Friday, December 24, 2010

HIJRAH

Lama sungguh tidak up date blog ini. Saya baru pulang dari bercuti ke Bandung bersama sahabat baik. Memnag menginsafkan bila ke tempat orang. Rasa bersyukur atas nikmat yang Allah berikan. Melihat kehidupan kanak-kanak di Jakarta membuatkan hati menjadi sebak teramat.

Ada masa saya akan ceritakan tentang Jakarta dan Bandung. Saya telah mula bertukar ke kampus lain. Mencuba di tempat baru dan kebetulan saya membeli rumah di Puncak Alam membuatkan saya berbesar hati untuk berkhidmat di kampus baru ini. Doakan saya dapat berkhidmat dengan baik di sini.

Ada peluang saya kan upload gambar pejabat baru saya di sini. Insya Allah.

Wednesday, November 3, 2010

MAAF!!

Sudah lama benar saya tidak mengupdate blog ini. Kesibukan dan ujian yang datang bertimpa-timpa membuat saya langsung tidak sempat menyentuh blog ini!. Maafkan saya. Bila punya kesempatan, akan saya kongsikan dengan sahabat-sahabat sekelian.

Wednesday, September 1, 2010

SAMBAL BACANG


Semalam bercuti sempena Merdeka, saya rajin pula ke dapur. Saya teringin sangat nak makan sambal bacang, apa lagi saya pun ajak Mr A ke pasar mencari buah tersebut. Mujur ada. Pernah juga saya hantar ke rumah jiran sebelum ini, siap mereka suruh buat lagi...ehehhe.... Inilah Hasilnya!! Sedap dan puas hati!!


Monday, August 23, 2010

PUDING KOKTEL

Puding Koktel


Puding koktel di atas saya buat semasa majlis berbuka puasa di rumah baru-baru ini. Rakan-rakan usrah Mr A datang, jadi saya buat sedikit pencuci mulut. Biasa-biasa sahaja, saya pandai-pandai ubah suai sedikit.

Alhamdulillah, semua makanan selamat dimakan...heheh












Tuesday, August 17, 2010

MASIH SEPERTI DULU...

T-Shirt bewarna coklat itu saya beli 2 tahun lalu. Hadiah hari raya untuk abah.



Seluar panjang abah, masih tergantung kemas dengan tali pinggang.

Hujung minggu yang lalu saya pulang ke rumah mak. Menziarahi beliau dan berbual-bual. Mak berbuka puasa di surau yang terletak dihadapan rumah kami sahaja setiap hari. Kata mak, tak ada siapa di rumah, lagipun makan tak banyak. Sebak, sebab saya tahu bila bulan puasa banyak kenangan mak dan arwah abah bersama-sama.

Saya menuju ke bilik mak dan arwah abah. Sama, tak pernah berubah. Saya melihat almari baju yang tidak mempunyai kulit pintu, mak dan arwah abah tak pernah mahu perabot baru. Abah dan mak tak suka rumah yang penuh dengan barang, anak cucu ramai, susah nak bergerak kata mereka. Kadang kala arwah abah selalu bising jika ada perabot baru dalam rumah. Agaknya sebab itulah rumah kami dari zaman saya sekolah hingga kini masih sama. Sedangkan anak-anak sudah bekerja. Berbanding rumah-rumah lain dikawasan kami semua nampak 'elegan' sahaja. Kadang kala perabot penuh sehingga ruang tamu yang kecil itu menjadi sempit dan merimaskan.

Saya melihat almari baju, masih jelas tergantung baju T-Shirt arwah abah sama seperti biasa. Malah paling saya sebak melihat mak menggantung seluar beserta tali pinggang yang abah gunakan semas ahayatnya. Saya tahu seluar itu dipakai semasa abah ke HKL mendapatkan rawatan akhirnya tahun lalu. Saya sebak, saya pegang T-Shirt dan seluar abah. Mencium-cium dan mencari-cari bau abah yang masih saya ingat hingga kini dengan air mata berlinangan.

Ya Allah, kuatkan hati ini.... Moga Abah gembira di sana. Amin!

Nenek

Alhamdulillah....masih berpeluang menjalani ibadah puasa tahun ini.
Pulang kerumah mak pada hujung minggu baru ni memberikan ruang untuk saya bertanya khabar. Sempat saya ziarahi nenek yang sudah uzur. Menangis saya bila melihat susuk tubuhnya yang kurus kering itu. Tulang-tulang timbul. Nenek sudah tidak boleh bangun lagi. Hanya terbaring. Namun saya terpegun apabila nenek yang sudah menjangkau usia 90 masih ingat saya dan suami.
Nenek masih ingat apa yang saya buat. Saya tidak hairan kerana sepanjang hidupnya nenek mengajar anak-anak jiran serta kami mengaji. Saya tahu orang yang banyak mengaji tidak akan nyanyuk!. Malah nenek masih berpuasa dan solat secara baring meskipun kini beliau memakai pampers. Nenek ini merupakan ibu saudara arwah abah. Beliaulah yang membesarkan abah selepas ibu dan ayah arwah abah meninggal semasa kecil lagi. Nenek tidak mempunyai zuriat. jadi beliau membesarkan 2 anak saudaranya iaitu abah saya dan mak ngah saya. Dalam hati saya bertanya 'adakah bila dah tua begini nanti saya juga menumpang kasih anak-anak saudara jika tidak dikurniakan zuriat?"
Malam itu saya kurang sihat, tangan terseliuh. Mungkin salah tidur, selepas solat terawih saya ke rumah nenek yang hanya bersebelahan rumah mak. Saya pegang tangan dan usap dadanya. Sebak!! Air mata tak tertahan. Saya menangis dihadapan sepupu saya yang hanya beza setahun usianya dengan saya. Saya melayan soalan-soalan nenek, nenek memuju-muji saya cantik. Nenek memang macam tu, apa saja yang saya pakai semua dikatakan cantik meskipun ketika itu tudung saya sudah senget dan comot.
Saya berdoa, Allah memanjangkan usia nenek...Amin!!

Monday, August 2, 2010

MENUMPANG KASIH


Melihat anak-anak jiran bermain dihadapan rumah saya hati rasa gembira mendengar jerit pekik mereka. Berlari, memanjat, melompat...semua perkara dibuat bersama berulang kali. Yang perempuan pun sama sahaja naiknya dengan yang lelaki. Ibu bapa mereka mungkin di rumah...sudah penat agaknya melayan anak-anak. Rumah saya adalah rumah ke dua terakhir dan berada di hujung jalan mati. Tempat yang sesuai untuk bermain, tambah pula tuan rumah di hujung sana belum lagi memasuki rumah mereka.

Saya memanggil-manggil mereka, mereka senyum-senyum bila saya tanya "ni ayah mak siapa?"...maklumlah, belum semua nama jiran dan anak-anak mereka saya kenali sejak berpindah ke sini hampir 5 bulan yang lalu. Saya ada memberi mereka makanan yang ada di rumah. cukuplah kalau nampak saya nanti mereka memanggil-manggil saya. Itu sudah cukup membahagiakan insan yang belum ada zuriat seperti saya. Mujurlah baru-baru ini ada jiran yang buat kenduri, dapatlah saya berkenalan dengan mereka.

Semuanya sudah ada anak-anak besar. Mungkin pasangan yang muda sedikt hanyalah kami dan sepasang lagi suami isteri. Seronok dapat mendukung bayi yang baru 2 bulan usianya ketika berkunjung ke rumah jiran baru-baru ini, jiran mengusik " tue dah ada gaya, tak lama lagilah tue". Hati saya berbunga riang, saya aminkan doa mereka!!

Thursday, July 29, 2010

DOA




Saya terus menerus berdoa....Moga Allah swt mengkabulkan impian saya.

Allah berfirman " Berdoalah kepada Ku, nescaya Aku akan perkenankan (Surah Ghafir:60)"


Kadangkala saya tertunggu-tunggu saat doa saya diperkenankan. Namun bila saya melakukan muhasabah diri, barulah saya sedar mungkin Allah tidak mengkabulkan doa saat ini kerana ianya akan digantikan dengan yang lebih baik di akhirat kelak.


Apa yang penting kita jangan sesekali berputus asa dan teruskan berdoa.

Abah


Rindunya saya pada abah....termimpi-mimpi dibuatnya. Pada mak dan kak yang saya ceritakan mimpi saya. Dengan mak bila saya bercerita pasti saya sebak dan tersedu-sedu.

Ntah kenapa saya rasa banyak yang saya belum puas buat untuk Arwah abah....saya nakal, degil. Tapi saya tahu dalam degil saya abah banyak 'merengek' dengan saya berbanding adik beradik yang lain. Dengan saya abah akan minta apa ajer...sama ada bergurau atau serius. Bagi abah saya masih anak perempuan bongsunya yang perlu dibimbing lagi.

Sekarang segalanya untuk mak. Mak yang sakit-sakit tapi tak nak bila diajak tinggal bersama saya. Meskipun mak di KL namun susah untuk mak bergerak ke sana ke mari.

Menjelang Ramdhan ini, ingatan pada abah semakin kuat. Terutama apabila solat terawih hendak bermula. Jika belum pergi pasti abah akan tanya "tak pergi terawih ke"....sudah tentu pada masa-masa akan datang soalan itu tidak lagi saya dengari dari abah.


Tuesday, July 27, 2010

Belon dulu-dulu

Hasil kreativiti saya...ehhehe

Inilah dia...ingat tak lagi??


Malam tadi saya tiba-tiba teringin sangat nak main belon yang dulu-dulu pakia straw dan gel tue...balik dari kerja jenuh saya cari dengan Mr A di kedai..., akhirnya saya dapat juga...haha...puas main-main tiup-tiup belon tuee..susah betul nak jumpa sekarang ni.

Mr A pening tengok saya, dah buang tabiat agaknya!!




Friday, July 23, 2010

Jual...jual...jual!!!

Samosa

Samosa. Kali pertama makan semasa suami bawa pulang dari sekolah. Mr A beli dari seorang kawan. Wah, terus jatuh cinta. Sedap. Intinya daging dan kentang. Orang yang menjualnya masak tanpa berkira. Intinya padat. Jadi dalam 50 biji sekotak, saya dapat goreng dan habiskan dalam tempoh 3 hari ajerr...hehehhe... kena pulak masa tu saya tak berapa sihat, selera makan benda merapu semakin tinggi...hehehhe

Kalau berminat, bolehlah order dengan saya...ehhehehe. dijual dengan harga RM25 untuk 50 biji.


Wednesday, July 21, 2010

Sabarlah

Bukan menyepi sebenarnya, namun kesibukan musim menerima pelajar-pelajar baru dan pelbagai program anjuran Pusat dan Fakulti membuatkan masa sangat pendek saya rasakan.
Banyak sebenarnya yang berlaku, tetapi biarlah ianya menjadi rahsia saya...saya masih dalam mendapatkan rawatan untuk mendapatkan zuriat di HUKM.

Meskipun sudah berdepan dengan pelbagai kesakitan,beribu duit yang keluar, kali ini saya berserah pada Allah swt atas segala yang bakal berlaku kerana tidak mahu kecewa lagi. Membaca artikel Berita Harian diakhbar baru-baru ini yang mana satu pasangan ini sudah 7 tahun berkahwin dan baru sahaja memperolehi zuriat. Kembar 4 pula tue, air mata saya menitik tak tertahan-tahan. Tiada penyakit, tapi Allah menduga mereka. Inikan pula saya yang banyak dosa dan cacat celanya.


Kadangkala saya selalu merasakan diri sayalah yang paling sedih, rupanya ramai lagi di luar sana bertahun-tahun lamanya masih belum dikurniakan zuriat. Inikan pula saya yang baru 4 tahun. Semasa mendapat rawatan di HUKM baru-baru ini, ada yang sudah 15 tahun belum ada anak lagi...pasti ada hikmah atas segala yang berlaku. Astaqfirullah...

Doakanlah saya dan suami.

Friday, June 11, 2010

Pau Ayam

Pau Ayam
Saya berguru dengan mertua di kampung semasa pulang cuti sekali sekala. Mempelajari apa yang Mr A suka makan. Tetapi kadang kala saya tidak mempraktikkannya pun. Lalu ilmu tu berlalu bagai air yang mengalir. Baru-baru ini, saya datang mood rajin, lalu mencuba membuat pau ayam kesukaan Mr A. Sebenarnya mudah ajer, tapi bila sikap malas tahap dewa saya ini muncul semuanya tak jadi..hehehe... gambar di atas adalah hasil pau ayam saya. Puas hati....hehee....habis 15 biji!!

Sedapnyerr

Ni pulak siput apa ntah. ALa2 macam siput sedut, tapi lebih panjang.

Kepah yang menyerupai Shell

Di Kuala Lipis, ikan kerapu sangat mahal. Mak mertua saya masak kerapu bara stim


Baru-baru ini sejak 6 Jun mertua serta adik ipar telah datang dari kampung. Kami mengambil mereka pada 5 Jun untuk datang ke rumah kami. Maklumlah mereka tidak pernah datang lagi ke rumah baru ini sejak kami berpindah dahulu.

Kebetulan saya ada kursus selama 3 hari, maka mertualah yang menyediakan makan malam dan tengahari. Memang malu juga. Tapi melihat Mr A bukan main lagi menikmati air tangan ibunya yang dah berbulan-bulan dirindui itu, saya rasa berbaloi juga. Kalau nak bandingkan ilmu saya di dapur memang macam langit dan bumi.

Ada beberapa lauk yang mereka masak. Antaranya kerapu bara masak stim, kepah yang kami beri nama shell sebab kulitnya macam trademark stersen minyak shell, serta siput yang tidak ditemui di kampung mereka di Kuala Lipis. Mr A membawa mereka ke PAsir Penambang di Kuala Selangor untuk membeli barang mentah. Meskipun harganya agak mahal, tapi ikan sangat fresh. Berbaloi-baloiiiiii.... jangan salah faham yer, gambar laukpauk tu adalah hari berbeza-beza...hehehhe

Memang lazat....nyummm...nyumm... .terima kasih mak abah!!

Wednesday, June 2, 2010

4 TAHUN

4 tahun lalu

27 Mei lalu genaplah 4 tahun perkahwinan kami. Walaupun masih berdua kerana belum lagi dikurniakan zuriat, Alhamdulillah segalanya berjalan dengan baik dan Allah memberikan kami nikmat dan rezeki dari pelbagai penjuru. Paling indah adalah nikmat Iman dan Islam. Semoga ikatan perkahwinan ini menjadi wadah dalam meningkatkan ketaqwaan kepada sang Pencipta dan Islam. Amin!

PALESTIN

Gambar diambil dari blog Ustaz Zaharuddin Abd Rahman



Gambar diambil dari Blog Faisal Tehrani


Marah, geram dan menyumpah-nyumpah saya dibuatnya apabila mendapat tahu kapal yang membawa misi bantuan kemanusiaan yang bernama "Gaza Freedom Flotilla" Ke Palestin di serang di perairan antarabangsa Isnin lalu. Kaum yang dilaknat Allah ini terus menerus membuat kerosakan di bumi ini.
Mari kita bersama-sama membuat solat hajat dan bacaan qunut Nazilah agar tentera Israel ini akan dibinasakan oleh Allah swt.






Monday, May 3, 2010

GERABAK KERETAPI UNTUK WANITA

(GAMBAR INI DIAMBIL DARI BLOG FAISAL TEHRANI)

Rasanya sudah hampir setahun saya tidak menaiki komuter. Ianya dulu merupakan satu pengangkutan rasmi saya untuk kemana-mana sahaja. Sejak zaman sekolah menengah sehinggalah ke universiti saya amat berterima kasih terhadap pengangkutan ini walaupun adakalanya saya 'naik hantu' sebab jadual perjalanan yang agak perlahan. Terutama jika waktu puncak, penuh dan sendat!!

Baru-baru ini apabila mendengar penguguman KTMB akan melaksanakan gerabak khusus untuk wanita saya tumpang gembira.Percubaan pertama dari laluan Sentul ke Pelabauh Klang. Maklumlah, dahulu saya sendiri pernah berhimpit-himpit dalam tren seperti tin sardin. Aroma bau yang pelbagai terutama waktu pulang dari kerja. Namun bagi saya, aroma itu tidak mengapa lagi. Yang paling tidak saya tahan adalah lirikan-lirikan mata yang nakal serta sentuhan-sentuhan setiap kali ada penumpang yang hendak turun atau naik. Situasi ini pasti berlaku jika sesiapa sahaja berdiri. Terutama wanita.

Malah saya juga merasakan ianya sudah lama patut dilaksanakan memandangka gejala sosial yang semakin membimbnagkan kini. Saya pernah berhadapan situasi di dalam tren yang mana pasangan kekasih Melayu tanpa malu membuat aksi-aksi kurang sopan dan berpelukan didalam tren semasa berdiri. Malu dan marah bercampur baur!!

Saya menonton siaran berita mengenai komen para penumpang wanita yang rata-rata menyokong usaha ini. Bagi saya, ianya merupakan satu keistimewaan kepada wanita dalam memelihara diri dan kehormatan daripada tangan-tangan nakal yang sentiasa ada mencari peluang dan ruang!!

Tahniah KTMB!!


Thursday, April 22, 2010

Disebalik Ujian Hidup

Seorang rakan lama dari Sarawak dahulu menghubungi saya. Beliau lelaki, tetapi sangat memahami situasi saya dan suami. Maklumlah, beliau sendiri telah berkahwin seminngu lebih awal dari saya masih belum dikurniakan zuriat.
Baru-baru ini beliau menghubungi saya, memaklumkan isterinya sudah melahirkan anak. Kembar, sepasang!! Allahuakbar!! Betapa saya terkejut, dan merasa besarnya kuasa Allah. Beliau menasihati saya agar tidak berputus asa dan terus menjalankan rawatan yang termampu.
Semoga sahabat saya ini sentiasa berada dalam kesejateraan dan bahagia hendaknya bersama zuriat-zuriatnya. Amin.

Thursday, April 8, 2010

ISTERI YANG KECEWA



Kisah cinta lagi?? topik yang tak pernah habis...bersifat universal.... tapi kali ini agak menarik kerana cinta orang tua (tak lah tua...tapi sudah 10 tahun berkahwin). Al kisah si suami sudah mula komen, merungut macam-macam sejak akhir-akhir ini. Kononnya layanan isteri dah tidak '1st class' macam dulu, tak 'esklusif' dah katanya, si isteri merajuk dan terasa hati yang amat sangat. Mendengar suaranya di talian telefon saya tahu dia menahan sebak. Saya juga tak terjangka menerima panggilan telefon ini...saya taklah muda sangat, tapi bila mendapat panggilan telefon macam ni merupakan satu penghormatan atas kepercayaan orang kepada saya...rasa glamour pun ada saya nie...hehehe (Astaqfirullah...ada unsur riak nie...berdosa pula).

Benarkah cinta berubah setelah sekian lama? Suami sudah tidak tertarik dengan fizikal isteri yang sudah lari benar 'alignment' nya, apantah lagi setelah melahirkan 4 orang anak. Si isteri pula sibuk dengan tugas rumahtangga, mendidik anak dan tambah pula bekerja. Sudah tentu suami rasa terabai dan isteri pula pasti tidak sempat memanjakan diri ke spa, bersenam dan sebagainya. "Bukan tak pernah cuba puan, kata pemanggil, kadang-kadang saya nak berehat untuk diri sendiri pun tak sempat, saya pernah jugaklah diet, jogging tapi still tak slim-slim juga. Nak ke tempat macam dalam iklan tu mahal benar "..(ala..dia maksudkan pusat pelangsinga badan macam Slim World dll tue). Suaranya dah mula tenggelam timbul...mungkin tak sangka suami mengkritiknya sedangkan mungkin niat suaminya baik tapi cara atau kaedah bercakap itu yang salah.


Saya termenung...bukan menyebelahi wanita ini, tapi memikir cara bagaimana saya hendak merasionalkan pemikirannya. Wanita ini menambah, suaminya dah tak sayang dia lagi. Mungkin nak cari lain. Saya meminta wanita ini bersabar dan istiqfar banyak-banyak. Syaitan memang nak porak perandakan rumah tangga Muslim kata saya kepadanya.


Saya pasti semua suami pasti menyayangi isteri mereka, terutama suami yang sudah dinikahi berpuluh tahun. Sama-sama mengharungi saat susah dan senang bersama. Tambah pula isteri yang melahirkan zuriat untuk suami dengan seribu kepayahan. Oleh itu jika isteri merajuk, membebel sikit-sikit bersabarlah wahai suami. Ingatlah kepayahan yang mereka lalui untuk melahirkan zuriat anda.


"Dan diantara tanda-tanda kekuasaanNya ialah, Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu merasa cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir (Ar Ruum; 21)


Pernah terbaca satu artikel dari seorang pakar motivasi. Si suami dinasihatkan janganlah asyik merungut isteri dah tiada potongan macam zaman anak dara dulu. Iyerlah sejak melahirkan anak-anak pastilah potongan sudah tak macam dulu. Tambah pula, suami janganlah berkira sangat nak hantar isteri ke slim World, London Weight Management atau SPA bagi mengembalikan potongan badan yang diidamkan. Kenalah melabur sikit . Itulah yang saya ingat tentang artikel itu. Manakala si isteri (termasuk saya) perlulah pandai mengambil hati suami. Memang sukar untuk diterima bila dikritik, sedangkan mungkin si isteri menerima suaminya seadanya meskipun sudah 'gendut' , rambut pun sudah mula gugur dan sebagainya.Mujur para isteri ni masih setia meskipun hero mereka dahulu dah berubah 360 darjah!!


Kepada wanita itu, saya hanya meminta dia bersabar dan mengamalkan beberapa perkara yang mungkin boleh menggembirakan hatinya dan suami. Saya juga punya kekurangan. Benarlah kata pepatah "kalau cinta kerana kecantikkan, kita akan membenci orang itu apabila kecantikkanya pudar suatu ketika nanti." Sesungguhnya cinta kepada Allah pasti kekal abadi...bagaimana pula dengan kita???












Wednesday, April 7, 2010

Antara 2 Cinta


Lirik ini diambil dari blog Ustaz Pahrol Mohamd Joui pengarang terkenal Tentang CINTA.
Lirik ini adalah lagu yang dinyayikan oleh Nazrey Johani (bekas ahli kumpulan Raihan).

Betapa besarnya kuasa hiburan. Jika digunakan secara baik ianya mampu mendidik hati untuk mencintai Allah. Begitu juga sebaliknya. Lirik lagu ini sangat mendalam membuat kita bangun untuk membuat refleksi diri...cinta apakah kita???

Tuesday, April 6, 2010

Novel Islami- Denyut Kasih Medik


Novel ini pertama kali saya dengar semasa dalam perjalanan ke tempat kerja. Masa tu Ustaz Zahazan dari Radio IKIM sedang memberi kuliah tafsir al-Qur'an. Ustaz Zahazan mencadangkan para pendengar dan ibu bapa membeli novel ini untuk dibaca. Santapan minda katanya. Saya setuju dengan kata-kata ustaz tue!!
Semalam semasa saya ke kedai buku MPH, saya terus mencari buku ini. Rupanya buku ini sudah agak lama di pasaran, tapi saya tidak tahu kewujudannya. Rasa agak ralat kerana lambat mengetahuinya. Novel ini mengisahkan seorang doktor muda yang baru tamat belajar dan mula bertugas di sebuah hospital. Bagaimana doktor muda ini menjadikan kerjayanya sebagai satu medium untuk berdakwah. Meskipun tugas sebagai doktor dianggap glamour dan mendatangkan pendapatan yang lumayan, doktor muda ini tidak menjadikan kerjayanya hanya sekadar kerja tanpa mendapat ganjaran sebagai khalifah Allah dimuka bumi untuk menyebar agama yang suci ini.
Novel ini sesuai untuk bakal-bakal doktor yang akan mula bekerja dan juga remaja. Apakah persiapan kita sebelum bekerja? Adakah kita mencari redha Allah dalam kerja yang kita lakukan atau sekadar menunggu gaji dihujung bulan tanpa rasa sedikit malu pun pada Allah untuk menggunakan 'platform' kerjaya kita untuk menyebarkan dakwah Islam??
Saya baru sempat membaca 3 muka surat. Penulis Dr Farhan Hadi berkongsi pengalaman bersama kita. Malah dakwah yang disampaikan dibuat secara perlahan-lahan kepada pesakit, rakan sekerja yang berada di sekelilingnya. Apa yang boleh saya kata mengenai novel ini adalah, ianya adalah hidangan yang boleh membuka minda dan jiwa kita. Seorang doktor, jurutera, guru, polis, wakil rakyat, nelayan, buruh dan apa jua pekerjaan perlulah sentiasa membuka mata hati untuk sentiasa mencantikkan akhlak agar menjadi ikutan orang lain.
" Ya Allah, sepertimana Engkau mencantikkan kejadianku, maka perbaiki pula akhlakku."
Riwayat Ahmad no 68, 105 dan 403, dianggap sahih oleh al-Albani dalam Irwaghul Ghalil, 155.
Tuntutan bekerja itu sebenarnya amat besar. Bukan sekadar nama atau glamour!!

Thursday, April 1, 2010

UJIAN-RUMAH DIPECAH MASUK


Habis beg-beg pakaian diselongkar


Kelmarin pada 30 Mac 2010, saya dan suami pulang agak lewat ke rumah kerana kami menziarahi seorang rakan yang suaminya baru menjalani pembedahan kecil. Sampai sahaja di rumah saya dan Mr. A terus masuk tanpa mengesyaki apa-apa sebabnya dibahagian bawah rumah kami kemas dan tidak terusik..hanya pintu stor sahaja terbuka. Saya terus ke tingkat atas, manakala Mr. A mengambil wudhu untuk solat isya' di bilik bawah.

Alahai...nak dijadikan cerita, lagi 3 anak tangga untuk sampai ditingkat atas saya tergamam. Ruang tamu atas berselerak...badan saya sudah terkaku..saya istiqfar dan mengucap panjang....sambil memanggil Mr A untuk bertanyakan sama ada beliau ada membongkar rumah malam tadi (seingat saya kami masuk tidur sama-sama, bila pulak dia bangun membongkar?) Bila Mr A naik, dia terus kata, 'ada orang masuk lah nie'....saya apalagi...terus istiqfar dan agak takut, saya mengikut Mr A ke bilik kami pula.

Tu diaa....bilik kami bersepah...almari baju, laci, katil semua sudah tunggang terbalik...paling sedih radio mini hi fi yang saya beli kira-kira setahun lepas juga diambil. Radio itu saya beli semasa saya dan Mr A tinggal berjauhan. Radio tu selalu dipasang untuk mendengar ceramah terutama Tafsir Al-Qur'an Oleh Ustaz Zahazan pagi-pagi di saluran IKIM Fm...sedihnyaa...mujurlah rumah kami tiada barang yang mahal-mahal ditinggalkan. Malam itu juga kami membuat laporan polis di pondok polis, kemudia kena pula ke balai polis di Bandar Saujana Utama untuk susulan. Polis kemudian mengikut kami pulang untuk membuat siasatan....sehingga awal pagi...Penat dan letih...Mujur jiran kami Kak Tipah dan suaminya membantu. Grill atas rumah kami sudah dikupil, saya terpaksa mengambil cuti kecemasan, macam mana nak pergi kerja kalau rumah tak boleh kunci?...Paling melampau ada ke patut pencuri mengambil deodoran Rexona Mr A...lucu ada...nak marah pun ada. Nampak sangat pencuri ni sangat terdesak.

Bak kata Mr A, ini ujian dan kafarah bagi menyucikan harta mahupun pendapatan serta dosa-dosa kami...Semoga ada hikmah atas semua yang berlaku. Terima kasih kepada semua ahli keluarga, rakan dan sahabat yang mengambil berat!

Tuesday, March 30, 2010

Rindu

Arwah Abah semasa Aidilfitri 2008 sedang bermain dengan cucunya Kauthar


Saya betul-betul rindukan arwah Abah...pagi-pagi lagi di radio IKIM terudara lagau Menanti di Barzakh nyanyian kumpulan Far East. Saya sebak, ntah kenapa tiap kali lagu ini dimainkan saya selalu sebak dan menangis. Mr A disebelah menyanyi sama-sama mengikut kumpulan tersebut tanpa menyedari gelagat saya. Saya lemparkan pandangan ke tepi tingkap, cuba menahan air mata yang sudah penuh di kelopak mata.

Sebak dan rindu pada abah...sangat-sangat. Mungkin saya terbawa-bawa perasaan sejak memasuki rumah baru, saya selalu beritahu emak, abah tak sempat tengok saya ada rumah meskipun semasa proses beli rumah abahlah yang menjadi saksi. Abah hanya lihat gambar rumah kami sahaja.

Bulan Mei nanti genaplah setahun abah pergi meninggalkan saya dan keluarga. Sudah tidak dengar lagi suara abah yang kadangkala buat saya dan adik beradik yang lain terdiam. Saya bersyukur menjadi anak Abah, tidak anak orang lain. Jika bukan Abah yang mendidik dan menegaskan didikan agama, ntah bagaimana saya dan adik beradik yang lain. Sesekali balik ke rumah mak dan melihat rakan-rakan abah di surau, saya seolah terasa abah ada bersama-sama mereka berbual hingga selesai solat Isya'.
Ya Allah, sesungguhnya rasa kehilangan ini tidak pernah kurang. Moga-moga abah mendapat tempat disyurga dan sisiMu ya Allah. Amin!

Nikon D3000

Aksi Mr A di kaki bukit di UiTM Puncak Alam

Akhirnya menjadi milik Mr. A

Akhirnya, Mr A mendapat apa yang dihajatinya sekian lama. Petang Ahad baru ni, selepas makan tengahari dia 'memerap' nak ke AmCorp Mall PJ, nak beli kamera DSLR yang dia idam-idam tue. Sebenarnya kami memang pernah pergi tengok sebelum ini, dan kedai tersebut memang antara kedai paling murah menjual kamera di sekitar KL dan Selangor ini. Saya juga tahu beliau sangat minat dalam bidang Fotografi, cuma hobi ini agak mahal bagi saya.

Saya rasa, Mr A tercabar semula sejak kami pergi melihat pameran belon panas 2 minggu lepas di Putra Jaya. Semua pelancong dok usung kamera DSLR di bahu...minat dia yang selama ini boleh ditahan-tahan nampaknya kembali 'menggila'. Bukan sekali dua dia dok melagukan melodi DSLR yang dia cipta sendiri ketika duduk berdua dengan saya, tapi saya juga yang buat tak reti (sebenarnya dia tidak perlu pun minta izin saya pun kalau nak beli kamera).

Betapa gembiranya beliau ketika dapat memeluk Nikon D3000 tu, meskipun Mr A tahu yang lebih baik iaitu D90 , tapi dengan bajet yang ada kami ada hanya mampu membeli jenama ini sahaja...saya siap cakap " pastikan 28 April bulan depan dapat balik modal beli kamera nie". Kononya Mr A nak buat bisnes gambar...ntahlah..saya doakan betul-betul dia buat. Saya melihat dia ada bakat dan minat, cuma kesibukan kadang-kala membataskan semuanya.

Habis jer sesi tawar menawar dengan tauke kedai, kami pulang, bukan main lagi kami berhenti di tepi jalan untuk mengambil gambar berdekatan dengan Tasik di UiTM puncak Perdana. Pemandagan petang agak cantik. Tak cukup dengan itu, kami memanjat bukit-bukit di UiTM Puncak Alam bagi mendapatkan sudut yang lebih menarik untuk mencuba kamera baru ini...heheh..ayat saya pun dah macam ahli fotografi terkenal.
Moga-moga minat ini menjadi salah satu wadah untuk berdakwah dalam agamaMu ya Allah. Melihat lesung pipitnya yang jelas timbul apabila dia senyum dan ketawa, saya mendoakan Allah memberikan kami kebahagiaan, kekuatan dan rezeki yang lebih baik. Jadikan kami hambaMu yang bersyukur atas limpah rahmatMu Tuhan. Amin!!










Monday, March 29, 2010

CUP CAKE


Ini cup cake yang dibuat oleh adik ipar kakak saya. Sedap dan sangat lembut. Saya menempah beberapa kali dan rasa tidak ralat. Nanti saya nak belajar membuatnya.

ZIARAH SAKIT

Bukan main lagi Anuar menepuk tangan melihat saya memotong kek
Mereka siap bawak KFC, saya hanya sediakan spegheti sahaja

Para pelajar tengah menikmati makan


Terharu...ungkapan yang tepat apabila rumah saya diserbu 8 orang pelajar yang mendapat tahu saya cuti dan jatuh sakit. Mereka datang siap membawa KFC dan kek (untuk hari lahir saya yang lepas). Sebenarnya ketika mereka datang, saya sudah beransur baik cuma batuk sahaja belum sembuh.

Saya doakan mereka ini terus cemerlang dalam pelajaran dan bahagia dunia dan akhirat!

POKOK BUAH

Pokok Tomato

Pokok Bendi



Pokok Mas Cotek

Keakraban saya dengan pelajar kadangkala membuat saya serba salah menolak pemberian mereka.

Pokok-pokok di atas disumbangkan oleh pelajar-pelajar saya yang mengambil bidang Pengurusan Perladangan. Saadah memberi pokok bendinya. Pada mulanya dia menyuruh saya mengambil 5 pokok, tetapi saya takut tak mampu menjaga pokok-pokok itu. Manakala pokok tomato dan Mas cotek diberi oleh seorang pelajar lelaki.

Rasa sangat terharu walaupun pada masa ini pokok tomato sudah pun kering...agaknya cuaca panas sangat, daunnya menjadi layu dan bergulung.

Yang peliknya pokok Mas cotek tu subur pula. Sampai saat ini saya musykil kenapa pelajar saya yang bernama Firdaus itu memberi pokok ini???hheheheh











BELUM SEMPAT!!

Sibuk! itu ungkapan tepat untuk menggambarkan kesibukan saya sejak sebulan lebih ini. Maaflah kerana sudah lama tidak mengemaskini cerita terkini. sebenarnya banyak kisah dan cerita...namun akan dikongsikan nanti.

Paling utama, sejak berpindah ke rumah sendiri, kepenatan kerana jarak yang jauh dengan tempat kerja, tugasan di pejabat yang tak henti-henti membuatkan seluruh kehidupan hanya berpusat kepada itu sahaja. Adakalanya menangis kerana melihat dan merasai kerenah di pejabat yang ntah macam-macam.

Oh ya, saya sudah berkenalan dengan dua jiran baru...semuanya baik-baik belaka. Alhamdulillah. Teringat akan hadith nabi:

Sesorang itu diukur bahagianya sekiranya memiliki:
1. Isteri yang baik
2. Kenderaan yang baik
3. Jiran yang baik


Wallahu'alam.

Yang nombor 1 tu kena tanya Mr A, tapi saya juga kena muhasabah diri....jumpa lagi....

Thursday, March 11, 2010

PULAU PANGKOR

Jln2 dlm hutan..jungle trekking





Suka benar budak2 ni dapat snorkeling



Pada 19-21 Feb lalu saya telah membawa pelajar ke Pulau Pangkor.Program Team Building. Program ini bagi melahirkan kepimpinan bagi AJk baru dalam persatuan. Seramai 40 orang pelajar terlibat. Paling best semasa aktiviti kumpulan dan di tepi pantai.
Semoga para pelajar ini mendapat manafaat dari program ini.










Thursday, February 18, 2010

TAKUT!

Semasa saya menaip entri ini saya berada dalam kereta. Menunggu Mr A yang sedang mengikuti usrah di Masjid. Ini kali pertama saya mengikutinya..sebab saya tak berani tinggal seorang dalam rumah baru kami,Takut!! Canggihnya menggunakan netbook dan broadband..boleh akses internet di mana saja.Alhamdulillah.

Wednesday, February 17, 2010

KAMI SUDAH BERPINDAH

Saya dan Mr A sudah berpindah ke rumah kami di Puncak Alam pada 14 Februari 2010 yang lalu. Jika masyarakat Tionghua menyambut Tahun Baru Cina, kami pula kepenatan menyambut kotak-kotak yang diangkat dari lori. Penat sungguh....tapi Alhamdulillah, rumah sendiri rasa gembira sangat.

Sepatutnya saya masih bercuti hari ini, namun disebabkan kerja yang banyak tambahan pula saya akan bersama pelajar ke Pulau Pangkor pada Jumaat-Ahad ini, maka saya tunda cuti rehat saya. Gambar akan diupload nanti.

Terima kasih kepada adik beradik saya dan Mr A, sahabat-sahabat Mr A, pelajar-pelajar saya yang banyak memudahkan serta meringankan tugas-tugas kami. Hanya jamuan nasi ayam dan air sirap sahaja dapat dihidangkan selepas itu...Hanya Allah yang mampu membalasnya.

Monday, February 1, 2010

RAGAM

Siswi pun boleh tahan hebatnya

Kuat betul Pak Arab ni memikul kawannya


Aktiviti Peserta membina Kubu (rasanya berdasarkan pengalaman mereka, nampak mudah jer buat)
Kelmarin pada 19-21 Januari saya dan Mr. A diundang untuk mengendalikan program di Kem Bina Semangat Ampang Pecah.

Program ini diadakan khusus untuk pelajar yang sedang mempersiapkan diri untuk ke luar negara. Tidak ketinggalan juga beberapa orang pelajar antarabangsa dari Palestin, Arab Saudi dan Somalia yang turut sama menyertai program ini. Saya sangat berterima kasih dengan Mr. A kerana kelebihan yang ada padanya membolehkan program ini berjalan lancar (Syukran hubby!!) Maklumlah ini pertama kali saya terlibat dalam program luar dengan pelajar antarabangsa. Biasanya sekadar dijemput untuk memberi ceramah selama 2 jam sahaja. Itupun baru 2 kali di fakulti Hotel dan Pergigian.

Program ini diaspirasikan bagi menubuhkan satu persatuan Peer Group dikalangan pelajar. Semua slot yang Mr. A kendalikan adalah dalam bahasa Inggeris (saya hanya pergi menyampuk atau mencelah dikalangan pelajar sekali sekala. Buat-buat rajin!!).

Seronok juga walaupun penat. Paling teruja untuk berkenalan dengan seorang pemuda dari Palestin. Tak sabar-sabar saya nak tahu sama ada beliau penyokong Hamas atau Fatah...eheheheh....akhirnya sampai juga hajat saya berbual dengan pelajar yang bernama Musa itu. Sungguh terpegun bila mendengar beliau bercerita tentang negaranya...
"Semuanya itu kehendak Allah. Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah" (Al Khafi;39)
Malah saya juga dapat berbual dengan pelajar dari Arab Saudi diselangi bahasa Arab saya yang tidaklah secemerlang mana. Beliau yang bernama Salahudin bertanya dari mana saya belajar Bahasa Arab, malu juga sebab dah lama saya tidak praktis berbahasa Arab sejak tamat belajar dahulu... Betullah, ilmu tanpa amal ibarat pohon yang tidak berbuah..sedihnya saya (lepas ni janji nak belajar balik Bahasa Al Qur'an itu).

Selain itu pelajar dari Somalia juga ada bersama kami, cuma mereka ini tidak seaktif pelajar Palestin. Agak 'cool' dan mendengar kata. Mungkin dinegara mereka, mereka dah biasa susah...Manakala pelajar siswi yang semunya orang Malaysia sangat mudah memberi kerjasama. Cayalah, orang Malaysia memang terkenal dengan sopan santunnya...heheheh
Saya sempat melihat borang maklum balas peserta, Alhmdulillah boleh dikatakan semua berpuas hati dengan slot serta LDK yang dibawa oleh Mr A. Sempat pihak penganjur berbisik kepada saya " Lepas ni buatlah kerjasama dengan suami untuk program-program lain, bagus dah niee.." Bagi pihak kami, apa yang penting bukanlah imbuhan yang diterima, tetapi cukuplah perkongsian pengalaman dan sedikit ilmu untuk dimanafaatkan oleh orang lain. Jika kena pada masa dan kelapangan kami berbesar hati menolong siapa saja. Saya mengusik Mr. A "pasni kita boleh tubuh konsultant bersamalah"...beliau ketawa dengan cadangan saya.

Banyak aktiviti yang Mr. A kendalikan yang saya akui turut menambahkan pengetahuan saya sendiri. Semoga program ini mendapat manafaat dari semua peserta. Insya Allah.



Wednesday, January 27, 2010

PAKCIK USOP

Mak (berdiri) bersama cik Leha dan pakcik Usop, Aidilfitri 2009.

Sebelum subuh lagi saya sudah mendapat sms dari kakak yang memberitahu pakcik Usop meninggal dunia. Inallillah....Allahyarham pakcik Usop merupakan jiran serta kawan baik mak dan arwah Abah. Mereka mempunyai 3 orang anak, Kak Mai, Kak Ain dan Fathu yang mana anak-anak mereka sebaya dengan abang dan kak yang.
Saya tergamam seketika kerana terasa masih terlalu baru menziarahinya ketika Aidilfitri pada bulan September yang lalu. Namun siapalah kita untuk melawan takdirNya. Pakcik Usop mengidap kanser paru-paru. Ketika kami iaitu saya, mak, abang, kak yang, adik dan kakak serta kelurga kami datang menziarah dirumahnya, pakcik usop sudah terlantar tidak mampu berjalan lagi. Malah ketika hendak ke tandas pun beliau dipapah oleh abang. Abang pula saya lihat sibuk memicit-micit kaki arwah pakcik Usop. Mungkin abang teringat arwah abah yang sangat rapat dengan pakcik Usop. Saya pula tak boleh nak lihat suasana macam tue, saya memerhati dari jauh sambil memasang telinga mendengar perbualan mak dan Cik Leha.
Terkenang cerita mak dan arwah Abah sebelum ini. Semasa kami menyewa di Segambut dahulu, mereka jiran serta kawan baik mak dan abah. Cik Leha yang berasal dari Singapura sangat baik serta ramah orangnya. Pakcik Usop pula lebih pendiam tetapi sangat membantu dalam hal-hal keluarga kami. Abah bercerita lagi, semasa abah dan mak terputus wang, merekalah yang menghulurkan bantuan. Sebab itu abah ada berpesan kepada kami adik beradik mengenai beberapa orang rakannya yang kami perlu bantu dan berterima kasih kerana mereka ini pernah berjasa pada keluarga kami. Keluarga pakcik Usop adalah salah satu darinya.
Cik Leha pula kalau berbual dnegan mak, riuh rendah jadinya. Begitu juga jika melayan telatah kami 5 beradik terutama abang. Cik Leha yang sangat terkenal dengan lontong Singapura yang sedap, sering menjadi mangsa abang yang asyik memintanya masak setiap kali hendak bertandang ke rumahnya. Malah pada Aidilfitri yang lalu, Cik Leha turut menjamu kami dengan lontong kegemaran abang. Betapa kasihnya pada kami yang membesar dihadapannya. Mungkin beliau masih teringat abang dan kak yang yang sebaya dengan anak-anaknya menggalas beg ke sekolah/tadika bersama-sama dahulu.
Itulah hubungan dua keluarga yang merantau di negeri orang, lalu disatukan hati-hati mereka dalam kepayahan menghadapi kehidupan. Benarlah, susah untuk bertemu orang luar yang sanggup membantu kita dengan ikhlas sedangkan mereka tidak langsung mempunyai hubungan mahupun pertalian saudara dengan kita. Yang menghubungkan 2 keluarga kami adalah hubungan saudara sesama Islam .
"Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat) dan memanglah Ia Maha Kuasa ke atas tiap-tiap sesuatu". (surah Al Mulk; 1)
Saya berdoa, semoga Arwah pakcik Usop ditempatkan dikalangan orang yang soleh. Semoga kebaikkan yang arwah lakukan mendapat ganjaran disisi Allah. Al Fatihah untuk pakcik Usop yang dikasihi....

Tuesday, January 26, 2010

SURAT PERINGATAN


Semalam saya menerima surat peringatan berkenaan kesilapan memasukkan markah pelajar. Pelajar tersebut yang sepatutnya lulus, mendapat A telah gagal (F)...kalau saya jadi pelajar itu pun saya pasti mengamuk. Lalu saya diminta menjawab secara bertulis berkenaan hal ini.

Alkisahnya, saya sudah memaklumkan kepada semua pelajar agar memasuki kelas yang mereka register di awal semester. Namun masih ada yang tidak mahu berganjak, kononya suka dengan kelas saya (ni ada unsur-unsur riak dan bangga sikit, bila menaip) Bagi yang namanya di group lain, saya memohon mereka ke group tersebut. Namun kecuaiannya saya juga kerana tidak tahu bahawa pelajar lelaki yang bernama 'R' ni masih dalam group saya sedangkan namanya di dalam group yang lain. Ini kerana ada pelajar yang dari group lain tetapi mahu belajar di kelas saya ada memaklumkan hal ini kepada saya. Tetapi 'R' tidak berbuat demikian. Lalu semasa keputusan peperiksaan keluar, beliau menelefon saya bertanya mengapa beliau gagal? Saya dengan selamba boleh menjawab, "eh..kelas saya tak ada yang gagal lah" Rupanya markah gagal tersebut diberi oleh pengajar di dalam group tersebut kerana beliau mendapati "R" tidak memasuki langsung kelasnya dan tidak dapat dihubungi.

Paling mengejutkan, pengajar tesebut adalah Mr A(beliau membuat part time di tempat saya) alahai....nampak sangaat kami di rumah tak sempat berinteraksi....suami menjelaskan beliau sudah meminta rakan-rakan pelajar tersebut mencari si "R" namun tidak berjaya, malah "R" tidak memaklumkan kepadanya. Jika saya tahu, passti saya sudah menyerahkan markah beliau kepada Mr A untuk dimasukkan sebab pelajar yang seorang lagi, saya telah memaklumkan kepada jurulatihnya.

Aduahaii....betapa kerdilnya saya..."Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah kami rahmat kepada kami. Engkaulah penolong kami, oleh itu tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir". (Al Baqarah, 286)

Dalam keadaan yang agak bimbang, saya menghubungi pihak yang mengirim surat "puan jawab jer surat tue, itu keperluan ISO jer sebenarnya" Fffuuhhh....saya menarik nafas lega walaupun di dalam hati saya resah tidak terkira.

Thursday, January 21, 2010

DOA AGAR TERSELAMAT DARIPADA GOLONGAN YANG JAHAT


Sejak akhir-akhir ini ada beberapa ayat yang saya amalkan hasil dari pembacaan dari buku 101 Doa Para Nabi&Rasul dalam Al Qur'an, Khasiat&Kaifiat Beramal yang disusun oleh Ustaz Hj Zahazan Mohamed. Buku ini wajar dimiliki oleh kita dalam mengharungi kehidupan hari ini. Rasulullah s.a.w bersabda "Doa itu senjata bagi orang Mukmin".

Lalu saya mula menghafal beberapa potong ayat, anataranya dari Surah Al-A'raf ayat 47 yang bermaksud " Wahai Tuhan Kami! Janganlah Engkau jadikan kami bersama orang-orang yang zalim".

Ada seorang rakan berkata kepada saya " U doalah banyak-banyak, minta dapat anak sebab sekarang U sedang dizalimi" . Bukankah doa orang teraniaya itu makbul? Aduihaii...kadang-kadang saya amat rindukan bos lama yang sangat melindungi anak buahnya. Katanya, kalau kena marah dengan pihak atasan, kami semua boleh menyorok belakang beliau. Main-main macam anak-anak ayam. Suasana itu benar-benar saya rindui sejak akhir-akhir ini. Namun kini beliau sudah tidak bersama kami. Beliau mohon ditukarkan ke tempat lain kerana banyak sungguh ujian yang beliau hadapi di sini dalam menyampaikan kebenaran. Benarlah, bila kita berkata benar dengan menapis semua perkataan agar tidak kelihatan menentang, namun kita dilabel juga negatif dan melawan. Kita dikatakan defensif.

Namun sebagai insan yang lemah, malah saya juga banyak kekurangan saya selalu berpesan pada diri tidak sesekali menzalimi orang lain. Apantah lagi membuat fitnah yang boleh mengaibkan pihak lain. Nah..apabila saya pula diperlakukan seperti itu, wajarlah saya merasa sedih dan terluka yang amat sangat, apantah lagi jika fitnah itu datang dari rakan ataupun saudara mara yang dikenali. Adakah saya terlalu sensitif? Seorang kawan pernah memberi tazkirah bahawa kita boleh memaafkan, tetapi kita tidak boleh melupakan (Forgive not forget). Maafkan saya Ya Allah kerana terlalu lemah dengan bisikan syaitan.

Mr. A ada berkata, kita bercakap dengan orang, sama ada untuk tujuan dakwah ataupun menyampaikan ilmu, mestilah sesuai dengan kadar aqalnya. Benar, saya amat setuju dengan kaedah itu. Saya masih cuba belajar menerima kekurangan orang lain yang mungkin jahil, tidak faham, tidak matang, malah jauh sekali saya ingin melabel atau menjatuhkan hukum atas kesalahan yang mereka lakukan. Meskipun kadangkala saya merasakan alasan 'kejahilan' mereka memberi kelonggaran untuk mereka berbuat sesuka hati dan melukai orang lain adalah sesuatu yang tidak adil. Namun yang pasti, sebagai individu yang kerdil serta punya kekurangan dari pelbagai aspek, saya juga tidak boleh menipu diri sendiri dengan mengatakan saya tidak terluka dengan semua itu. Maafkan saya!








Monday, January 18, 2010

ZURIAT...



Saya dan M (sahabat baik) selalu bertukar perasaan mengenai hal ini. M sudah hampir 5 tahun berkahwin belum lagi dikurniakan zuriat, manakala saya sudah hampir 4 tahun. Kadangkala kami berdua terdiam sahaja bila rakan-rakan bercerita mengenai topik ini. Maklumlah kami tidak tahu nak cerita apa lagi..takkan nak cerita ragam suami pula...heheh...tak sesuaiiiii....

Saya tidak ingat dalam surah apa Allah berfirman mengenai " Harta, anak-anak dan para isteri adalah ujian bagi hambaNya".

Kadangkala mendengar rakan-rakan memberikan alasan anak sebagai tidak boleh 'perform' dalam kerja atau tugas saya merasakan ianya tidak adil. Kasihan anak itu yang tidak berdosa. Kehadirannya dianggap beban kerana menyebabkan si ibu sering menjadikan anak alasan untuk tidak dapat menjalankan tugas dengan baik.

Benarlah, apabila kita tidak memiliki sesuatu, kita sering memintanya dari Allah swt agar diberikan nikmat itu. Namun cepat benar kita lupa setelah kita diberikan apa yang kita inginkan. Adakah saya juga akan jadi seperti itu kelak? Ada suara sinis berkata "tak ada anak, tak tahulah". Kata-kata ini seakan satu belati tajam menghiris tangkai hati...adakah bila kita tidak mempunyai zuriat maka kita tidak punya naluri keibuan? Adakah kita perlu mengalami rasa sakit akibat jatuh barulah kita faham apa itu erti luka dan kesakitan? adakah bila kita baru mempunyai anak, barulah kita merasakan naluri ibu dan ayah wujud? Bukankah kita dikelilingi anak-anak saudara, adik beradik yang turut menumpang kasih serta menyayangi kita?

Kata-kata ini tidak perlu dijawab bagi mereka yang senasib saya dan M. Kami berdoa jika dalam kehidupan ini kami tidak memiliki zuriat sendiri, kami memohon Allah menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik yang kami sendiri tidak mengetahuinya.Insya Allah.

Thursday, January 14, 2010

MINYAK WANGI DAN LOTION



Petang semalam hujan turun selebat-lebatnya. Saya agak terganggu bila diberitahu ada seorang pelajar ingin bertemu kerana masalah yang dihadapinya. Bila saya maklumkan kepada kerani agar dapat mencadangkan seorang pegawai yang lain, pelajar itu menolak. Katanya dia tetap nak berjumpa saya juga. Rasa berat hati untuk menerima beliau, tetapi melihat suasana hujan saya merasakan pasti masalah ini sangat besar, jika tidak masakan beliau sanggup meredah hujan seperti ini. Bukan saya sombong, tetapi mengejar dateline untuk menyiapkan kertas kerja dan pelbagai perkara lain menyebabkan saya sangat menghargai dan cermat menggunakan masa.

OOOoohh..rupanya pelajar yang saya gelarkan I ini pernah mengirim e-mail kepada saya sebelum ini. Masalah yang beliau hadapi menyebabkan I tidak selesa untuk bergaul dengan rakan-rakan. I menghadapi masalah bau badan yang kuat (tapi sepanjang saya berbual dengannya tidak ada bau langsung!!). I menangis, rasa tertekan yang teramat sangat. Saya memahami perasaannya kerana saya pernah mendapat rakan sebilik semasa di Universiti dahulu yang mempunyai bau badan yang sangat kuat. Yang peliknya beliau tidak tahu langsung badannya berbau!! Namun pelajar yang bernama I ini sangat 'alert' mengenai hal ini. Saya amat kagum dengan dirinya.

Datang dari sebuah keluarga yang susah, mempunyai masalah kewangan yang agak kronik. Ibu mengambil upah mengasuh anak-anak jiran. I meletakkan saya dalam nostalgia di mana ibu saya juga pernah mengambil upah mengasuh anak-anak jiran. Paling mengkagumkan, ke semua anak jiran yang dijaga mak berjaya masuk ke universiti. Ada yang menjadi Doktor, Akauntan dan macam-macam lagi. Saya selalu cakap kepada mak, ni berkat makanan yang kita bagi mereka makan.Insya Allah.

Di hujung perbualan saya memberikan sebotol lotion badan (jenama Body Shop) yang belum digunakan lagi dan sebotol perfume (One Drop Perfume) yang juga belum digunakan kepadanya, saya hanya bawa dalam beg tangan tetapi langsung tidak pernah menggunakannya. Mr A belikan pada saya sedikit masa dulu (nanti balik kena mohon maaf kepada Mr A sebab berikan pemberiannya kepada orang lain). I nampak sebak dan terharu dengan pemberian saya, mungkin bagi seorang pelajar miskin sepertinya ianya sesuatu yang diluar jangkaan. Namun bagi saya ianya tidak seberapa berbanding keseronokaan hati saya melihat wajah ceria beliau ketika bersalaman dengan saya.
Patutlah saya langsung tidak sempat menggunakan ke dua-dua benda ini. Rupanya rezeki, barang, wang dan semua harta kita ada juga hak orang lain didalamnya.Saya juga menasihatinya, wangian ini jangan sampai menimbulkan fitnah,pakai mengikut keperluan (saya bimbang dikira bersubahat dalam hal-hal haram) harap dapat bantu mengurangkan rasa tidak selesa beliau. Maklumlah pelajar mana mampu untuk membeli semua ini. Saya pula terbeli tetapi tidak pakai...Rupanya benarlah dalam harta kita yang dimiliki, pasti ada hak orang lain juga.

Semoga masalah dan rasa rendah diri beliau dapat dikurangkan. Insya Allah.