Monday, May 11, 2009

KEHILANGAN

Sudah 5 hari abah pergi meninggalkan kami. Hari ini saya diberitahu jiran dirumah keluarga meninggal. Makcik Rokiah itu sudah menderita sakit agak lama...saya dan suami menziarahi jenazah. Jenazah yang ditempatkan di surau di hadapan rumah kami, sama semasa jenazah arwah abah di letakkan. Saya sebak..masih baru sangat suasana itu saya alami.

Saya masih ingat semasa balik dari sekolah atau semasa pergi sekolah, saya pernah berhujan bersama-sama abah ketika menaiki motor. Kami basah sama-sama. Ketika air hujan terkena di muka dan pedih, saya akan menyorokkan muka dibelakang abah. Abah seperti pelindung yang amat melindungi saya tanpa beliau sedari. Saya tahu abah pasti inginkan anak-anaknya selamat dan senang. Namun kesusahan inilah membuatkan saya menjadi kuat untuk berjaya.

Bagi sesiapa yang tidak mengenali abah, pasti mengatakan abah seorang yang garang kerana raut wajahnya yang serius. Namun abah sebenarnya tidak seperti itu. Garang abah bertempat, tegas abah kena pada tempatnya. Semasa kecil dulu saya rasa takut dengan abah, namun bila semakin dewasa saya semakin tahu abah sangat menjaga anak-anaknya agar menjadi orang yang taat pada agama. Masakan tidak kami adik-adik perempuan sudah memakai tudung dan menutup aurat dengan sempurna sejak sekolah rendah lagi.

Abah nak anak-anaknya berjaya. Malah sanggup berkorban meminjam wang demi memastikan saya dan kak yang dapat ke universiti. Malah abah sangat bangga bilamana kak yang melanjutkan pelajaran ke Jordan satu ketika dulu. Cita-cita abah tercapai. Malah saya juga menyambung pengajian di sebuah kolej sentiasa mendapat keputusan cemerlang setiap semester dan melayakkan menerima bantuan untuk menjelaskan yuran. Sedikit sebanyak meringankan beban abah.

Abang dan adik lelaki saya juga begitu...kadang-kadang abah mengawal mereka bukan kerana abah tidak sayang, tetapi abah mahu mereka menjadi lelaki yang baik-baik. Alahmdulillah, akhirya anak-anak lelaki dan menantu lelakinya lah yang memandikan jenazah dan menguruskan pengkebumiannya.

Abah cukup sayangkan cucu-cucunya,. Anak-anak kakak yang sulung yang tinggal berdekatan dengan rumah keluarga menajdi tempat abah bermain.Bila abah mendapat duit pencen setiap bulan,ada saja habuannya untuk cucu-cucunya. Abah memang tidak pandai menunjukkan sayangnya kepada kami, tapi melalui perbuatan dan kata-katanya kami sangat mengerti.

Apa yang tinggal kini ialah mak.Walaupun mak nampak tabah malah tadi mak juga yang memandikan jenazah arwah makcik Rokiah saya tahu mak menangis rindukan abah, suaminya. Melihat baju-baju abah yang masih tergantung dalam almari membuatkan saya sebak yang teramat, apantah lagi mak. Selepas kami semua pulang ke tempat masing-masing, pastinya mak akan lebih terasa.

Sesungguhnya saya amat merasai kehilangan abah...saya panjatkan doa dan Al Fatihah untuk abah setiap kali solat dan sepanjang masa yang ada.

1 comment:

sejati said...

Assalamualikum

bonda harap Ana Sabar dan tabah menghadapi segalanya, bonda juga ikut mendoakan semoga roh Allahyarham di cucuri rahmat... bonda juga rasa bgi mana perasaan Ana di kala ini... kerna bonda juga sudah pernah rasa kan kepergian seorang ayah, di kala itu bonda masih lagi di tingkatan 3 di kala bonda sedang menghadapi peperiksaan untok naik ke tingkatan 4, di kala itu bonda juga tak sempat nak berada di sisi nya kali terakhir.

salam dari bonda