Tuesday, September 29, 2009

MERTUA



Ini adalah mertua saya (abah dan mak). Panggilan yang sama juga yang saya gunakan untuk arwah abah dan mak kandung saya. Tidak ada kejanggalan apabila memanggil mereka buat pertama kali tiga tahun yang lalu, dengan panggilan itu kerana saya sudah 29 tahun menggunakan panggilan itu di rumah selama ini.

Gambar ini dirakam pada hari raya yang lalu. Abah seorang yang sangat 'sporting' berbeza dengan arwah Abah yang agak tegas. Mak pula sama sahaja dengan mak kandung. Hebat dalam pelbagai masakan yang enak-enak. Membuatkan kita asyik rindu pada air tangan mereka. Saya kira Mr A pasti nak jaga hati saya bila saya selalu tanya masakan siapa lagi sedap (sekadar nak test power), mak atau saya?. Lalu Mr A akan jawab, masing-masing ada keenakan dan keistimewaan tersendiri. Bagi saya jawapan ini adalah jawapan menyelamat yang 'standard' bagi soalan yang mungkin boleh buat para isteri mogok tidak mahu masak lagi...ehhehe (jahatnya saya).

Meskipun sudah 3 tahun berkahwin dengan anak kesayangan mereka Mr A, namun saya masih juga kelam kabut apabila diberitahu mereka akan datang ke rumah hari ini untuk membawa adik ipar menghadiri temuduga di Bangi. Dari Ahad lepas hingga malam tadi, saya tidak berhenti-henti mengemas rumah. Ada saja benda yang saya lihat tidak enak di mata. Meskipun rumah sewa yang saya dan suami diami buat masa ini kecil, saya berharap mereka selesa apabila berada di rumah kami.

Abah mertua saya sangat pandai memasak. Resepi rendang hitam beliau popular di Kuala Lipis. Saya juga sudah ketagih bila makan pada kali pertama dahulu (gambar rendang akan saya upload kemudian), dengan bantuan mak masakan menjadi semakin sedap. Saya terfikir bilalah saya boleh masak sesedap ini?? Untuk ramai orang?? Saya sebenarnya takut untuk menjamu orang makan (terutama yang datang dalam kelompok yang ramai). Ntah apa rasanya bila masak dalam kuantiti yang banyak. Semua jadi lari....

Bersama Abah mertua, saya menumpang kasih...namun masakan sama dengan arwah abah. Sesekali saya rindu suara tegas arwah abah memarahi kami. Namun saya bersyukur memiliki mertua yang sudi menerima saya seadanya dan sangat menghargai. Terima kasih Mak Abah!

Friday, September 25, 2009

Karya Islam

saya mengambil artikel ini dari blog Puan Ainon. PTS sedang memasarkan buku-buku karya pakar Psikologi Islam. Insya Allah, jika berkesempatan saya akan membeli buku ini.

PTS Menerbitkan Karya-karya Pakar Psikologi Islami Klasik


Ibnu Qayyim adalah salah seorang pakar psikologi Islami yang sangat terkenal.
Beliau lahir hampir 800 tahun yang lalu, iaitu pada tahun 1292 Masehi di kota Damsyik, Syria.
Sebagai contoh, menurut Ibnu Qayyim, tingkah laku menangis dapat dikategorikan ke dalam 10 jenis tangisan:
a. Air mata yang tercetus oleh emosi kasih sayang, dan hati yang lembut.
b. Tangisan yang disebabkan oleh perasaan amat takut.
c. Air mata yang disebabkan oleh rasa cinta.
d. Air mata gembira.
e. Tangisan yang disebabkan oleh penderitaan.
f. Air mata kesedihan.
g. Air mata yang mengalir disebabkan diri berasa lemah dan hina.
h. Air mata belas kasihan.
i. Menangis kerana terikut-ikut orang lain menangis.
j. Tangisan hipokrit, yakni pura-pura.


Jadi, biasanya air mata kita yang jatuh dalam kategori manakah?

1 SYAWAL




Saya berhari raya di Kampung suami di Kuala Lipis pada hari raya pertama dan ke dua. Meneruskan destinasi ke KL untuk beraya dengan mak di sana. Ternyata suasana rumah amat berbeza. Gamabr di atas adalah gambar mak dan nenek seblah arwah abah.

Tahun ini masih tidak sempat bergambar bersama, kerana dua orang kakak dan saya sendiri tidak dapat beraya bersama mak kerana giliran di rumah mertua. Saya berbual-bual dengan mak di dalam bilik, adakalanya mak menangis diikuti saya yang sebak. Terasa benar kehilangan abah. Kalau dulu setiap kali raya pasti akan saya agihkan duit raya untuk abah, tahun ni bahagian abah saya berikan pada mak. Tentu tidak sama nilainya dengan kehadiran abah.

Persiapan raya amat sederhana,tiada langsir baru atau set sofa baru di rumah mak. Sebenarnya saya ada belikan kain langsir untuk mak sebelum abah meninggal, tetapi mak tidak berminat untuk menjahitnya lagi. Mungkin dia tidak bersemangat untuk beraya. Mujurlah malam itu kak yang sekeluarga pulang (kak yang masih dalam pantang, baru 20 hari melahirkan anak) untuk bersama-sama mak. Mak walaupun masih boleh berjenaka dengan kami saya tahu dia sedih. Setiap kali saya bersamanya di dalm bilik, pasti kami akan berbual-bual tentang abah. Saya rasa seperti zaman kanak-kanak dan remaja apabila tidur disebalh mak (masa sakit kecil-kecil dulu saya selalu tidur dengan abah).


Malam seterusnya kami membuat BBQ..simple-simple sahaja. Saya membuat ayam madu yang diperap, suami memerap daging kambing, abang ipar dan abang membeli otak-otak dan sosej untuk dibakar. Jamuan ini untuk untuk meraikan budak-budak di rumah dan keluarga mak ngah.Kebetulan sahabat baik abah datang untuk ziarah, jadi dapatlah kami makan bersama-sama. Gambar akan saya masukkan kemudian.

Friday, September 18, 2009

AIDILFITRI YANG AMAT BERBEZA




Hari ini saya masih bekerja. Saya masih perlu menyiapakan kertas kerja untuk program besar pada Mac 2010 kelak. Itu portfolio yang baru saya pegang...sebenarnya ada 3 projek yang perlu saya buat. Malah selepas raya, sudah ada program yang besar menanti.Bos pula macam tak sabar-sabar untuk melihat saya mula dengan tugas baru ini meskipun tarikh lantikan hanyalah pada 1 Jan 2010. Agaknya waktu raya pun saya akan mimpikan hal-hal kerja nie.

Terasa kelainan kali ini apabila semakin hampir nak beraya. Boleh dikatakan apa saja iklan, lagu yang saya lihat tentang ayah dan ibu saya pasti sebak. Kali ini Syawal pasti sangat berbeza. Hajat dihati ingin menemani mak yang sudah tiada teman disisinya. Namun saya perlu juga memikirkan perasaan keluarga mertua yang pastinya akan menunggu suami dan saya pulang.

Abang selalu kata bila saya datang pasti bising rumah mak dan abah. Dulu masa remaja, saya selalu marah bila abang suruh saya diam, sekarang tidak lagi. Saya berharap suara sayaakan buatkan mak ceria meskipun sedikit.Saya sebak dan menangis diam-diam, malu bila orang tanya 'nie menangis tak pasal-pasal'...jadi menangis diam-diam itu lagi baik kot.

Abang saya mewarisi perangai arwah abah....sama....cuma abah agak sejuk sikit sejak arwah sakit. Dulu semasa belajar di U, setiap kali abah ambil saya pulang dari stesen bas, sampai sahaja rumah saya akan mula 'melaporkan' semua yang terjadi pada mak dan akak. Ada jer cerita saya, riuh rendah saya bercakap, itu belum campur dengan kehadiran kak yang yang agak gila-gila. Tapi kami gila-gila yang ada kelasss...hahahah...itu ayat saya pada abang apabila beliau meminta saya berhenti bercakap. Kesudahannya abang akan cakap korang ni tak sudah-sudah lagi ke sembang?? Dan meninggalkan kami dengan muka yang muncung.

Hubungan kami memang pelik, didikan mak abah buat kami adik beradik boleh menegur satu sama lain secara direct. Mula-mula mungkin akan terasa hati, tapi bila giliran orang lain situasi akan menjadi sama juga.

Syawal kali ini tentu berbeza, pasti mak akan ke kubur arwah abah selepas solat sunat aidilfitri.Sesuatu yang tidak kami pernah lakukan ketika hayat abah ada. Sedih yang teramat, setiap kali saya turun dari kereta untuk menziarahi kubur abah, saya pasti akan berkata dalam hati "Assalamualaikum,abah, saya datang nie". Saya pernath terbaca dalam satu kisah zaman sahabat, Nabi memberitahu, si mati tahu jika ahli keluarganya datang menziarahinya. Jikalah saya tahu, Aidilfitri tahun lalu adalah yang terakhir buatnya… Insya Allah abah, kami pasti akan ke sana juga satu masa nanti.

Ya Allah, berilah kami kekuatan menghadapi Syawal ini. Semoga Syawal kali ini dapat mendidik hati kita semua untuk lebih cinta kepadaNya. Insya Allah.

Tuesday, September 8, 2009

LANTIKAN




Jumaat lepas saya dipanggil oleh ketua untuk 'mengadap'. Ntah kenapa saya suka menggunakan istilah ini. Apabila kerani memaklumkan perjumpaan itu, saya menjadi pelik, kenapa tidak semua pegawai dipanggil? Ada yang tidak kenakah? Lalu saya mencongak-congak mungkin ada saya buat sesuatu yang tidak baik minggu ini...namun tidak bertemu jawapannya.

Nah..rupanya saya diberikan satu portfolio baru. Sebagai Penyelaras......menitik air mata saya di atas kertas yang diserahkan senarai tugas terbaru saya. Saya pandang wajah empat lagi rakan...kesemuanya nampak tenang dan positif, Tetapi tidak saya. Saya keliru teramat.

Petang, saya dipanggil oleh ketua secara sendirian, sebenarnya memang saya mahu bertemunya selepas makluman pagi tadi, tetapi kesibukkan beliau membuatkan saya menangguh pertemuaan tersebut.

Akhirnya terluah jua apa yang terbuku sejak dipanggil pagi tadi...kenapa saya? saya masih baru...lagipun saya tidak berpengalaman dan tidak minat dalam tugas baru ini kerana ianya bukan kecenderungan saya. Malah tugas ini sangat besar, bukan sekadar tenaga, malah memerlukan masa dan komitmen yang tinggi. 4 progra,besar dipegang oleh saya seorang? Ini bukan program syok sendiri yang biasa orang buat. Gerak kerjanya bermula setahun awal...sehingga hari kejadian.

Jawapan ketua mudah. Ini arahan Menteri yang mahukan program pemantapan Kerjaya pelajar lebih ditekankan dan saya orang yang paling layak berdasarkan prestasi kerja saya beberapa tahun ini...Aduhai...soal Pak Menteri timbul lagi...Saya lelah dengan semua niee...

Lama juga saya termenung, air mata tidak tumpah meskipun segalanya nampak kabur. Saya keraskan hati...nak tak nak kena terima. Itu arahan ketua. Saya tidak punya pilihan. Hampir kesemua rakan-rakan meminta saya berfikiran positif, malah bos ke dua juga dengan mudah meminta saya terima dan katanya saya boleh buat. Aduhai...berat mata memandang berat lagi bahu saya memikul. Betullah, kita tidak akan merasainya selagi kita sendiri tidak mengalaminya. Kata-kata sabar itu seperti menyiram air ke daun keladi. Langsung tidak berbekas di hati saya. Mudahnyaa menjadi orang di luar sana....

Petang Jumaat lepas, saya menjadi lemah,kecewa, terkilan...malah saya rasa semakin letih dengan semua ini. Walaupun tarikh lantikan bermula Januari 2010, namun saya telah diarahkan memantau 2 program besar yang akan bermula sekarang hingga Februari depan.

dalam surah Al Baqarah Allah telah berfirman " Barangkali apa yang tidak kamu sukai itu baik untuk kamu dan begitu juga sebaliknya". Lemahnya saya, saya tidak mampu menerima ujian ini.

Dalam solat saya panjatkan doa kepada Allah swt, agar memudahkan segala urusan dan tugas baru kelak meskipun saya merasakan sangat terhimpit dengan minat sendiri dan kehendak pihak atasan yang semakin merumit hari demi hari....

Thursday, September 3, 2009

Baiti Janati (Rumahku Syurgaku)




Gambar di atas adalah gambar anak-anak buah saya. Penah saya tunjukkan sebelum ini. Dari salah satu ruang di rumah keluarga saya (tempat saya di didik).

Episod tentang rumah masih rancak dibibir saya dan semakin kerap dibincangkan bersama Mr A. Banyak perkara yang perlu difikirkan, banyak juga duit yang perlu dibelanjakan.

Teringat rumah keluarga saya di KL. Rumah itu adalah hasil titik peluh abah dengan gaji yang tidak seberapa ketika itu. Namun demi memastikan kami mempunyai rumah abah dan mak bekorban banyak untuk rumah ini.

Rumah keluarga saya sangat simple, tanpa perabot yang mahal-amahl atau hiasan-hiasan yang canggih. walaupun semasa zaman remaja dulu, saya ingin sekali menghias rumah tetapi hasrat selalu terbantut apabila bertahan sekejap sahaja. Maklumlah mak mengasuh anak-anak jiran, rumah bersepah dan kotor. Adakalnya saya naik angin dengan keadaan rumah apabila balik dari sekolah.

Apabila semakin dewasa, saya mengerti, bukan hiasan fizikal yang abah dan mak inginkan dalam rumah ini. Sebaliknya pengisian penghuninya dengan ilmu dan kefahaman lagi penting dari segala-gala hiasan di dalam rumah. Dulu saya malu nak ajak rakan-rakan ke rumah, tetapi sekarang tidak lagi. Bagi saya mak dan abah menjadikan rumah kami seperti syurga kecil didunia ini.

Saya terbaca blog Ustaz Hasrizal mengenai kenagan yang selalu kita ingat. Adakah bila kita asyik mengenang kenangan tersebut bermakna kita bahagia? MUngkin lebih bahagia dari sekarang? Setiap orang mempunyai jawapannya sendiri. Kenangan yang menjadikan kita lebih insaf, apa salahnya untuk diingati bukan? Muhasabah diri yang perlu dibuat berterusan.

Apabila sudah berkahwin saya juga agak malu dengan Mr A apabila dia melihat rumah saya. Maklumlah rumah saya sangat sederhana, tiada set sofa yang mahal, almari antik mahupun hiasan-hiasan di dinding seperti rumah-rumah yang lain sekarang. Rumah abah dan mak saya hanya ada 3 almari yang penuh dengan kitab-kita dan buku-buku lama abah. Tafsir Imam Bukhari dan pelbagai. Satu almari buku yang menempatkan buku-buku saya, sofa yang baru saya beli tahun lepas (tetapi kerana murah, ianya macam dah tidak selesa), sebuah meja makan, dan sebuah mesin jahit kepunyaan mak.

Itulah rumah saya, namun rumah saya inilah tempat saya belajar segala-galanya tentang kehidupan, kepayahan, kefahaman tentang Islam. Rumah saya berhadapan dengan surau. Surau ini menjadi kesayangan abah dan mak. Malah saya juga...Malah surau inilah yang menempatkan jenazah abah ketika Allahyarham Abah hendak dimandi dan difankan oleh sahabt-sahabat, menantu dan anak-anak lelakinya.

Semoga rumah saya kelak akan menjadi syurga seterusnya menjadi sebuah Rumah Manis yang diidami oleh Mr A dan saya, yang mana penuh barakah, Mawaddah dan Rahmah. Insya Allah.

Tuesday, September 1, 2009

RUMAH




Terkejut bukan kepalang saya petang ni, bila saya menelefon pemaju, dan mereka mengatakan rumah sudah siap. Kemungkinan dalam bulan 10 sudah boleh ambil kunci. Eisshh...biar betul, dalam perjanjian saya dapati tarikh serahan pada Februari 2010 sepatutnya. Apabila saya tanya kepada orang yang menguruskan hal ini, beliau mengesahkannya. Alhamdulillah...sebelum Ramadhan baru ni, saya dan Mr A ada pergi melawat, memang nampak semua dah ada cuma sedang buat jalan sahaja. Risau juga sebab banyak sangat dengar kes projek terbengkalai.

Saya berdoa, Allah memudahkan segala urusan saya dan Mr A apabila hendak berpindah kelak. Jauh di sudut hati sebak, mengingatkan abah tidak berkesempatan melihat rumah saya meskipun arwah yang menjadi saksi saya dalam semua dokumen jual beli yang lalu.
Al Fatihah untuk abah. Semoga abah mendapat istana dari permata di dalam syurga yang lebih nikmat dari semua rumah yang ada di dunia ini. Amin.