Saturday, May 23, 2009

CUTI PANJANG

Sejak kehilangan abah pada 7 Mei 2009 yang lalu, saya belum lagi memasuki pejabat. Allah menguji saya dengan sakit mata hampir 2 minggu. Namun bagi saya, ini merupakan Rahmat dan kasih sayangNya kepada saya. Masakan saya mampu berdiri di pejabat sedangkan hati saya masih pilu mengenangkan abah jauh di sana.

Saya akui, saya paling nakal dalam adik beradik. JIka kakak-kakak saya tidak pernah diroton tapi saya pernah. Saya memang nakal. Saya pernah dipukul dengan tali pinggang abah ketika kecil, saya masih ingat sampai kini. Sampai 'terkencing' dibuatnya. Itu semua gara-gara kenakalan saya.

Bila sudah dewasa, jarang sangat saya dipukul, selalunya mak atau abah hanya akan meninggikan suara pada saya. Abah akan membesarkan matanya pada saya, itu sudah cukup menakutkan saya. Jika dengan mak saya masih boleh 'main-main, tapi tidak dengan abah.

Abah banyak mencorakkan saya menjadi apa yang saya jadi kini. Ketegasan dan sikap terus terang abah mengalir dalam diri saya. Abah benci akan maksiat dikalangan orang Islam, begitu juga saya. Abah tegas dan tidak bertoleransi dengan hukum Allah. Jika kami tidak mematuhinya, siapalah nanti. Sebab itulah, saya memakai tudung sepenunhya di hadapan bukan mahram sejak darjah 6 lagi. Ke kedai, menjemur kain, membuang sampah atau tetamu datang ke rumah, saya akan berlari mencari tudung. Sesungguhnya saya bersyukur dilahirkan menjadi anak abah.

Saya tahu, abah dan mak pernah melalui zaman-zaman 'kejahilan', namun berkat usaha mereka mengaji, mengikuti usrah, sering ke surau maka banyak ilmu yang mereka dapat dan cuba praktikkan di rumah. Maka tidak hairanlah kami adik beradik menjadi pengukur pemahaman abah dan mak tentang Islam yang syumul ini. Hidayah itu perlu di cari, ia tidak akan kunjung tiba jika kita tidak menjejakinya. Abah jahil suatu ketika dulu, namun semakin kuat imannya apabila saya dan adik beradik lahir di dunia ini. Abah menuntut ilmu akhirat dan ilmu-ilmu membina keluarga yang diredhai Islam. Bukankan untuk mewujudkan sebuah negra Islam bermula dari Individu Muslim itu sendiri? Itu yang saya pelajari ketika di Kolej dahulu.

Meskipun abah sudah pergi hampir 2 minggu, hati saya tidak pernah lupa walaupun sekali tentang dirinya. Saya menghadiahkan Al Fatihah pada abah senyap-senyap ketika membuatkerja rumah seperti menggosok baju, mengemas, memasak dan ketika berehat. Selepas solat, saya menangis mendoakan abah, mak dan keluarga mertua.

Kini apabila abah sudah tiada, saya menjadi kesal kerana banyak lagi kejayaan yang ingin saya kongsikan dengannya. Malah baru-baru ini, suami MR A mencadangkan saya menyambung pelajaran di peringkat Sarjana. Itu adalah impian abah kepada saya...saya hanya membisu, saya memohon petunjuk Allah dalam Isthikarah yang saya lakukan selepas solat Isya'.

Ya Allah berilah aku kekuatan menghadapi Ujian ini.

No comments: