Tuesday, May 20, 2008

Children of Heaven



Inilah cerita yang pernah saya sebut dalam entri yang bertajuk Basyiraa Zahra. Cerita daripada Iran yang bertajuk Children of Heaven, yang sangat menyentuh hati. Kisah bagaimana dua orang adik beradik yang sangat menyentuh perasaan. Bagaimana saya boleh 'terlepas' cerita ini yang sudah dihasilkan pada 1997 lagi.

Filem yang banyak mendidik jiwa dan hati setiap orang yang menontonnya. Lalu saya bawak balik Cd ini pulang ke rumah orang tua, untuk membolehkan anak-anak buah saya menonton dan belajar sesuatu dari filem ini. Kisah adik perempuan dan abang yang berkongsi kasut kerana keluarga mereka sangat susah dan tidak mampu membeli kasut baru.

Hati rasa pedih melihat setiap babak, terutama semasa Zahra mengejar kasutnya yang jatuh didalam longkang dan dibawa arus kuat. Aduhai...saya mula memasang angan-angan, jika Allah memberikan saya dan suami zuriat, saya ingin mentarbiyaah mereka dengan didikan yang sesempurna mungkin. Menjadikan anak-anak sebagai orang yang bersyukur dan mengamalkan islam dalam kehidupan seharian. Saya kerap berdoa, agar dimakbulkan impian ini.

Disebalik cerita ini banyak perkara yang saya pelajari. Bagaimana jika kita mahu berdakwah dengan menggunakan teknologi yang kita ada. Lihat saja filem ini, watak suami-isteri,anak-anak dan ibu tidak langsung melanggar garis panduan yang Islam berikan. Walaupun tanpa sentuhan, pelukan bagi menggambarkan hubungan yang mesra seperti dalam kebanyakkan filem kekeluargaan yang pernah saya tonton, filem ini berjaya meletakkan dirinya pada darjah dan kelas yang tersendiri. Adalah sesuatu yang menjadi kebiasaan kita, kalau nak sesuatu watak itu berkesan watak suami isteri mestilah ada adegan-adegan 18Sx. Sedangkan dalam filem ini, watak suami yang sayang pada isterinya diterjemahkan oleh lontaran dialog dan eksperesi wajah yang berkesan tanpa melibatkan sentuhan fizikal. Malah anak lelaki dalam filem ini tidak sesekali pun menyentuh adik perempuannya walaupun pelakon dalam cerita ini masih kanak-kanak lagi.

Ada kalanya kita boleh menjadi luar biasa andai berani mengubah sesuatu yang telah menjadi kebiasaan itu!

No comments: