Wednesday, May 13, 2009

KENANGAN




Hari ini merupakan hari ke 7 abah meninggalkan dunia yang fana ini. Ntah kenapa, satu demi satu kenangan bersama abah bermain di birai mata saya, terutama semasa hendak tidur. Mr A ada mengatakan saya mengigau memanggil nama abah semasa tidur. Mungkin kerana saya terkilan tidak dapat memohon maaf darinya semasa beliau sakit.

Memang saya rasa sangat terkilan...saya memohon pada Allah agar mengampunkan dosa saya pada abah, banyak yang belum saya tunaikan impian abah. Abah mahu sangat melihat saya menyambung pelajaran ke peringkat Master. Beliau sebenarnya sangat cerdik tentang akademik meskipun hanya berkelulusan SRP sahaja semasa zamannya. Pernah sekali saya terdengar abah bertanya kak yang bila mahu menyambung pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah. Sememangnya kami anak-anak perempuan abah sangat menjadi kebanggaannya. Itu yang saya rasa.

Kadang kala bila berada di jalan raya, abah suka memuji mana-mana kereta yang cantik yang memotong 'kancil' kesayangan saya. Abah akan kata 'wadah, ko beli yang ni', abah dapat duduk belakng pun kira ok. Abah tahu saya suka kereta Honda, tidak hairanlah jika semasa saya dan abah di dalam kereta, abah pasti akan menunjukkan kereta tersebut kepada saya.

Abah bukan materialistik, tapi abah nak menunjukkan pada orang-orang yang berada disekeliling kami bahawa abah sudah berjaya menjadikan anak-anaknya terpelajar dan berkerjaya. Dahulu abah dan mak sangat miskin, malah semasa berhijrah ke KL dengan mak 40 tahun yang lalu, kami adik beradik tidak dibenarkan bermain dengan cucu-cucu tuan rumah yang kami sewakan dengan alasan kami ini 'pendatang'. Walaupun hal itu sudah lama berlalu, namun saya tahu abah masih terasa hingga akhir hayatnya. Ini terbukti bila beliau sangat bangga apabila kami dapat melanjutkan pelajaran ke Universiti.

Kenangan bersama abah sentiasa berada dalam ingatan dan hati saya. Meskipun abah telah tiada, segala nasihat, didikannya akan saya ingat hingga mati. Hati saya tetap merasa bangga kerana Allah telah metakdirkan abah menjadi ayah saya. Saya amat bersyukur dan gembira meskipun masih belum puas berbakti kepada abah.