Tuesday, May 20, 2008

Aurat dan suami


**pic di atas diambil dari senikehidupan.com

Sedikit artikel soal jawab dalam akhbar Harian Metro yang saya ambil untuk renungan dan pengetahuan kita bersama.

Aurat isteri tanggungjawab suami?
Bersama: MOHD. FARID RAVI ABDULLAH


SOALAN: Adakah suami menanggung dosa isterinya yang tidak menutup aurat/mendedahkan aurat kepada yang bukan mahramnya?

JAWAPAN:
RUMAH tangga yang aman damai itu terbina di antara gabungan ketegasan seorang lelaki dan kelembutan seorang wanita. Lelaki berusaha mencari nafkah sementara wanita menguruskan rumah tangga. Tentu tidak akan wujud sebuah rumah tangga yang bahagia jika suami sahaja yang gagah atau kelembutan isteri semata-mata.
Syariat Islam telah memuliakan wanita dengan memberi satu jaminan bagi kehidupan mereka. Disebabkan fitrah dan peraturan hidup itulah maka suami berperanan memimpin isteri ke arah mencari keredaan Allah s.w.t.


Pada keseluruhannya, suamilah yang bertanggungjawab di atas segala masalah anak isterinya tetapi tidaklah sampai membiarkan mereka lalai daripada tanggungjawab dalam ibadah yang khusus (fardu ain).

Firman Allah s.w.t bermaksud: Wahai orang yang beriman peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada seksa api neraka. (al-Tahrim:6).

Para ulama ketika menafsirkan ayat ini berpendapat bahawa suamilah yang bertanggungjawab menyelamatkan ahli keluarganya daripada dihumban ke dalam api neraka. Suami menyelamatkan ahli keluarga dengan mendidik mereka dengan ilmu agama. Mengajar mereka ilmu fardu ain yang wajib diketahui oleh setiap orang Islam termasuklah ilmu tauhid.Setiap Muslim perlu mengetahui batasan auratnya. Seorang wanita wajib mengetahui batasan auratnya. Sejak dibangku sekolah lagi ustaz dan ustazah telah mengajar mereka batasan auratnya, malahan di dalam silibus KBSR dan KBSM juga menjelaskan demikian.

Malahan ibu bapa juga mengajar mereka had aurat. Namun, apabila dewasa, ada di kalangan wanita yang melihat kefarduan menutup aurat ini sebagai satu budaya orang Melayu dan bukan persoalan agama. Tanggung jawab dan peranan mendidik berpindah ke tangan suami apabila seseorang itu dikahwini oleh seorang lelaki.

Berdasarkan kepada tanggungjawab dan peranan suami jelas bahawa suami adalah pengemudi bahtera rumah tangga terutamanya dalam mendidik keluarga. Suami wajib menasihati isterinya dengan penuh bijaksana dan hemah supaya isteri boleh menerima perintah menutup aurat dengan rela hati tunduk dan patuh pada perintah Allah.

Rasulullah s.a.w. ada berpesan agar setiap wanita itu dididik dan ditegur dengan penuh kelembutan dan dedikasi. Nabi mengingatkan kita agar mereka tidak dibiarkan dengan kesilapan dan keingkaran kerana yang demikian akan membawa padah pada si isteri.
Setelah dinasihat dan diajar serta ditegur, mereka masih lagi enggan menutup aurat maka suaminya tidak berdosa. Ini kerana suami sudah berusaha menyedarkan akan perintah Allah menutup aurat, tetapi masih ingkar. Maka dosa keengganannya menurut perintah Allah akan ditanggung sendiri dan bukannya suami.

Dalam surah al-Nur, Allah berfirman yang bermaksud: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya Dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa Yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya. (al-Nur: 31).

Dalam ayat ini jelas Allah s.w.t. memerintahkan kaum perempuan menutup aurat dan perintah ini wajib. Maksudnya wajib bagi wanita Islam yang beriman menutup auratnya. Had aurat wanita ialah seluruh tubuhnya melainkan kedua telapak tangan dan wajah.

********************************
Setelah membaca artikel kemusyikilan ini, marilah wahai wanita-wanita, anak-anak prempuan, isteri-isteri agar kita taat dan patuh pada ayah atau suami selagi mana permintaan mereka untuk kebaikkan dan juga mematuhi syariat. Kasihanilah mereka...

Children of Heaven



Inilah cerita yang pernah saya sebut dalam entri yang bertajuk Basyiraa Zahra. Cerita daripada Iran yang bertajuk Children of Heaven, yang sangat menyentuh hati. Kisah bagaimana dua orang adik beradik yang sangat menyentuh perasaan. Bagaimana saya boleh 'terlepas' cerita ini yang sudah dihasilkan pada 1997 lagi.

Filem yang banyak mendidik jiwa dan hati setiap orang yang menontonnya. Lalu saya bawak balik Cd ini pulang ke rumah orang tua, untuk membolehkan anak-anak buah saya menonton dan belajar sesuatu dari filem ini. Kisah adik perempuan dan abang yang berkongsi kasut kerana keluarga mereka sangat susah dan tidak mampu membeli kasut baru.

Hati rasa pedih melihat setiap babak, terutama semasa Zahra mengejar kasutnya yang jatuh didalam longkang dan dibawa arus kuat. Aduhai...saya mula memasang angan-angan, jika Allah memberikan saya dan suami zuriat, saya ingin mentarbiyaah mereka dengan didikan yang sesempurna mungkin. Menjadikan anak-anak sebagai orang yang bersyukur dan mengamalkan islam dalam kehidupan seharian. Saya kerap berdoa, agar dimakbulkan impian ini.

Disebalik cerita ini banyak perkara yang saya pelajari. Bagaimana jika kita mahu berdakwah dengan menggunakan teknologi yang kita ada. Lihat saja filem ini, watak suami-isteri,anak-anak dan ibu tidak langsung melanggar garis panduan yang Islam berikan. Walaupun tanpa sentuhan, pelukan bagi menggambarkan hubungan yang mesra seperti dalam kebanyakkan filem kekeluargaan yang pernah saya tonton, filem ini berjaya meletakkan dirinya pada darjah dan kelas yang tersendiri. Adalah sesuatu yang menjadi kebiasaan kita, kalau nak sesuatu watak itu berkesan watak suami isteri mestilah ada adegan-adegan 18Sx. Sedangkan dalam filem ini, watak suami yang sayang pada isterinya diterjemahkan oleh lontaran dialog dan eksperesi wajah yang berkesan tanpa melibatkan sentuhan fizikal. Malah anak lelaki dalam filem ini tidak sesekali pun menyentuh adik perempuannya walaupun pelakon dalam cerita ini masih kanak-kanak lagi.

Ada kalanya kita boleh menjadi luar biasa andai berani mengubah sesuatu yang telah menjadi kebiasaan itu!

Bercuti


Pic atas dari laman web senikehidpuan


Saya sedang berusaha mengumpul sedikit perbelanjaan untuk merealisasikan impian saya untuk ke Terengganu. Ntah kenapa saya sangat suka ke Terengganu (ada seorang rakan saya sangat anti pada negeri Terengganu dan Kelantan..hehehe). Namun saya bukan nak ke Terengganu untuk 'bershoping' seperti yang lazim dibuat oleh kaum wanita yang lain.

Suami (Mr. A) pernah merungut, katanya saya bukan suka bercuti di Pulau...ehehe..sebenarnya itu pengalaman Mr. A ketika kami mula-mula berkahwin dua tahun lalu. Kami ke Pulau Kapas, tetapi saya tidak berapa 'enjoy' sebab merasakan agak serabut, panas dan macam-macam.

Namun yang menghambat hati saya untuk ke Terengganu adalah kerana nak melihat-lihat suasana di sana selepas 4 tahun saya meninggalkannya. Saya pernah belajar di sana selama 3 tahun. Saya juga pernah menyewa rumah kecil di tepi pantai semasa berada di tahun akhir..aarrghh! kawasan pantai itu sangat cantik, sunyi.. Tidak seperti di Pulau Kapas, yang penuh dengan pelancong dalam dan luar dengan aksi-aksi yang agak panas.

Berbeza dengan pantai yang berdekatan rumah sewa saya dulu. Bukan sahaja cantik tetapi menenangkan. Kalau ada pun, hanya nelayan-nelayan yang membetulkan pukat mereka di bot masing-masing. Kadang-kadang bila 'tension' dengan assingment, exam ke pantai itulah saya bawa diri bersama rakan sekelas. Kadang-kadang seorang diri. Saya boleh duduk berjam-jam di bawah terik matahari jam 3 petang! Nah, saya buktikan pada suami, saya bukan tak suka laut, cuma kalau tak kena gaya saya boleh jadi rimas dan melemaskan!

Bagi saya keindahan pantai mengajak kita mengkagumi ciptaan Allah. Alangkah sedihnya bila kesucian dan keindahan pantai dirosakkan oleh tangan-tangan manusia dengan perbuatan maksiat.