Tuesday, June 23, 2009

PEPERIKSAAN PTK



PTK, isu yang tidak pernah selesai. Saya baru sahaja habis menghadapi peperiksaan tersebut pagi tadi. Pengalaman pertama..bak kata seorang kawan, 'test power' ajer.

Sepanjang di dewan, saya perhatikan ramai calon yang lebih senior. Ada di antara mereka yang sudah beruban, sedangkan saya juga mengenali beberapa calon yang senior. Mereka ini boleh dikategorikan sebagai rajin, komited pada tugas dan pernah mendapat anugerah pekerja cemerlang pada setiap bulan, namun apabila berada di dewan peperiksaan saya mendengar rungutan-rungutan mereka.

Sudah pastilah dalam usia mereka separuh abad mereka sudah tidak mampu untuk menghafal pelbagai tajuk yang perlu. Kadangkala pelik saya dibuatnya. Teori dan amalan kadang kala menyimpang apabila kita bekerja. Saya mendengar rungutan-rungutan mereka sebelum masuk ke dewan. Ada yang sudah mengambil sebanyak 4 kali.

Adakah jika gagal menjawab maka mereka gagal dalam menjalankan tugas? adakah mereka tidak cemerlang? Saya yakin, yang berada dekat dengan saya semalam dan hari ini adalah pekerja yang rajin dan amanah. Kesungguhan mereka untuk mengambil PTK patut dipuji biarpun apa juga keputusan yang akan keluar kelak. Sewajarnya kerajaan mengkaji PTK ini agar ianya tidak menganiayai beberapa golongan yang sebenarnya telah mencurah bakti dan keringat pada organisasi.