Wednesday, January 27, 2010

PAKCIK USOP

Mak (berdiri) bersama cik Leha dan pakcik Usop, Aidilfitri 2009.

Sebelum subuh lagi saya sudah mendapat sms dari kakak yang memberitahu pakcik Usop meninggal dunia. Inallillah....Allahyarham pakcik Usop merupakan jiran serta kawan baik mak dan arwah Abah. Mereka mempunyai 3 orang anak, Kak Mai, Kak Ain dan Fathu yang mana anak-anak mereka sebaya dengan abang dan kak yang.
Saya tergamam seketika kerana terasa masih terlalu baru menziarahinya ketika Aidilfitri pada bulan September yang lalu. Namun siapalah kita untuk melawan takdirNya. Pakcik Usop mengidap kanser paru-paru. Ketika kami iaitu saya, mak, abang, kak yang, adik dan kakak serta kelurga kami datang menziarah dirumahnya, pakcik usop sudah terlantar tidak mampu berjalan lagi. Malah ketika hendak ke tandas pun beliau dipapah oleh abang. Abang pula saya lihat sibuk memicit-micit kaki arwah pakcik Usop. Mungkin abang teringat arwah abah yang sangat rapat dengan pakcik Usop. Saya pula tak boleh nak lihat suasana macam tue, saya memerhati dari jauh sambil memasang telinga mendengar perbualan mak dan Cik Leha.
Terkenang cerita mak dan arwah Abah sebelum ini. Semasa kami menyewa di Segambut dahulu, mereka jiran serta kawan baik mak dan abah. Cik Leha yang berasal dari Singapura sangat baik serta ramah orangnya. Pakcik Usop pula lebih pendiam tetapi sangat membantu dalam hal-hal keluarga kami. Abah bercerita lagi, semasa abah dan mak terputus wang, merekalah yang menghulurkan bantuan. Sebab itu abah ada berpesan kepada kami adik beradik mengenai beberapa orang rakannya yang kami perlu bantu dan berterima kasih kerana mereka ini pernah berjasa pada keluarga kami. Keluarga pakcik Usop adalah salah satu darinya.
Cik Leha pula kalau berbual dnegan mak, riuh rendah jadinya. Begitu juga jika melayan telatah kami 5 beradik terutama abang. Cik Leha yang sangat terkenal dengan lontong Singapura yang sedap, sering menjadi mangsa abang yang asyik memintanya masak setiap kali hendak bertandang ke rumahnya. Malah pada Aidilfitri yang lalu, Cik Leha turut menjamu kami dengan lontong kegemaran abang. Betapa kasihnya pada kami yang membesar dihadapannya. Mungkin beliau masih teringat abang dan kak yang yang sebaya dengan anak-anaknya menggalas beg ke sekolah/tadika bersama-sama dahulu.
Itulah hubungan dua keluarga yang merantau di negeri orang, lalu disatukan hati-hati mereka dalam kepayahan menghadapi kehidupan. Benarlah, susah untuk bertemu orang luar yang sanggup membantu kita dengan ikhlas sedangkan mereka tidak langsung mempunyai hubungan mahupun pertalian saudara dengan kita. Yang menghubungkan 2 keluarga kami adalah hubungan saudara sesama Islam .
"Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat) dan memanglah Ia Maha Kuasa ke atas tiap-tiap sesuatu". (surah Al Mulk; 1)
Saya berdoa, semoga Arwah pakcik Usop ditempatkan dikalangan orang yang soleh. Semoga kebaikkan yang arwah lakukan mendapat ganjaran disisi Allah. Al Fatihah untuk pakcik Usop yang dikasihi....

Tuesday, January 26, 2010

SURAT PERINGATAN


Semalam saya menerima surat peringatan berkenaan kesilapan memasukkan markah pelajar. Pelajar tersebut yang sepatutnya lulus, mendapat A telah gagal (F)...kalau saya jadi pelajar itu pun saya pasti mengamuk. Lalu saya diminta menjawab secara bertulis berkenaan hal ini.

Alkisahnya, saya sudah memaklumkan kepada semua pelajar agar memasuki kelas yang mereka register di awal semester. Namun masih ada yang tidak mahu berganjak, kononya suka dengan kelas saya (ni ada unsur-unsur riak dan bangga sikit, bila menaip) Bagi yang namanya di group lain, saya memohon mereka ke group tersebut. Namun kecuaiannya saya juga kerana tidak tahu bahawa pelajar lelaki yang bernama 'R' ni masih dalam group saya sedangkan namanya di dalam group yang lain. Ini kerana ada pelajar yang dari group lain tetapi mahu belajar di kelas saya ada memaklumkan hal ini kepada saya. Tetapi 'R' tidak berbuat demikian. Lalu semasa keputusan peperiksaan keluar, beliau menelefon saya bertanya mengapa beliau gagal? Saya dengan selamba boleh menjawab, "eh..kelas saya tak ada yang gagal lah" Rupanya markah gagal tersebut diberi oleh pengajar di dalam group tersebut kerana beliau mendapati "R" tidak memasuki langsung kelasnya dan tidak dapat dihubungi.

Paling mengejutkan, pengajar tesebut adalah Mr A(beliau membuat part time di tempat saya) alahai....nampak sangaat kami di rumah tak sempat berinteraksi....suami menjelaskan beliau sudah meminta rakan-rakan pelajar tersebut mencari si "R" namun tidak berjaya, malah "R" tidak memaklumkan kepadanya. Jika saya tahu, passti saya sudah menyerahkan markah beliau kepada Mr A untuk dimasukkan sebab pelajar yang seorang lagi, saya telah memaklumkan kepada jurulatihnya.

Aduahaii....betapa kerdilnya saya..."Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah kami rahmat kepada kami. Engkaulah penolong kami, oleh itu tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir". (Al Baqarah, 286)

Dalam keadaan yang agak bimbang, saya menghubungi pihak yang mengirim surat "puan jawab jer surat tue, itu keperluan ISO jer sebenarnya" Fffuuhhh....saya menarik nafas lega walaupun di dalam hati saya resah tidak terkira.

Thursday, January 21, 2010

DOA AGAR TERSELAMAT DARIPADA GOLONGAN YANG JAHAT


Sejak akhir-akhir ini ada beberapa ayat yang saya amalkan hasil dari pembacaan dari buku 101 Doa Para Nabi&Rasul dalam Al Qur'an, Khasiat&Kaifiat Beramal yang disusun oleh Ustaz Hj Zahazan Mohamed. Buku ini wajar dimiliki oleh kita dalam mengharungi kehidupan hari ini. Rasulullah s.a.w bersabda "Doa itu senjata bagi orang Mukmin".

Lalu saya mula menghafal beberapa potong ayat, anataranya dari Surah Al-A'raf ayat 47 yang bermaksud " Wahai Tuhan Kami! Janganlah Engkau jadikan kami bersama orang-orang yang zalim".

Ada seorang rakan berkata kepada saya " U doalah banyak-banyak, minta dapat anak sebab sekarang U sedang dizalimi" . Bukankah doa orang teraniaya itu makbul? Aduihaii...kadang-kadang saya amat rindukan bos lama yang sangat melindungi anak buahnya. Katanya, kalau kena marah dengan pihak atasan, kami semua boleh menyorok belakang beliau. Main-main macam anak-anak ayam. Suasana itu benar-benar saya rindui sejak akhir-akhir ini. Namun kini beliau sudah tidak bersama kami. Beliau mohon ditukarkan ke tempat lain kerana banyak sungguh ujian yang beliau hadapi di sini dalam menyampaikan kebenaran. Benarlah, bila kita berkata benar dengan menapis semua perkataan agar tidak kelihatan menentang, namun kita dilabel juga negatif dan melawan. Kita dikatakan defensif.

Namun sebagai insan yang lemah, malah saya juga banyak kekurangan saya selalu berpesan pada diri tidak sesekali menzalimi orang lain. Apantah lagi membuat fitnah yang boleh mengaibkan pihak lain. Nah..apabila saya pula diperlakukan seperti itu, wajarlah saya merasa sedih dan terluka yang amat sangat, apantah lagi jika fitnah itu datang dari rakan ataupun saudara mara yang dikenali. Adakah saya terlalu sensitif? Seorang kawan pernah memberi tazkirah bahawa kita boleh memaafkan, tetapi kita tidak boleh melupakan (Forgive not forget). Maafkan saya Ya Allah kerana terlalu lemah dengan bisikan syaitan.

Mr. A ada berkata, kita bercakap dengan orang, sama ada untuk tujuan dakwah ataupun menyampaikan ilmu, mestilah sesuai dengan kadar aqalnya. Benar, saya amat setuju dengan kaedah itu. Saya masih cuba belajar menerima kekurangan orang lain yang mungkin jahil, tidak faham, tidak matang, malah jauh sekali saya ingin melabel atau menjatuhkan hukum atas kesalahan yang mereka lakukan. Meskipun kadangkala saya merasakan alasan 'kejahilan' mereka memberi kelonggaran untuk mereka berbuat sesuka hati dan melukai orang lain adalah sesuatu yang tidak adil. Namun yang pasti, sebagai individu yang kerdil serta punya kekurangan dari pelbagai aspek, saya juga tidak boleh menipu diri sendiri dengan mengatakan saya tidak terluka dengan semua itu. Maafkan saya!








Monday, January 18, 2010

ZURIAT...



Saya dan M (sahabat baik) selalu bertukar perasaan mengenai hal ini. M sudah hampir 5 tahun berkahwin belum lagi dikurniakan zuriat, manakala saya sudah hampir 4 tahun. Kadangkala kami berdua terdiam sahaja bila rakan-rakan bercerita mengenai topik ini. Maklumlah kami tidak tahu nak cerita apa lagi..takkan nak cerita ragam suami pula...heheh...tak sesuaiiiii....

Saya tidak ingat dalam surah apa Allah berfirman mengenai " Harta, anak-anak dan para isteri adalah ujian bagi hambaNya".

Kadangkala mendengar rakan-rakan memberikan alasan anak sebagai tidak boleh 'perform' dalam kerja atau tugas saya merasakan ianya tidak adil. Kasihan anak itu yang tidak berdosa. Kehadirannya dianggap beban kerana menyebabkan si ibu sering menjadikan anak alasan untuk tidak dapat menjalankan tugas dengan baik.

Benarlah, apabila kita tidak memiliki sesuatu, kita sering memintanya dari Allah swt agar diberikan nikmat itu. Namun cepat benar kita lupa setelah kita diberikan apa yang kita inginkan. Adakah saya juga akan jadi seperti itu kelak? Ada suara sinis berkata "tak ada anak, tak tahulah". Kata-kata ini seakan satu belati tajam menghiris tangkai hati...adakah bila kita tidak mempunyai zuriat maka kita tidak punya naluri keibuan? Adakah kita perlu mengalami rasa sakit akibat jatuh barulah kita faham apa itu erti luka dan kesakitan? adakah bila kita baru mempunyai anak, barulah kita merasakan naluri ibu dan ayah wujud? Bukankah kita dikelilingi anak-anak saudara, adik beradik yang turut menumpang kasih serta menyayangi kita?

Kata-kata ini tidak perlu dijawab bagi mereka yang senasib saya dan M. Kami berdoa jika dalam kehidupan ini kami tidak memiliki zuriat sendiri, kami memohon Allah menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik yang kami sendiri tidak mengetahuinya.Insya Allah.

Thursday, January 14, 2010

MINYAK WANGI DAN LOTION



Petang semalam hujan turun selebat-lebatnya. Saya agak terganggu bila diberitahu ada seorang pelajar ingin bertemu kerana masalah yang dihadapinya. Bila saya maklumkan kepada kerani agar dapat mencadangkan seorang pegawai yang lain, pelajar itu menolak. Katanya dia tetap nak berjumpa saya juga. Rasa berat hati untuk menerima beliau, tetapi melihat suasana hujan saya merasakan pasti masalah ini sangat besar, jika tidak masakan beliau sanggup meredah hujan seperti ini. Bukan saya sombong, tetapi mengejar dateline untuk menyiapkan kertas kerja dan pelbagai perkara lain menyebabkan saya sangat menghargai dan cermat menggunakan masa.

OOOoohh..rupanya pelajar yang saya gelarkan I ini pernah mengirim e-mail kepada saya sebelum ini. Masalah yang beliau hadapi menyebabkan I tidak selesa untuk bergaul dengan rakan-rakan. I menghadapi masalah bau badan yang kuat (tapi sepanjang saya berbual dengannya tidak ada bau langsung!!). I menangis, rasa tertekan yang teramat sangat. Saya memahami perasaannya kerana saya pernah mendapat rakan sebilik semasa di Universiti dahulu yang mempunyai bau badan yang sangat kuat. Yang peliknya beliau tidak tahu langsung badannya berbau!! Namun pelajar yang bernama I ini sangat 'alert' mengenai hal ini. Saya amat kagum dengan dirinya.

Datang dari sebuah keluarga yang susah, mempunyai masalah kewangan yang agak kronik. Ibu mengambil upah mengasuh anak-anak jiran. I meletakkan saya dalam nostalgia di mana ibu saya juga pernah mengambil upah mengasuh anak-anak jiran. Paling mengkagumkan, ke semua anak jiran yang dijaga mak berjaya masuk ke universiti. Ada yang menjadi Doktor, Akauntan dan macam-macam lagi. Saya selalu cakap kepada mak, ni berkat makanan yang kita bagi mereka makan.Insya Allah.

Di hujung perbualan saya memberikan sebotol lotion badan (jenama Body Shop) yang belum digunakan lagi dan sebotol perfume (One Drop Perfume) yang juga belum digunakan kepadanya, saya hanya bawa dalam beg tangan tetapi langsung tidak pernah menggunakannya. Mr A belikan pada saya sedikit masa dulu (nanti balik kena mohon maaf kepada Mr A sebab berikan pemberiannya kepada orang lain). I nampak sebak dan terharu dengan pemberian saya, mungkin bagi seorang pelajar miskin sepertinya ianya sesuatu yang diluar jangkaan. Namun bagi saya ianya tidak seberapa berbanding keseronokaan hati saya melihat wajah ceria beliau ketika bersalaman dengan saya.
Patutlah saya langsung tidak sempat menggunakan ke dua-dua benda ini. Rupanya rezeki, barang, wang dan semua harta kita ada juga hak orang lain didalamnya.Saya juga menasihatinya, wangian ini jangan sampai menimbulkan fitnah,pakai mengikut keperluan (saya bimbang dikira bersubahat dalam hal-hal haram) harap dapat bantu mengurangkan rasa tidak selesa beliau. Maklumlah pelajar mana mampu untuk membeli semua ini. Saya pula terbeli tetapi tidak pakai...Rupanya benarlah dalam harta kita yang dimiliki, pasti ada hak orang lain juga.

Semoga masalah dan rasa rendah diri beliau dapat dikurangkan. Insya Allah.



CINTA YANG TIADA NOKHTAH


Saya dijemput pelajar untuk memberikan satu ceramah yang bertajuk
" Cinta...bagaimana untuk melupakan si dia" Ohh...rasa dah lama sangat tidak dipanggil untuk ceramah seperti itu...rasa teruja dan semangat. Namun kadang-kala saya tertawa mengenangkan kisah cinta pelajar-pelajar ini. Betullah, cinta ni topik yang tidak pernah putus. Memang ramai yang 'frust menonggeng' bila cinta ditolak atau terkandas... Patutlah ramai benar penggemar cerita hindustan. Apantah lagi bila panggung wayang di India sana dibakar oleh penonton gara-gara kesudahan cerita cinta yang ditayangkan menunjukkan hero atau heroin mati. Ayoyoo.....

Dalam menyiapkan teks serta slide yang menarik, saya membuat rujukan juga di buku-buku. Topik cinta ini biasanya saya akan mulai dengan merujuk buku yang ditulis oleh Pahrol Mohd Juoi. Tentang CINTA. Sangat signifikan dan praktikal. Malah olahannya mudah difahami dan sangat membantu dalam mencari cinta yang sejati (tentulah berlandaskan syara').

Ironinya cinta pada zaman ini sudah melangkaui sempadan yang tidak pernah kita fikirkan suatu ketika dahulu. Kecanggihan teknologi membolehkan sang Arjuna melihat buah hatinya dari telefon yang mempunyai perisian 3G. Segalanya mungkin....Maka tidak hairanlah sebelum berkahwin lagi (jika mereka berkahwin) mereka sudah tahu dalam dan luar teman mereka...pasti ibu ayah pening kepala memikirkan hal ini. "Sesungguhnya nafsu itu sentiasa mengajak kepada kejahatan". (Yusuf 12:53)..

Terlalu banyak kisah cinta yang dicanangkan, malah kisah-kisah cinta murahan menjadi hidangan dihadapan mata, belum ditambah dengan paparan diakhbar tentang kisah cinta individu yang menggelarkan diri mereka idola masyarakat. Lalu bagaimana kita hendak mengekang segalan racun dan virus ini tersebar sedangkan definisi cinta itu sudah salah sejak mula lagi. Lalu muncullah istilah buayafriend dan gelifriend (meminjam kata Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam bukunya "Aku terima nikahnya").

Lalu dalam slide yang sedang saya siapkan, saya titipkan sesuatu buat para pelajar yang saya sayangi. Hadith dari Rasulullah s.a.w "Jika kamu datang kepada Ku secara berjalan, nescaya Aku datang kepadamu secara berlari. Jika kamu datang kepada Ku selangkah, Aku akan datang menghampirimu seribu langkah".

Semoga kalian menemui cinta dalam erti kata yang sebenarnya..."Perempuan-perempuan yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik..." (An Nur 24:26)

Saturday, January 2, 2010

BERTEMU DAN BERPISAH


Khamis 31/12/2009 yang lalu, saya sebak kerana hari ini merupakan hari terakhir sahabat-sahabat saya di pejabat M dan L. Mereka terpaksa ke fakulti atas beberapa alasan yang tidak munasabah. Arghhh..arahan agak berat sebelah dan tidak selaras. Saya berdoa arahan ini akan berubah suatu ketika nanti. Meskipun masih dalam organisasi yang sama, namun berkhdimat ke fakulti adalah sama seperti berada di kampus negeri. Saya pernah mengalaminya dulu.

Lalu petang Khamis itu, suasana menjadi semakin pilu, L tidak membenarkan saya keluar dari bilik sehingga beliau selesai turun, mengangkat barang ke kereta. Manakala M pula sudah berkemas beberapa hari sebelum itu dan pada Khamis tersebut dia sudah balik ke kampung, nun jauh di Utara.Perlis... Mungkin mencari kekuatan di sana. Saya doakan dia selamat pergi dan balik.

Buat sahabat-sahabat, meskipun kita terpisah namun kalian sentiasa dalam doa dan ingatan saya. Saya berdoa, kami bertemu dan berpisah kerana Allah.