Saturday, May 23, 2009

ABAH DAN ANAK-ANAK PEREMPUANNYA

Kami 5 beradik (2 lelaki, 3 perempuan) bukan satu angka yang besar. Semasa kecil dahulu semasa kami berhimpit-himpit di rumah kecil saya selalu membebel kenapa rumah kami kecil dan tidak banyak bilik. Namun rungutan-rungutan itu hanya bermain dalam hati sahaja.

Kini setelah dewasa, angka 5 bukanlah besar bagi saya lagi. Bayangkan ke semua kami kecuali adik lelaki bongsu masih tinggal dengan abah dan mak lagi, manakala yang lain sudah pun berkeluarga dan mempunyai rumah sendiri.

Semasa kecil dahulu, saya memerhatikan abah tidak tahu menunjukkan kasih sayangnya kepada anak-anak. Termasuk kami yang perempuan. Namun saya tahu abah sayang pada kami. Pernah sekali abah membelikan bedak jenama Avon yang sangat wangi kepada saya dan kak yang. Waktu itu saya rasa nak menangis, siap abah belikan tisu kepada kami. Saya amat teruja dan terkejut dengan pemberian abah itu. Mungkin itulah cara abah menunjukkan kasih sayangnya kepada kami. Abah tidak reti 'peluk-peluk' kami seperti dalam filem yang menonjolkan kasih sayang ayah kepada anak. Abah berdiri dalam darjahnya tersendiri, karismanya kelihatan apabila bercakap dengan kami dan orang lain.

Pelik, abah tidak sekolah tinggi, tapi tahu semua isu semasa dalam dan luar negara. Paling abah suka segmen dokumentari. Abah sangat suka bila dapat melihat binatang-binatang di tv. Kadangkala cucu-cucu abah merungut 'tok wan ni asyik tengok cerita binatang ajer'. Namun rungutan itu tidak akan kedengaran lagi selepas ini.

Melihatkan anak buah sulung saya menangis ketika abah meninggal, membuatkan saya rasa betapa bertuahnya abah kerana didikannya sampai ke cucu-cucunya. Semasa jenazah abah di letakkan di surau, cucu-cucu abah yang berusia 6 dan 7 tahun membacakan Yasin dan Al Fatihah kepadanya. Dalam pelat-pelat mereka, abah tetap mendapat pahala. Bukankan anak-anak kecil itu ahli syurga dan tidak berdosa?

Hidup bersama abah selama 29 tahun membuatkan saya merasa, singkatnya kehidupan ini. Kini tumpuan hanya untuk mak. Tiada siapa yang boleh menaggantikan abah, datanglah seberapa ramai lelaki yang bergelar datuk, intelektual, akdemik dan berharta, pasti tidak dapat menggantikan abah. Abah yang tegas..tapi jauh dihatinya sangat lembut dan sayang pada anak-anak.

Semoga Abah aman di sana...Al Fatihah.

No comments: