklumlah, sebagai menantu saya selalu merasakan banyak kekurangan saya dicelah-celah kemeriahan mereka. Ada tingkahlaku saya yang mungkin tidak kena pada mata mereka.Saya amat risau. Saya pernah mendengar ceramah dari seorang ustazah yang mengatakan tentang kewajipan sabagai menantu yang perlu taat pada ibu suaminya melebihi ibu kandungnya sendiri. Namun saya tetap hamba Allah yang sentiasa melakukan kesilapan, oleh itu saya mahu memohon maaf pada mereka atas segala kesialpan saya sepanjang menjadi menantu mereka.

Mak memberitahu saya, tahun ni bila berbuka sudah tidak ada lagi soalan-soalan abah. Ya, saya ingat, abah suka tanya apa yang mak masak. malah bila jam 6.30 ptang tapi belum ada lauk si tempat hidangan abah akan resah. Kemudian dia akan ke bazar membeli serba sedikit lauk. Paling saya ingat abah selalu belikan air pelbagai jenis untuk kami dan cucu-cucnya. Tapi tahun ini, tak ada lagi...

Saya menangis di talian, saya tahu mak juga sebak. Saya cam nada suara dia. Sesungguhnya saya amat rindukan arwah abah. Rupanya Ramadhan tahun lalu adalah yang terakhir kami bersama abah. Saya tahu perasaan mak, dalam jenaka yang kami buat dia menangis. Beberapa kali saya melihat mak menangis dalam bilik. Tahun ini pertama kali beraya tanpa abah, saya tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan suasananya. Teringat ketika hayat abah, jika jam 8 malam kami masih dirumah, dia akan bertanya mengapa tidak ke surau untuk terawih. Dalam keuzuran kadang kala abah hanya sempat berjemaah isya sahaja di surau dan terawih sambil duduk di rumah. Abah juga akan duduk di satu sudut diruang tamu untuk melihat orang ke surau. Rumah kami betul-betul depan surau. Kurang dari 60 meter.

Saya rindukan suasana rumah yang penuh dengan suara ketegasan abah menegur itu dan ini. Saya rindukan renungan matanya yang tajam setiap kali kami adik beradik membuat kesalahan. Saya teringat permintaanya yang selalu hendak makan gulai kari kepada mak. Saya rindu nak buatkan air 'teh o' yang menjadi kegemarannya. Paling saya rindu usikan abah yang jarang-jarang sangat kami dengar, permintaan abah agar saya belajar hingga ke PhD,keinginan abah melihat saya berjaya seperti mana harapannya.

Rumah saya kecil sahaja, namun kehdairan abah menjadikan saya dan adik beradik yang lain merasakan abah cuba menjadikan rumah sebagai 'Madrasah' mendidik jiwa kami agar patuh pada Islam, tidak takutkan sesiapa melainkan Allah. Rumah yang penghuninya taat pada agama, tidak membuat maksiat, mengerjakan solat, menutup aurat, rumah yang hidup dengan bacaan al-Qur'an. Abah...saya amat rindukannya.

Malam selepas terawih yang pertama, saya menangis...nangis diam-diam...ntah pada siapa saya hendak mengadu, akhirnya saya tahu, menangis dan berdoa kepada Allah lebih baik dari mengeluh dihadapan manusia. Saya berdoa agar Abah ditempatkan dikalangan orang beriman.Al Fatihah.

Friday, August 14, 2009

KEMATIAN ITU PASTI

Saya memohon maaf, kesibukan yang teramat beberapa minggu ini. Malah saya ditimpa sakit dan bercuti sehingga lima hari. Lelah, batuk dan demam. Kasihan Mr A yang bersusah payah menjaga saya ketika sakit. Sesungguhnya ujian seperti ini, pasti meningkatkan lagi kasih sayang kami suami isteri.

Sejak saya kehilangan Abah pada 7 Mei yang lalu, di pejabat seolah-olah ianya menjadi satu ujian..seorang demi seorang kehilangan orang yang mereka sayang. Beberapa sahabat kehilangan ayah dan ibu. Sedih...saya turut menangis sebak bila mendapat berita seperti ini.

Semalam pula, kita dimaklumkan kehilangan Ustaz Asri dari kumpulan Rabbani. Benarlah, kematian itu pasti. Ianya adalah iktibar untuk yang masih hidup, bukan untuk yang telah pergi.

Masih banyak bekalan yang perlu saya siapkan. Dalam diri yang bergelar hamba ini,
saya masih merasakan kerdilnya saya dan amal kebaikkan yang saya telah lakukan.

Ya Allah, Aku memohon keampunanMu.

Monday, July 27, 2009

sibuk

Saya teramat sibuk, langsung tak sempat nak update blog ini.
Insya Allah, saya akan update kelak.

Monday, July 13, 2009

BUKU-BUKU USRAH ALLAHYARHAM ABAH

Ahad baru-baru ini, saya dan Mr A pulang ke rumah mak di KL. Sempat kami meyelongkar almari buku abah di ruang tamu. Banyak sungguh kitab-kitab abah, ada yang sudah kekuningan. Mak memberikan kami beberapa buah buku abah. BUku-buku ini rata-ratanya abah beli sekitar tahun 1986-1988.

Sebak juga apabila melihat tulisan abah di buku-buku tu. Nampak benar kesungguhan abah dalam belajar dan mendalami ilmu agama. Buku-buku ini kebanyakkan abah guna semasa berusrah di rumah bersama rakan-rakan baiknya. Saya masih ingat, abah akan memasang tabir yang memisahkan ruang tamu dan ruang kami menonton TV di belakang. Kami tidak dibenarkan sama sekali menonton TV. Adakalnya saya dan adik yang nakal memasang TV tanpa memasang suara. Jika abah berjaya mengesannya, siaplah. Abah pasti akan membulatkan matanya.Itu sudah menyebabkan kami ketakutan.

Mr A ternyata sangat berminat dengan buku-buku lama ini yang kebanyakkanya sudah sukar untuk di cari pada zaman ini. Antara buku abah yang kami bawa pulang ke rumah adalah:

-Pengertian Tauhid Oleh Dr. Yusuf Al-Qardawi
-Golongan yang Gugur di sepanjang jalan Dakwah oleh Dr. Fathi Yakan
-Usrah dan Da'wah oleh Hassan Al Banna
-Sistem Pendidikan Ikhwanul Muslimin Oleh Dr. Yusuf Al-Qardawi
-Usul 20 oleh Hasan Al Banna
-Pesanan dan Peringatan oleh Mustafa Masyhur
-Sepuluh Wasiat oleh Hasan Al Banna
-Petunjuk Sepanjang Jalan oleh Syed Qutb
-Riawayat Hidup Hasan Al Banna
-Suka duka Gerakan Islam dunia Arab oleh Maryam Jameelah

Semoga dengan buku-buku ini yang kami guna, dapat memanjangkan lagi sedekah kami kepada Abah di sana. AL Fatihah.

Saturday, July 11, 2009

TANGGUNGJAWAB YANG SEMAKIN BERTAMBAH

Sejak pelajar-pelajar baru danlama mula melapor diri, kesibukkan semakin menjadi-jadi.
Sebelum ini saya ke fakulti untuk menyampaikan ceramah berkaitan Transition to University. Bagaimana menyesuaikan diri di universiti yang ternyata berbeza dengan alam persekolahan, malah adalah berbeza dengan tempat matrikulasi atau diploma sebelum ini.

Bagi pelajar baru, perkara seperti ini ternyata menjadikan mereka bertambah risau. Ayah dan ibu jauh di mata, malah semua urusan perlu dibuat sendiri. Bagi yang berjiwa waja, alahamdulillah. Bagi yang masih memegang title "Anak manja" mereka perlu cepat menyesuaikan diri.

Saya mendoakan mereka semua sentiasa diberi kekuatan menghadapi cabaran hari mendatang.

Thursday, July 2, 2009

KEMBALI SIBUK




Sejak para pelajar baru mula melapor diri pada Sabtu lalu, kesibukkan kembali mengisi ruang-ruang masa yang ada. Bukan maksudnya sebelum ini tidak sibuk, tetapi masih ada masa untuk berehat dan berfikir-fikir dengan senang hati. Namun tidak minggu-minggu yang mendatang ini! Di tambah pula handphone saya asyik meragam, bila orang call mereka tak dengar suara saya, saya pula tak dengar suara mereka, ada sms yang tak diterima oleh kawan-kawan dan sebagainya.

Mesyuarat semalam menambahkan lagi sesak di rongga hidung...tuntutan tugas dan kehendak pihak atasan semakin menjadi-jadi. Aduhai...penat bila mendengar senarai tugas yang perlu dibuat di setiap fakulti yang dipertanggungjawabkan. Malah kali ini mahu disertakan dengan 'outcome' selepas tamat program. Aduhai..dengan keadaan fizikal pejabat yang masih belum berpindah ke tempat asal yang dibaik pulih, terlalu besar cabaran yang menunggu.Rasanya semester ini saya akan berada di pejabat sampai malam sepeti tahun-tahun yang lalu apabila pelbagai program sudah mula beroperasi kembali.

Saya pula diamanahkan 2 fakulti dan 3 program...pelik juga, kenapalah saya selalu mendapat 'extrajob' berbanding orang lain. Kalau untuk menyedapkan hati sendiri pasti saya akan terfikir saya ni jenis yang rajin dan komited. Tapi kalau nak fikirkan yang negatif....mulalah maca-macam main dalam kepala ni...kesudahannya saya kepenatan bila sampai ke rumah, seluruh tenaga sudah 'all out' semasa di pejabat. Penat mengejar Dekan di fakulti untuk penerangan program yang bakal dilaksanakan....adooiii....susahnyaa..Saya menumpang ihsan rakan-rakan untuk ke fakulti kerana tiada kenderaan (maklumlah kereta sebiji sahaja, Mr A bawa ke sekolah).

Rasa banyaknya tugas dan tak mampu dipikul...dengan pelajar yang datang secara 'walk in' untuk consultation, permintaan dan jemputan memberi ceramah dari pihak luar, rasanya mahu saya lelah bebarapa kali tahun ini. Namun bila mengingatkan para pelajar yang tidak berdosa yang datang dengan harapan saya pujuk-pujuk hati. Sekurang-kurangnya saya ada kerja berbanding mereka yang mengganggur atau dibuang kerja. Jadi apa lagi? KERJA SAHAJA!!

Semoga Allah memudahkan urusan saya dan rakan-rakan dalam menghadapi kerenah pelajar dan cabaran disekeliling kami. Amin!

Saturday, June 27, 2009

BERUBAH




Semalam saya tukarkan blog ini dari Rumah Manis kepada Insan Yang Berjiwa Hamba (IYBH). Pertukaran ini dibuat bagi memenuhi hasrat agar blog ini dapat memberi sesuatu yang baik kepada orang lain. Mendengar temubual di Ikim petang semalam (Jumaat, 26 Jun 2009) bersama penulis novel Ayat-Ayat Cinta iatu Habiburrahman El Shirazy yang melontarkan kata-kata "sebaik-baik manusia adalah mereka yang bermanfaat kepada orang lain" saya merasakan betapa besarnya tanggungjawab bagi setiap orang Muslim dan diri saya sendiri khususnya.

Semoga blog ini mampu dimanfaatkan oleh orang lain. Yang baik itu dari Allah, Segala kekurangan adalah dari kelamahan saya sendiri. Semoga dipermudahkan segala urusan kita di muka bumi ini. Insya Allah.

Thursday, June 25, 2009

Tafsir Mimpi Menurut Tradisi Islam



Buku karangan Muhammad Ibnu Sirin ini saya beli ketika di MPH Jusco petang tadi. Sebelum ini saya pernah mencarinya, namun tidak menepati seperti yang saya inginkan. Kebetulan semasa membeli buku ini,ia hanya tinggal sebuah sahaja, meskipun kulit belakangnya sudah 'kemek' saya membelinya juga memandangkan isinya tidak terjejas.

Mr A nampak macam tak berapa setuju apabila saya mahu membeli buku ini. Mungkin dia fikir saya akan terpengaruh setiap kali bermimpi di malam hari.

Agak sinis juga pendapat beliau,namun lekas-lekas saya menyatakan itu sekadar rujukan dalam berhadapan pelbagai kerenah klien dan individu yang bertemu saya dengan 1001 masalah mereka setiap hari.

Lagipun dalam buku ini sudah diterangkan "Mimpi yang benar merupakan satu bahagian dari empat puluh enam cabang kenabian". ada mimpi yang berasal dari syaitan dengan demikian menyesatkan.

Semoga buku ini meningkatkan ilmu saya dan tidak menjadikan saya lalai dan alpa. Semoga Allah mengampunkan saya.

BERBANGGAKAH ANDA MERAIKAN HARI BAPA?


**Artikel ini di ambil dari Harakah online, Khamis 25 Jun 2009




Apabila menatap akhbar, sedarlah penulis, Ahad, 21 Jun ini adalah Hari Bapa. Penulis pun membaca beberapa kisah anak dan bapa. Ada sebuah rencana, disertakan gambar seorang bapa dipeluk dua anak gadisnya sekali gus. Kedua-duanya tidak bertudung, berpakaian santai.


Ada rencana pula memberitahu apa hadiah yang boleh diberi kepada si bapa, umpamanya meraikannya dengan majlis makan tengah hari dan menghadiahkannya gajet seperti telefon bimbit, komputer riba dan kamera. Malah ada pihak kreatif mengkomersialkan Hari Bapa menawarkan sandwic dan pelbagai juadah lain di restoran mereka.

Sebuah rencana bermula dengan ayat, 'Kasih ibu bawa ke syurga, kasih bapa tiada penghujungnya'. Membaca ungkapan ini, melayanglah ingatan penulis akan tazkirah sebelum Jumaat dan khutbah di masjid ketika solat Jumaat hari ini (19 Jun). Kedua-dua majlis ini memperkatakan perkara yang sama - Hari Bapa - dengan penceramah menekankan akan tanggungjawab bapa kepada anak manakala khatib membawa persoalan solat.

Kata penceramah, anak adalah harta (aset) paling bernilai bagi seorang bapa. Ada sebuah hadis menyebut apabila mati seseorang anak Adam (manusia) maka ada tiga perkara yang masih boleh memberi manfaat kepadanya.

Pertama adalah sedekah jariah; kedua ilmu yang bermanfaat dan ketiga anak soleh yang mendoakan orang tuanya. Penceramah berhujah, adakah anak yang kita kasihi sekarang ini, akan mendatangkan manfaat kepada kita apabila kita berada di alam kubur (barzakh) dan alam seterusnya?

Muhasabah (koreksi)lah diri, apakah benar kita sudah menyediakan anak-anak untuk memikul amanah yang berat itu? Sebagai permulaan, eloklah ditanya soalan ini.

Apakah nanti apabila aku mati, anak-anak itu dapat menguruskan jenazahku iaitu memandi, mengkafan, menyembahyang dan menguburkan diriku? Atau adakah mereka akan duduk jauh-jauh, bersembang-sembang di bawah rimbunan pokok di halaman rumah dan menyerahkan semua urusan menyempurnakan aku kepada tok bilal, pak imam dan sebagainya?

Anak yang dapat menolong kita adalah anak-anak yang soleh. Namun semasa hidup ini adakah kita sudah menyediakan anak-anak kita untuk menjadi orang soleh dan solehah?

Tataplah muka surat akhbar yang mengkisahkan si anak dan bapa; jarang benar ditemui si bapa yang meluahkan kebimbangannya akan perangai si anak; hampir semuanya nampak ceria saja, antara lain menunjukkan si bapa bangga bergambar di sisi si anak yang tidak menutup aurat dengan sempurna, atau si anak menjadi seorang artis berjaya.

Adalah biasa untuk kita temui sebuah keluarga, si bapa berkopiah haji, si ibu bertudung litup tetapi si anak daranya selama saja berjeans ketat dan berbaju pendek. Terlalu biasa melihat remaja bertudung, tetapi mendedahkan lengan dan bentuk badannya dengan pakaian terlalu ketat. Adakah pak haji dan mak aji ini fikir dia saja nak masuk syurga; anak-anak lantak kau oranglah.

Ini antara penampilan luaran, yang dapat disaksikan umum, tetapi bagaimana bab lain seperti penyempurnaan Rukun Islam seperti bab sembahyang? Perkara inilah ditekankan oleh khatib dalam khutbah Jumaatnya.

Sebagai bapa yang diraikan sempena Hari Bapa, apakah sudah dibereskan tugas bapa yang wajib memastikan seluruh ahli keluarganya menunaikan solat? Usahlah ketawa tersengih-sengih bergambar dengan si anak, berbangga sudah membesarkan mereka menjadi penyanyi, pelakon, pramugari, guru, jurutera dan profesion hebat-hebat lain, tetapi persoalan menyempurnakan Rukun Islam seperti solat tidak beres?

Perlu disedari betapa banyak orang sekarang sudah meninggalkan solat lima waktu. Secara automatik anak yang tidak solat terkeluar daripada senarai anak soleh. Jadi apakah yang kita boleh harapkan daripada mereka? Adakah kita bangga jika mereka menitipkan wang RM100 atau RM200 sebulan kepada kita sebagai mengenang jasa kita sebagai seorang ayah sedangkan mereka tidak sembahyang?

Inilah kerunsingan yang perlu kita fikirkan sempena Hari Bapa ini. Runsing akan masa depan anak-anak aku ini, bolehkah mereka menjadi anak soleh yang akan mendoakan aku apabila aku masuk dalam kubur nanti. Bukanlah pada Hari Bapa ini kita kita disibukkan oleh runsing aku nak dapat hadiah apa, aku nak dibawa ke restoran mana atau aku akan dikelilingi anak-anak dara aku sedangkan mereka gemar mendedahkan aurat mereka dan tak sembahyang pun!

Bertanyalah secara jujur, berjayakah atau sudah berusaha keraskah kita mendidik anak-anak kita menjadi insan soleh? Tentunya, kita akan berasa malu, kita gagal menjadi seorang bapa yang baik, yang mengikuti perintah Allah SWT sepenuhnya. Kepada-Nya kita mohon keampunan, bertaubat bersungguh-sungguh kerana gagal menjadi bapa yang baik sebagai dikehendaki-Nya.

Selain seorang bapa, kita sebenarnya adalah juga seorang anak. Adakah kita seorang anak yang termasuk dalam golongan soleh yang dapat menolong orang tua kita di alam ini atau di alam sana?

Akuilah kita gagal menjadi seorang anak yang baik dan juga seorang bapa yang baik. Kepada-Nya kita mengadu, Ya Allah, Kau ampunilah dosa-dosaku, kedua ibu bapaku, datuk moyang dan zuriat-zuriat kami dan sekalian Muslimin dan Musliman kerana kegagalan kami menjadi anak dan bapa yang baik sebagaimana kehendak-Mu.

Kerana gagal menjadi bapa dan anak yang baik, apakah kita rela tersengih-sengih menyambut Hari Bapa ciptaan Barat itu, apatah lagi dengan menghadiri majlis yang menambahkan koleksi maksiat dan dosa kita kepada-Nya?

Fikir-fikirkan.

Wednesday, June 24, 2009

ZAINAB AL GHAZALI

Permata Dakwah Yang Berkilau Di Era Jatuhnya Islam

Zainab al-Ghazali bukanlah seperti wanita biasa. Seperti Aisha Abdul Rahman, beliau merupakan rakyat Mesir dan mempertahankan hak-hak wanita Islam berdasarkan apa yang diyakini beliau sebagai fahaman Islam yang betul. Beliau dilahirkan di Al-Bihira pada tahun 1917 di dalam keluarga yang terhormat, keturunan Umar al-Khattab dan al-Hasan bin Ali bin Abi Talib. Ayah beliau juga merupakan lulusan al-Azhar. Beliau lebih terkedepan sebagai pejuang dan aktivis Islam daripada seorang yang ulama’. Sewaktu mudanya, beliau aktif dalam pergerakan feminis, dan menyertai Kesatuan Wanita Mesir (Egyptian Feminist Union) yang diasaskan oleh Huda as-Syarawi pada tahun 1923. Beliau telah keluar daripada persatuan itu disebabkan tidak bersetuju dengan idea dan landasan perjuangan gerakan pembebasan wanita. Pada umur 18 tahun
(1936), beliau mengasaskan Persatuan Wanita Islam untuk menguruskan hal-ehwal dan akitiviti-aktiviti wanita berlandaskan ajaran Islam dan tujuan ke arah Islam.

Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Hasan al-Banna pada 1928 mempunyai perancangan untuk mengasaskan sayap wanita di dalam pertubuhannya. Hasan al-Banna telah meminta beliau untuk mengetuai bahagian wanita dalam Ikhwan Muslimin. Beliau dan persatuannya menolak tawaran ini tetapi menyatakan persetujuan untuk memberikan kerjasama. Setelah Ikhwan Muslimin dibubarkan pada tahun 1948, Zaynab al-Ghazali telah berbaiah kepada Hasan al-Banna pada tahun 1949 untuk menyokongnya dan bersama memperjuangkan sebuah daulah Islam. Malangnya Hasan al-Banna telah gugur syahid tidak lama setelah itu. Kesedihan hati Zaynab telah tercoret dalam bukunya yang masyhur, Hari-hari Dalam Hidupku. Beliau menyambung perjuangan dan mengotakan baiahnya kepada pemimpin Ikhwan Muslimin yang menggantikan Hasan al-Banna iaitu Hasan al-Hudhaibi. Beliau menyertai dan bersama dengan ahli Ikhwan Muslimin terutama apabila Ikhwan Muslimin diharamkan dan mereka terpaksa bergerak secara rahsia di bawah pemerintahan Jamal Abdul Naser sekitar tahun 1950-1960an.Dalam satu temuramah dirumahnya di Heliopolis, Mesir pada tahun 1981, Zainab al-Ghazali berkata:


“Islam telah menyediakan segala-galanya untuk lelaki dan perempuan. Islam memberikan wanita semuanya-kebebasan,hak ekonomi,hak politik,hak social, hak awam dan juga hak persendirian. Islam telah memberikan hak-hak wanita di dalam keluarga lebih daripada persatuan dan agama lain. Wanita boleh berkata tentang kebebasan wanita dalam masyarakat Kristian,Yahudi dan juga masyarakat pagan, tetapi dalam masyarakat Islam adalah satu kesilapan besar untuk berkata tentang kebebasan wanita. Wanita Muslim perlu mempelajari Islam supaya mereka tahu Islam telah memberikan mereka semua hak-hak mereka.”


Inilah intipati pemikiran Zainab al-Ghazali berkenaan dengan status wanita seperti yang selalu diluahkan dan disampaikan beliau dalam ceramah-ceramah beliau dan juga karya-karya beliau di dalam majalah al-Da’wa, dimana beliau merupakan editor sebuah ruangan untuk pembangunan rumah tangga Muslim yang sebenar. Perkara utama dalam perjuangan beliau adalah pentarbiyahan, iaitu untuk memberi kefahaman Islam di dalam pemikiran wanita, mendidik mereka tentang hak-hak dan tanggungjawab mereka dan mengubah masyarakat untuk membina sebuah daulah Islamiah yang berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw.


Zainab al-Ghazali meyakini bahawa Islam membenarkan wanita untuk bergiat aktif dalam hal social, memegang jawatan, memasuki politik dan juga memberi pendapat. Beliau percaya Islam membenarkan wanita memiliki harta, menguruskan perniagaan dan apa sahaja yang mereka mahu dalam perkhidmatan masyarakat Islam. Beliau berpendapat tugas utama wanita Muslimah ialah menjadi ibu dan isteri. Oleh itu, tiada tanggungjawab lain yang boleh mengatasi tanggungjawab ini. Jika wanita itu mempunyai masa luang untuk menyertai aktiviti kemasyarakatan setelah tugasnya sebagai ibu dan isteri telah dipenuhi, maka dia boleh berbuat demikian kerana Islam tidak melarang perbuatan tersebut.


Zainab al-Ghazali sangat meyakini tanggungjawab agama dan social apabila berkahwin. Pada perkahwinan beliau yang pertama, suami beliau tidak bersetuju untuk membenarkan beliau bergiat aktif dalam perjuangan Islam. Dengan sebab itu, beliau telah meminta cerai daripada suaminya kerana pra-syarat yang diletakkan oleh beliau sebelum berkahwin adalah membenarkan beliau memperjuangkan Islam. Suami beliau yang kedua memahami semangat dan gagasan perjuangan beliau dan melibatkan diri dalam penulisan untuk menyokong beliau dan sama sekali tidak menghalang beliau dari perjuangan. Didalam buku ‘Hari-hari dalam Hidupku’ (Ayyam min Hayati) beliau mengisahkan bagaimana suami beliau walaupun sangat bimbang akan diri beliau tetapi terus menerus menyokong perjuangan suci beliau. Zainab al-Ghazali juga menekankan beliau tidak akan mengabaikan tanggungjawab kepada suami dan keluarga beliau walaupun beliau Amirah sayap wanita Ikhwan Muslimin. Tanggungjawab beliau yang berat itu menyebabkan beliau perlu bekerja pada waktu yang panjang di pejabat beliau dan aktiviti bersama Ikhwan Muslimin. Setelah kematian suaminya yang kedua, beliau masih di dalam penjara. Beliau merasakan tanggungjawabnya terhadap perkahwinan telah selesai dan beliau bebas untuk mengorbankan seluruh masanya untuk perjuangan Islam.


Sebagaimana pejuang-pejuang Islam yang lain, beliau juga kecewa dengan revolusi Mesir 1952 yang didokong mereka pada mulanya dan akhirnya pejuang Islam telah dikhianati oleh Jamal Abdul Naser. Zainab al-Ghazali menyatakan bahawa rejim Jamal Abdul Naser adalah musuh kepada Islam. Setelah beberapa tokoh Ikhwanul Muslimin ditangkap dan dihukum mati dan ramai dipenjara, beliau mendahului pergerakan untuk menolong isteri, janda dan keluarga pejuang yang telah dibunuh dan dipenjarakan. Walaupun dipenjara, beliau meningkatkan usaha tarbiyyah secara rahsia diketuai oleh pimpinan Ikhwan Muslimin. Dalam tahun 1962, beliau dapat berhubung dengan Sayyid Qutb melalui dua orang adik Sayyid Qutb dan menerima tulisan beliau berkenaan perjuangan Islam dan tafsir al-Quran dan hadith serta syariah Islam. Beliau juga menerima sebahagian dari buku yang dikarang oleh Sayyid Qutb dalam penjara yang kemudian diterbitkan dengan judul Ma’alim Fit-Tariq (Petunjuk Sepanjang Jalan).


Tulisan dan petunjuk daripada Sayyid Qutb di dalam penjara dan juga ayat-ayat al-Quran akan dipelajari dalam satu kumpulan terdiri daripada lima hingga sepuluh pemuda yang berjumpa pada waktu malam di rumah Zainab ataupun tempat lain. Perbincangan, pandangan dan pendapat diutarakan di dalam pertemuan tersebut. Dengan persetujuan Sayyid Qutb dan pimpinan Ikhwan Muslimin, keputusan untuk menjalankan program tarbiyyah selama 13 tahun sepertimana zaman Rasulullah saw di era Mekah. Apabila tempoh ini berakhir, maka studi dan kajian akan dibuat adakah sekurangnya 75% daripada rakyat Mesir sudah yakin dengan keperluan adanya daulah Islam dan membangunkannya. Jika ianya terjadi maka gerak kerja menubuhkan daulah Islam akan dilakukan dan jika belum lagi mencapai tahap tersebut, program pentarbiyahan akan dilakukan semula selama 13 tahun lagi sehingga sehingga rakyat bersedia untuk membina daulah Islam, menerima pakai undang-undang syariah Islam dan menegakkan hukum Islam berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw.


Apabila kerajaan Mesir berasa curiga dengan perkumpulan rahsia dan matlamat mereka ini, Ikhwan Muslimin diserbu pada tahun 1965. Ikhwah dan akhawat pergerakan Ikhwan Muslimin semuanya ditangkap dan dipenjarakan. Zainab al-Ghazali adalah salah seorang daripada mereka. Jemaah wanita Ikhwan Muslimin dibubarkan. Beliau dibicarakan bersama sahabiah yang lainnya pada tahun 1966 dan dihukum penjara seumur hidup dengan kerja berat. Satu hukuman yang tidak masuk akal bagi seorang wanita. Namun pada tahun 1971 beliau telah dibebaskan apabila kematian Jamal Abdul Nasir dan Anwar Sadat mengambil alih tampuk pemerintahan. Setelah itu, beliau terus sahaja meneruskan perjuangan beliau tanpa mengenal penat lelah dalam mendaulatkan Islam dibumi Mesir.


Beliau merupakan wanita yang terkemuka setelah jatuhnya khilafah Islamiah di Mesir. Beliau tidak mempunyai anak dan segalanya hidupnya diserahkan kepada perjuangan Islam. Beliau juga menjadi sanjungan dan pendorong kepada perjuangan wanita di seluruh dunia. Beliau dihormati oleh kawan dan lawan, malah disegani oleh tokoh-tokoh ulama’ kerana perjuangannya yang luar biasa.


Zainab al-Ghazali kembali ke rahmatullah pada hari Rabu 3 Ogos 2005 di kala umur beliau 88 tahun. Ternyata umur yang panjang yang dianugerahkan Allah pada beliau telah digunakan tanpa sia-sia sedikitpun, semuanya dikorbankan demi menegakkan agama Allah yang mulia. Beliau terus menjadi idola dakwah kepada pejuang-pejuang Islam di seluruh dunia. Beliau juga menjadi bukti kukuh bahawa sebenarnya Islam mampu membina wanita yang berjuang untuk Islam. Sejarah hidup beliau persis hidup srikandi di teratak Rasulullah saw. Jadi tidaklah salah jika kita menggelarnya sebagai Ummul Mujahidah pada masa kini. Moga Allah mencucuri rahmat yang melimpah ruah kepada beliau dan menjadikan beliau di kalangan para siddiqin,amilin dan mujahidin.

RAMADHAN YANG SEMAKIN HAMPIR



Hari ini hari pertama dalam bulan Rejab...sudah hampir benar Ramadhan. Hati semakin resah, adakah tahun ini saya masih lagi berpeluang bertemu Ramadhan?

Tuesday, June 23, 2009

PEPERIKSAAN PTK



PTK, isu yang tidak pernah selesai. Saya baru sahaja habis menghadapi peperiksaan tersebut pagi tadi. Pengalaman pertama..bak kata seorang kawan, 'test power' ajer.

Sepanjang di dewan, saya perhatikan ramai calon yang lebih senior. Ada di antara mereka yang sudah beruban, sedangkan saya juga mengenali beberapa calon yang senior. Mereka ini boleh dikategorikan sebagai rajin, komited pada tugas dan pernah mendapat anugerah pekerja cemerlang pada setiap bulan, namun apabila berada di dewan peperiksaan saya mendengar rungutan-rungutan mereka.

Sudah pastilah dalam usia mereka separuh abad mereka sudah tidak mampu untuk menghafal pelbagai tajuk yang perlu. Kadangkala pelik saya dibuatnya. Teori dan amalan kadang kala menyimpang apabila kita bekerja. Saya mendengar rungutan-rungutan mereka sebelum masuk ke dewan. Ada yang sudah mengambil sebanyak 4 kali.

Adakah jika gagal menjawab maka mereka gagal dalam menjalankan tugas? adakah mereka tidak cemerlang? Saya yakin, yang berada dekat dengan saya semalam dan hari ini adalah pekerja yang rajin dan amanah. Kesungguhan mereka untuk mengambil PTK patut dipuji biarpun apa juga keputusan yang akan keluar kelak. Sewajarnya kerajaan mengkaji PTK ini agar ianya tidak menganiayai beberapa golongan yang sebenarnya telah mencurah bakti dan keringat pada organisasi.

Wednesday, June 17, 2009

USRAH




Semasa belajar di Kolej dahulu, saya antara yang sering mendapat tempat dalam jemputan oleh para pensyarah bagi mengikuti program usrah, daurah, mukhayam dan Rehlah. Mungkin rezeki yang Allah berikan iaitu saya memperolehi keputusan yang cemerlang setiap semester menjadikan saya antara yang 'glamour' semasa di kolej dahulu (bukan saya kata, tapi kawan-kawan kata..hehe).

Mengikuti program ketika itu sangat manis...penat belajar belum hilang sudah diusung oleh ustazah ke merata tempat sekitar Kelantan untuk pelbagai program. Rasa masa yang berlalu tidak sia-sia dengan nikmat dunia yang tidak pernah habis.

Dalam cuti 3 hari ini, saya menyelongkar almari buku, terjumpa beberapa ringkasan buku semasa di gunakan dalam usrah antaranya Wahai Pemuda, Usul 20 oleh Imam Al Syaheed Hassan Al Banna.

Buku-buku ini menjadi satu kemestian selain buku-buku akademik yang penuh di meja belajar ketika itu. Kini apabila semakin jauh dari masa, saya perlu membaca kembali buku-buku ini. Lumrah manusia untuk sering diingatkan.

Dulu semasa zaman belajar ada seorang ustaz selalu mengusik saya katanya 'cari akhi yang sekapal, senang'.. saya sengih2 kerang masa tuee. Maklumlah dengan tok guru masakan saya nak melawan. Maklumlah ketika itu ada beberapa akhi dalam grop yang mula merisik-risik untuk taaruf. Ada benarnya. Dalam islam ditekankan beberapa perkara sebelum memilih jodoh.

Saya ingat lagi kata-kata ustaz dalam kuliah suatu hari, untuk membina Watan Islam (tanahair) iainya perlu dimulakan dengan individu Muslim>Rumah tangga Muslim> Ummat Muslim>Kerajaan Islam> Watan Islam> Menawan kembali kerajaan ISlam yang dirampas> Menjadi pemerintah dunia.

Betapa bergeliganya minda Hassan Al Banna dalam membuat kupusan ini. Ini anugerah yang Allah berikan kepadaNya.

Saya kini dalam fasa Membina Rumah tangga Muslim, mendapat Mr A sebagai suami seolah-olah melengkapkan apa yang pernah ustaz katakan dahulu. Namun kami perlu sentiasa meningkatkan kualiti diri dan orang yang paling hampir dengan kami iaitu keluarga sendiri. Meskipun belum dikurniakan zuriat, saya berdoa dan berharap agar wasilah dari perkahwinan ini dapat menyumbang kepada zuriat yang akan meneruskan perjuangan menegakkan 'daulah islamiyyah' di tanah air yang tercinta ini. Insya Allah.

SEHARI BERMUSAFIR




Sabtu yang lalu, saya, suami, abang dan isteri serta anaknya menemani mak ke Utara tanah air. Kami ke Kulim untuk menziarahi Allayarham Tuk Aki yang merupakan ayah tiri mak. Mak sebenarnya mahu pergi sejak minggu lalu, namun disebabkan beliau masih dalam 'iddah' dan kami sendiri tidak mendapat cuti, maka hasrat itu ditangguhkan. Mak kata walaupun mak sudah tua, hukum tetap hukum, wanita yang kematian suami mesti menjaga dirinya dengan baik dalam tempoh ini. Saya sangat memahami mak dan tahu sesetengah perkara pasti mengundang fitnah. Seboleh mungkin kami adik beradik tidak mahu mak dilukai.

Kami bertolak dari KL jam 6.30 pagi. Dalam gelap kami membelah dini pagi. Udara terasa nyaman. Dengan keletah anak saudara, ianya dirasakan cukup menghiburkan. Allah menguji kami dengan sedikit masalah dengan kenderaan yang dinaiki. Namun segalanya dapat di atasi dengan baik.

Rasa sayu apabila kami mula melalui jalan-jalan yang pernah kami lalui dengan Abah semasa kecil-kecil dulu apabila mahu pulang ke Kampung di Gunung Semanggol. Melalui sawah padi yang menghijau, pipi terasa panas..rupanya air mata gugur di sini. Kali ini kami datang, namun hanyalah kami...abah sudah tiada lagi.

Selepas menziarahi pusara tuk aki di Kulim, kami meneruskan perjalanan ke Bayan Baru untuk menziarahi Mak Lang yang merupakan kakak mak. Sudah lama benar tidak bertemu. Mak berbual dengan mak lang, manakala saya memasang telinga mendengar ke dua beradik itu berbual.

Dalam perjalanan pulang dari Bayan Baru, mak menyatakan hasrat untuk menziarahi sahabat baik abah iaitu Pakcik Latif di Gunung Semanggol. Kami menunaikan hasrat mak, kawasan rumah pakcik Latif sngat cantik,dikelilingi sawah padi dan terusan, dahulu ketika kami datang semasa kecil depan rumahnya ada tali air yang kecil...kami boleh melujurkan kaki dan merasakan kesejukkan air dari Gunung. Sejuk...kali ini kami datang, rupanya pakcik Latif baru lepas mengadakan kenduri perkahwinan anak lelakinya. Kami dijamu nasi minyak dan pakcik Latif berbual dengan mak dan abang. Inilah satu-satunya kawan baik abah yang selalu abah ingat sekiranya dia pulang ke kampung. Pulang dari rumah pakcik Latif, kami menziarahi Tok Ndak di Gunung Semanggol yang merupakan mak saudara abah.

Gunung Semanggol sudah tentu memberi pelbagai nostalgia pada arwah abah dan abang. Abang dulu di hantar belajar oleh Abah di sana untuk merealisasikan impiannya.Maahad Al Ehya Assharif merupakan warisan keluarga abah.Arghh..masih banyak yang hendak di taip, tapi apabila saya berpeluang tentu saya akan berkongsi lagi nostalgia ini.


Tuesday, June 9, 2009

10 Wasiat Hassan Al Banna

10 Wasiat Hassan Al-Banna:

1. Apabila mendengar azan, segeralah mendirikan solat walau dalam keadaan apa sekalipun.

2. Bacalah Al-Quran, tatapilah buku-buku, pergilah mendengar perkara yang baik, amalkanlah zikrullah, dan janganlah sama sekali membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah.

3. Berusahalah sedaya upaya untuk bertutur dalam bahasa Arab yang betul kerana bahasa Arab yang betul itu, adalah satu-satunya syiar Islam.

4. Janganlah banyak bertengkar kerana pertengkaran kosong tidak mendatangkan kebaikan.

5. Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6. Janganlah bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.

7. Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang diperlukan oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring adalah resmi yang sia-sia dan boleh menyakiti hati orang.

8. Jauhilah daripada mengumpat peribadi orang dan janganlah bercakap melainkan apa-apa yang boleh memberi kebajikan.

9. Berkenal-kenalanlah dengan setiap umat Islam yang ditemui..asas gerakan dakwah kita ialah kasih sayang dan berkenal-kenalan.

10. Kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada; oleh itu, tolonglah saudaramu agar mereka dapat menggunakan masa dengan berfaedah; dan jika anda mempunyai tugas sendiri; ringkaskanlah pelaksanaannya.

BUAH ADAM




Semasa pulang ke rumah mak baru-baru ini, mak menghulurkan sampul surat bewarna kuning cair kepada saya. Rupanya mak mengirim buah Adam (sesetengah orang panggil buah Zuriat) dari rakannya yang pergi umrah baru-baru ini. Terdapat 2 biji buah ini dalam sampul itu beserta kaedah memakannya yang ditulis oleh orang yangmembelinya itu (saya rasa, semoga Allah membalas niat baiknnya ini).

Manurut kisahnya, buah ini dapat menolong dalam usaha mendapatkan zuriat. Sejauh mana kebenarannya saya sendiri tidak tahu. Ada penjual di Mekah memberitahu isteri Nabi Adam iaitu Hawa selepas memakan buah ini barulah hamil. Walahualam. Saya takut jika saya menokok tambah cerita ini dan saya lagi takut mengada-adakan sesuatu yang tiadak ada dalam al-Qur'an .

Mak berkata pada saya, 'usahalah' tapi jangan percaya buah ini yang akan buat saya memperolehi zuriat. Saya akur. Saya berikan sebiji kepada seorang sahabat yang senasib dengan saya. Pada waktu ini, Allah mengji saya jika saya mahu menjadi orang yang tamak dan tidak mahu berkongsi dengan orang lain. Namun bagi saya, jika tiada rezeki saya, apa salahnya saya berikan rezeki ini yang mungkin adalah hak rakan saya juga. Jika beliau hamil, alhamdulillah, saya tumpang gembira dan mendapat pahala atas pengorbanan ini. Betapa peritnya menunggu zuriat yang belum kunjung tiba...saya sangat memahami situasi ini. Penat lagi melayan perosalan, sindirian orang sekeliling yang asyik bertanyakan tentang anak kepada kami.

Saya tidak berputus asa kerana saya tahu bahawa rezeki Allah masih belum tiba untuk saya dan suami. Maka berdoalah...semoga doa kami dimakbulkan suatu hari nanti. Amin!

Monday, June 8, 2009

BAKAT

Semasa di sekolah dahulu, saya selalu menulis puisi. Menghantar ke majalah sekolah dengan menggunakan nama pena "Semilir". Ntah macam mana saya mendapat nama itu, cuma saya ingat saya suka membaca sehingga bertemu perkataan tersebut. Malah saya pernah ditanya di dalam kelas oleh Cikgu Yusny mengenai beberapa perkataan yang saya guna setiap kali ujian penggal dijalankan.

Malah semasa pertandingan di sekolah dahulu, saya sudi membuatkan puisi untuk seorang kawan, dia berjanji kalau menang hadiah dibahagikan. Namun apabila menang saya tidak diendahkan. Saya geram sungguh waktu itu. Saya mengadu pada mak. Mak kata pada saya " lain kali jangan letak nama orang lain". Sedihnya.

Namun semua itu tinggal kenangan, bakat yang ada saya biarkan sepi, saya cukup yakin dengan kemampuan saya menulis. Ini terbukti semasa saya meningkat dewasa, ada saja rakan merujuk kepada saya untuk menulis. Malah pencapaian ini terbukti dalam peperiksaan SPM apabila saya mendapat Anugerah Pelajar Cemerlang bagi matapelajaran Bahasa Melayu.

Kini apabila sudah mempunyai blog sendiri, saya cuba mengembalikan saat-saat itu...menulis dan terus menulis... Malah saya pernah menulis cerpen pendek namun 'tersepuk' dibawah kain-kain baju di dalam almari.

Apabila saya membaca blog Puan Ainon dari PTS saya memberitahu suami suatu hari kelak jika diizinkan Allah, saya ingin sangat mengikuti bengkel penulisan yang dikendalikan oleh Puan Ainon. Suami menyokong hasrat saya malah menggalakkan saya untuk menulis. Semoga hasrat ini menjadi kenyataan.

Saturday, June 6, 2009

RINDU





Hari ini saya sendirian di rumah. Suami, Mr A sudah keluar untuk mengikuti perkemahan selama 5 hari bersama rakan-rakannya. Rasa sunyi teramat. Rindu pun iyer juga.

Saya memanfaatkan masa dengan menyiapkan rutin sebagai isteri, mengosok baju kerja Mr. A, mengemas rumah dan semua kerja-kerja yang terbantut semasa hari biasa. Walaupun saya akan menduduki PTK, namun semangat untuk membaca buku langsung tiada. Yang dicapai oleh saya adalah buku "Jangan Bersedih" yang dikarang oleh Dr. Aidh b. Abdullah Al Qarni.

Menitis air mata tatkala membacanya..Apabila membaca bab "Ambillah Hikmah dalam Setiap Kejadian" saya sebak. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui segalanya.

Kerinduan pada Arwah Abah memuncak..jika abah masih ada saya sendiri tidak tahu bagaimanakah cara untuk menunjukkanya. Malah saya sangat kekok meskipun saya sangat sayang kepadanya. Tapi saya tahu, abah tahu saya sayangkannya.

Bukankah kalau kita sayangkan sesuatu kita mesti tunjukkan dengan perbuatan yang disukai orang itu? Abah suka kami patuh pada syariat, maka saya akan sentiasa cuba mematuhinya.

Pulang ke rumah ibu baru-baru ini, ketika bersamanya di dalam bilik, mak becerita tentang kak yang yang mimpikan abah. Mak nangis..saya tahu mak rindukan abah. Saya diam..saya katakan pada mak " insya Allah abah dapat tempat yang baik di sana". Sebenarnya saya memujuk hati sendiri. Saya masih sedih...kadang-kala ada yang tanya lagi "sedih kenapa? bukankah dah lama abah pergi?" saya jadi terkesima. Benarlah, kita tidak akan merasai selagi kita tak mengalaminya sendiri. Saya istiqfar.... Saya memohon keampunanMu ya Allah. Kerinduan pada abah memuncak. Saya doakan abah yang terbaik di sana. Al Fatihah.

Thursday, June 4, 2009

UJIAN

Saya masih menunggu rezeki yang masih belum kunjung tiba. Setiap kali mendapati saya uzur, ada sayu yang datang jauh dari hati.

Sudah 2 bulan tidak dapat berjumpa doktor kerana diberitahu doktor bercuti, kemudian bulan ini ke luar negara pulak. Malah diminta saya tunggu sehingga period pada bulan depan. Alahai...dalam hal-hal macam nie, kurangnya human touching bagi mereka yang menyampaikan berita. Sebak dan ralat teramat!

Tuesday, June 2, 2009

MIMPI SI IBU

Awal-awal pagi ini emak menelefon saya. waktu itu saya sedang bersiap-siap untuk ke tempat kerja, masih awal. Jadi saya pun melayaninya. Mak kata, dia mimpikan saya malam tadi...mimpi yang masih saya rahsiakan...dan saya aminkan dalam hati jika benar.

Arrghh...hubungan ibu dan anak tentu akrab, dekat di hati. Saya menyusu dengannya, dibesarkan dan dididik olehnya. Doa ibu pasti makbul, bukankah syurga dibawah kakinya?
Ntah bila saya dapat menikmati panggilan keramat itu...

Semoga mimpi emak, selepas solat malamnya menjadi realiti...insya Allah. Amin!

Friday, May 29, 2009

HARI BAPA



Petang tadi saya mengajak Mr A ke Jusco. Membeli hadiah untuk beliau sempena ulang tahun perkahwinan kami ke 3.

Saya lihat banyak jualan murah sempena Hari Bapa yang akan datang. Sejujurnya, semasa hayat abah saya tidak pernah meraikan hari bapa. Malah bukan budaya dalam keluarga kami meraikan hari-hari yang dianjurkan oleh bukan Islam itu.

Tapi kali ini hati saya tersentuh. Mulut saya jadi berat untuk menyebutnya...Semasa melihat orang-orang lelaki sebaya abah berjalan dengan anak-anak mereka, saya jadi sebak. Malah semasa di pejabat apabila ada rakan-rakan bercerita tentang ayah mereka saya jadi cemburu. Saya terdiam, sebak dan rasa kehilangan. Saya akui saya kelihatan biasa sahaja, namun hati saya sentiasa menangis dalam situasi yang tidak mampu saya lalui.

Semasa memberi ceramah kepada pelajar-pelajar sekolah baru-baru ini, saya sudah mula hendak sebak menceritakan pengorbanan ayah dan ibu. Sebaknya hanya tuhan yang tahu..mujurlah ketika itu ceramah sudah sampai ke penghujungnya. Manalah mungkin saya dapat melupakan abah, mendengar rakan-rakan becerita tentang ayah mereka saya menangis.

Benar, kini saya sudah tidak lagi mendengar suara abah menasihat, meminta, mengajar saya lagi. Yang tinggal kenangan bersama abah yang sentiasa subur di dalam ingatan..Al Fatihah buat abah yang tersayang.

Saturday, May 23, 2009

ABAH DAN ANAK-ANAK PEREMPUANNYA

Kami 5 beradik (2 lelaki, 3 perempuan) bukan satu angka yang besar. Semasa kecil dahulu semasa kami berhimpit-himpit di rumah kecil saya selalu membebel kenapa rumah kami kecil dan tidak banyak bilik. Namun rungutan-rungutan itu hanya bermain dalam hati sahaja.

Kini setelah dewasa, angka 5 bukanlah besar bagi saya lagi. Bayangkan ke semua kami kecuali adik lelaki bongsu masih tinggal dengan abah dan mak lagi, manakala yang lain sudah pun berkeluarga dan mempunyai rumah sendiri.

Semasa kecil dahulu, saya memerhatikan abah tidak tahu menunjukkan kasih sayangnya kepada anak-anak. Termasuk kami yang perempuan. Namun saya tahu abah sayang pada kami. Pernah sekali abah membelikan bedak jenama Avon yang sangat wangi kepada saya dan kak yang. Waktu itu saya rasa nak menangis, siap abah belikan tisu kepada kami. Saya amat teruja dan terkejut dengan pemberian abah itu. Mungkin itulah cara abah menunjukkan kasih sayangnya kepada kami. Abah tidak reti 'peluk-peluk' kami seperti dalam filem yang menonjolkan kasih sayang ayah kepada anak. Abah berdiri dalam darjahnya tersendiri, karismanya kelihatan apabila bercakap dengan kami dan orang lain.

Pelik, abah tidak sekolah tinggi, tapi tahu semua isu semasa dalam dan luar negara. Paling abah suka segmen dokumentari. Abah sangat suka bila dapat melihat binatang-binatang di tv. Kadangkala cucu-cucu abah merungut 'tok wan ni asyik tengok cerita binatang ajer'. Namun rungutan itu tidak akan kedengaran lagi selepas ini.

Melihatkan anak buah sulung saya menangis ketika abah meninggal, membuatkan saya rasa betapa bertuahnya abah kerana didikannya sampai ke cucu-cucunya. Semasa jenazah abah di letakkan di surau, cucu-cucu abah yang berusia 6 dan 7 tahun membacakan Yasin dan Al Fatihah kepadanya. Dalam pelat-pelat mereka, abah tetap mendapat pahala. Bukankan anak-anak kecil itu ahli syurga dan tidak berdosa?

Hidup bersama abah selama 29 tahun membuatkan saya merasa, singkatnya kehidupan ini. Kini tumpuan hanya untuk mak. Tiada siapa yang boleh menaggantikan abah, datanglah seberapa ramai lelaki yang bergelar datuk, intelektual, akdemik dan berharta, pasti tidak dapat menggantikan abah. Abah yang tegas..tapi jauh dihatinya sangat lembut dan sayang pada anak-anak.

Semoga Abah aman di sana...Al Fatihah.

CUTI PANJANG

Sejak kehilangan abah pada 7 Mei 2009 yang lalu, saya belum lagi memasuki pejabat. Allah menguji saya dengan sakit mata hampir 2 minggu. Namun bagi saya, ini merupakan Rahmat dan kasih sayangNya kepada saya. Masakan saya mampu berdiri di pejabat sedangkan hati saya masih pilu mengenangkan abah jauh di sana.

Saya akui, saya paling nakal dalam adik beradik. JIka kakak-kakak saya tidak pernah diroton tapi saya pernah. Saya memang nakal. Saya pernah dipukul dengan tali pinggang abah ketika kecil, saya masih ingat sampai kini. Sampai 'terkencing' dibuatnya. Itu semua gara-gara kenakalan saya.

Bila sudah dewasa, jarang sangat saya dipukul, selalunya mak atau abah hanya akan meninggikan suara pada saya. Abah akan membesarkan matanya pada saya, itu sudah cukup menakutkan saya. Jika dengan mak saya masih boleh 'main-main, tapi tidak dengan abah.

Abah banyak mencorakkan saya menjadi apa yang saya jadi kini. Ketegasan dan sikap terus terang abah mengalir dalam diri saya. Abah benci akan maksiat dikalangan orang Islam, begitu juga saya. Abah tegas dan tidak bertoleransi dengan hukum Allah. Jika kami tidak mematuhinya, siapalah nanti. Sebab itulah, saya memakai tudung sepenunhya di hadapan bukan mahram sejak darjah 6 lagi. Ke kedai, menjemur kain, membuang sampah atau tetamu datang ke rumah, saya akan berlari mencari tudung. Sesungguhnya saya bersyukur dilahirkan menjadi anak abah.

Saya tahu, abah dan mak pernah melalui zaman-zaman 'kejahilan', namun berkat usaha mereka mengaji, mengikuti usrah, sering ke surau maka banyak ilmu yang mereka dapat dan cuba praktikkan di rumah. Maka tidak hairanlah kami adik beradik menjadi pengukur pemahaman abah dan mak tentang Islam yang syumul ini. Hidayah itu perlu di cari, ia tidak akan kunjung tiba jika kita tidak menjejakinya. Abah jahil suatu ketika dulu, namun semakin kuat imannya apabila saya dan adik beradik lahir di dunia ini. Abah menuntut ilmu akhirat dan ilmu-ilmu membina keluarga yang diredhai Islam. Bukankan untuk mewujudkan sebuah negra Islam bermula dari Individu Muslim itu sendiri? Itu yang saya pelajari ketika di Kolej dahulu.

Meskipun abah sudah pergi hampir 2 minggu, hati saya tidak pernah lupa walaupun sekali tentang dirinya. Saya menghadiahkan Al Fatihah pada abah senyap-senyap ketika membuatkerja rumah seperti menggosok baju, mengemas, memasak dan ketika berehat. Selepas solat, saya menangis mendoakan abah, mak dan keluarga mertua.

Kini apabila abah sudah tiada, saya menjadi kesal kerana banyak lagi kejayaan yang ingin saya kongsikan dengannya. Malah baru-baru ini, suami MR A mencadangkan saya menyambung pelajaran di peringkat Sarjana. Itu adalah impian abah kepada saya...saya hanya membisu, saya memohon petunjuk Allah dalam Isthikarah yang saya lakukan selepas solat Isya'.

Ya Allah berilah aku kekuatan menghadapi Ujian ini.

Wednesday, May 13, 2009

KENANGAN




Hari ini merupakan hari ke 7 abah meninggalkan dunia yang fana ini. Ntah kenapa, satu demi satu kenangan bersama abah bermain di birai mata saya, terutama semasa hendak tidur. Mr A ada mengatakan saya mengigau memanggil nama abah semasa tidur. Mungkin kerana saya terkilan tidak dapat memohon maaf darinya semasa beliau sakit.

Memang saya rasa sangat terkilan...saya memohon pada Allah agar mengampunkan dosa saya pada abah, banyak yang belum saya tunaikan impian abah. Abah mahu sangat melihat saya menyambung pelajaran ke peringkat Master. Beliau sebenarnya sangat cerdik tentang akademik meskipun hanya berkelulusan SRP sahaja semasa zamannya. Pernah sekali saya terdengar abah bertanya kak yang bila mahu menyambung pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah. Sememangnya kami anak-anak perempuan abah sangat menjadi kebanggaannya. Itu yang saya rasa.

Kadang kala bila berada di jalan raya, abah suka memuji mana-mana kereta yang cantik yang memotong 'kancil' kesayangan saya. Abah akan kata 'wadah, ko beli yang ni', abah dapat duduk belakng pun kira ok. Abah tahu saya suka kereta Honda, tidak hairanlah jika semasa saya dan abah di dalam kereta, abah pasti akan menunjukkan kereta tersebut kepada saya.

Abah bukan materialistik, tapi abah nak menunjukkan pada orang-orang yang berada disekeliling kami bahawa abah sudah berjaya menjadikan anak-anaknya terpelajar dan berkerjaya. Dahulu abah dan mak sangat miskin, malah semasa berhijrah ke KL dengan mak 40 tahun yang lalu, kami adik beradik tidak dibenarkan bermain dengan cucu-cucu tuan rumah yang kami sewakan dengan alasan kami ini 'pendatang'. Walaupun hal itu sudah lama berlalu, namun saya tahu abah masih terasa hingga akhir hayatnya. Ini terbukti bila beliau sangat bangga apabila kami dapat melanjutkan pelajaran ke Universiti.

Kenangan bersama abah sentiasa berada dalam ingatan dan hati saya. Meskipun abah telah tiada, segala nasihat, didikannya akan saya ingat hingga mati. Hati saya tetap merasa bangga kerana Allah telah metakdirkan abah menjadi ayah saya. Saya amat bersyukur dan gembira meskipun masih belum puas berbakti kepada abah.

Monday, May 11, 2009

KEHILANGAN

Sudah 5 hari abah pergi meninggalkan kami. Hari ini saya diberitahu jiran dirumah keluarga meninggal. Makcik Rokiah itu sudah menderita sakit agak lama...saya dan suami menziarahi jenazah. Jenazah yang ditempatkan di surau di hadapan rumah kami, sama semasa jenazah arwah abah di letakkan. Saya sebak..masih baru sangat suasana itu saya alami.

Saya masih ingat semasa balik dari sekolah atau semasa pergi sekolah, saya pernah berhujan bersama-sama abah ketika menaiki motor. Kami basah sama-sama. Ketika air hujan terkena di muka dan pedih, saya akan menyorokkan muka dibelakang abah. Abah seperti pelindung yang amat melindungi saya tanpa beliau sedari. Saya tahu abah pasti inginkan anak-anaknya selamat dan senang. Namun kesusahan inilah membuatkan saya menjadi kuat untuk berjaya.

Bagi sesiapa yang tidak mengenali abah, pasti mengatakan abah seorang yang garang kerana raut wajahnya yang serius. Namun abah sebenarnya tidak seperti itu. Garang abah bertempat, tegas abah kena pada tempatnya. Semasa kecil dulu saya rasa takut dengan abah, namun bila semakin dewasa saya semakin tahu abah sangat menjaga anak-anaknya agar menjadi orang yang taat pada agama. Masakan tidak kami adik-adik perempuan sudah memakai tudung dan menutup aurat dengan sempurna sejak sekolah rendah lagi.

Abah nak anak-anaknya berjaya. Malah sanggup berkorban meminjam wang demi memastikan saya dan kak yang dapat ke universiti. Malah abah sangat bangga bilamana kak yang melanjutkan pelajaran ke Jordan satu ketika dulu. Cita-cita abah tercapai. Malah saya juga menyambung pengajian di sebuah kolej sentiasa mendapat keputusan cemerlang setiap semester dan melayakkan menerima bantuan untuk menjelaskan yuran. Sedikit sebanyak meringankan beban abah.

Abang dan adik lelaki saya juga begitu...kadang-kadang abah mengawal mereka bukan kerana abah tidak sayang, tetapi abah mahu mereka menjadi lelaki yang baik-baik. Alahmdulillah, akhirya anak-anak lelaki dan menantu lelakinya lah yang memandikan jenazah dan menguruskan pengkebumiannya.

Abah cukup sayangkan cucu-cucunya,. Anak-anak kakak yang sulung yang tinggal berdekatan dengan rumah keluarga menajdi tempat abah bermain.Bila abah mendapat duit pencen setiap bulan,ada saja habuannya untuk cucu-cucunya. Abah memang tidak pandai menunjukkan sayangnya kepada kami, tapi melalui perbuatan dan kata-katanya kami sangat mengerti.

Apa yang tinggal kini ialah mak.Walaupun mak nampak tabah malah tadi mak juga yang memandikan jenazah arwah makcik Rokiah saya tahu mak menangis rindukan abah, suaminya. Melihat baju-baju abah yang masih tergantung dalam almari membuatkan saya sebak yang teramat, apantah lagi mak. Selepas kami semua pulang ke tempat masing-masing, pastinya mak akan lebih terasa.

Sesungguhnya saya amat merasai kehilangan abah...saya panjatkan doa dan Al Fatihah untuk abah setiap kali solat dan sepanjang masa yang ada.

ABAH

Pada 7 Mei 2009 yang lalu, Abah saya telah kembali ke Rahmatullah. Meninggal bukan kerana penyakit buah pinggang yang dideritainya selama 7 tahun ini tetapi kerana jantungnya gagal berfungsi. Abah meninggalkan kami adik beradik di HKL pada petang jam 1.20pm.

Sebak...kerana saya tidak dapat menjaga abah di saat akhir hayatnya. Mujur pada hari Selasa itu saya sudah pergi menziarahi arwah abah selepas 'memonteng' waktu mesyuarat yang baru saya tahu pagi itu. Saya bergegas ke HKL, sayangnya waktu itu abah tidak punya suara, tapi masih kelihatan sihat dan masih boleh bergurau dengan menggunakan isyarat tangan dengan suami saya Mr. A. Malah abah meminta MR A mengurut dan menggosok belakngnya (abah memang suka Mr A mengurutnya). Malah abah merengek nak makan mee goreng mamak dan teh tarik petang tu. Saya kemudiannya memesan kepada adik agar datang dengan makanan tersebut. Tapi mak memaklumkan, abah hanya makan sesudu sahaja. Memang abah sudah tidak berselera hampir 2 minggu. Lalu saya pulang ke rumah dengan harapan esok saya akan datang lagi.

Lalu pagi Khamis itu hati saya tidak sedap, saya berdegil tidak akan ke pejabat meskipun tahu di pejabat saya agak sibuk kebelakangan ini (berdasarkan permohonan keluar saya tidak berjaya malah cuti juga tidak dibenarkan). Namun petang Khamis itu Abah dijemput mengadap Pencipta Nya. Pelbagai usaha dilakukan oleh doktor namun abah masih tidak menunjukkan tanda-tanda yang positif. Kak Yang dan suami yang baru tiba dari Terengganu tidak sempat bercakap dengan abah..Malah saya dan suami juga hanya dapat melihat abah kemudian terpaksa keluar kerana doktor mahu merawatnya. Semasa doktor memaklumkan keadaan abah, saya sudah mula menangis. Abang ipar mengajar abah mengucap, saya, mak dan kak yang mengusap tangan dan kaki abah. Adik yang bongsu juga begitu. Kami memanggil-manggil 'abah'. Akhirnya abah pergi juga pada usia 59 tahun...sebak..kami menangis... banyak yang belum saya lakukan untuk membalas jasa abah selama ini.

Melihat wajah abah sebelum dan selepas dimandikan sangat menyenangkan. Abah pergi dengan damai. Malah semasa menghembuskan nafas terakhir, nampak amat mudah.

Abah..semoga abah ditempatkan dalam golongan yang soleh..semoga tempat bersemadinya abah menjadi taman syurga sebelum hari akhirat kelak. Kami anak-anak akan sentiasa mendoakan abah di sana. Terima kasih atas didikan yang abah berikan menjadikan kami berjaya. Semoga Abah bahagia bertemu Pencipta Nya. Al Fatihah.