Monday, June 8, 2009

BAKAT

Semasa di sekolah dahulu, saya selalu menulis puisi. Menghantar ke majalah sekolah dengan menggunakan nama pena "Semilir". Ntah macam mana saya mendapat nama itu, cuma saya ingat saya suka membaca sehingga bertemu perkataan tersebut. Malah saya pernah ditanya di dalam kelas oleh Cikgu Yusny mengenai beberapa perkataan yang saya guna setiap kali ujian penggal dijalankan.

Malah semasa pertandingan di sekolah dahulu, saya sudi membuatkan puisi untuk seorang kawan, dia berjanji kalau menang hadiah dibahagikan. Namun apabila menang saya tidak diendahkan. Saya geram sungguh waktu itu. Saya mengadu pada mak. Mak kata pada saya " lain kali jangan letak nama orang lain". Sedihnya.

Namun semua itu tinggal kenangan, bakat yang ada saya biarkan sepi, saya cukup yakin dengan kemampuan saya menulis. Ini terbukti semasa saya meningkat dewasa, ada saja rakan merujuk kepada saya untuk menulis. Malah pencapaian ini terbukti dalam peperiksaan SPM apabila saya mendapat Anugerah Pelajar Cemerlang bagi matapelajaran Bahasa Melayu.

Kini apabila sudah mempunyai blog sendiri, saya cuba mengembalikan saat-saat itu...menulis dan terus menulis... Malah saya pernah menulis cerpen pendek namun 'tersepuk' dibawah kain-kain baju di dalam almari.

Apabila saya membaca blog Puan Ainon dari PTS saya memberitahu suami suatu hari kelak jika diizinkan Allah, saya ingin sangat mengikuti bengkel penulisan yang dikendalikan oleh Puan Ainon. Suami menyokong hasrat saya malah menggalakkan saya untuk menulis. Semoga hasrat ini menjadi kenyataan.