Wednesday, January 27, 2010

PAKCIK USOP

Mak (berdiri) bersama cik Leha dan pakcik Usop, Aidilfitri 2009.

Sebelum subuh lagi saya sudah mendapat sms dari kakak yang memberitahu pakcik Usop meninggal dunia. Inallillah....Allahyarham pakcik Usop merupakan jiran serta kawan baik mak dan arwah Abah. Mereka mempunyai 3 orang anak, Kak Mai, Kak Ain dan Fathu yang mana anak-anak mereka sebaya dengan abang dan kak yang.
Saya tergamam seketika kerana terasa masih terlalu baru menziarahinya ketika Aidilfitri pada bulan September yang lalu. Namun siapalah kita untuk melawan takdirNya. Pakcik Usop mengidap kanser paru-paru. Ketika kami iaitu saya, mak, abang, kak yang, adik dan kakak serta kelurga kami datang menziarah dirumahnya, pakcik usop sudah terlantar tidak mampu berjalan lagi. Malah ketika hendak ke tandas pun beliau dipapah oleh abang. Abang pula saya lihat sibuk memicit-micit kaki arwah pakcik Usop. Mungkin abang teringat arwah abah yang sangat rapat dengan pakcik Usop. Saya pula tak boleh nak lihat suasana macam tue, saya memerhati dari jauh sambil memasang telinga mendengar perbualan mak dan Cik Leha.
Terkenang cerita mak dan arwah Abah sebelum ini. Semasa kami menyewa di Segambut dahulu, mereka jiran serta kawan baik mak dan abah. Cik Leha yang berasal dari Singapura sangat baik serta ramah orangnya. Pakcik Usop pula lebih pendiam tetapi sangat membantu dalam hal-hal keluarga kami. Abah bercerita lagi, semasa abah dan mak terputus wang, merekalah yang menghulurkan bantuan. Sebab itu abah ada berpesan kepada kami adik beradik mengenai beberapa orang rakannya yang kami perlu bantu dan berterima kasih kerana mereka ini pernah berjasa pada keluarga kami. Keluarga pakcik Usop adalah salah satu darinya.
Cik Leha pula kalau berbual dnegan mak, riuh rendah jadinya. Begitu juga jika melayan telatah kami 5 beradik terutama abang. Cik Leha yang sangat terkenal dengan lontong Singapura yang sedap, sering menjadi mangsa abang yang asyik memintanya masak setiap kali hendak bertandang ke rumahnya. Malah pada Aidilfitri yang lalu, Cik Leha turut menjamu kami dengan lontong kegemaran abang. Betapa kasihnya pada kami yang membesar dihadapannya. Mungkin beliau masih teringat abang dan kak yang yang sebaya dengan anak-anaknya menggalas beg ke sekolah/tadika bersama-sama dahulu.
Itulah hubungan dua keluarga yang merantau di negeri orang, lalu disatukan hati-hati mereka dalam kepayahan menghadapi kehidupan. Benarlah, susah untuk bertemu orang luar yang sanggup membantu kita dengan ikhlas sedangkan mereka tidak langsung mempunyai hubungan mahupun pertalian saudara dengan kita. Yang menghubungkan 2 keluarga kami adalah hubungan saudara sesama Islam .
"Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat) dan memanglah Ia Maha Kuasa ke atas tiap-tiap sesuatu". (surah Al Mulk; 1)
Saya berdoa, semoga Arwah pakcik Usop ditempatkan dikalangan orang yang soleh. Semoga kebaikkan yang arwah lakukan mendapat ganjaran disisi Allah. Al Fatihah untuk pakcik Usop yang dikasihi....

No comments: